Pengalaman Kehilangan Pasangan Hidup (Part 2)

Dulu, saya suka membaca tulisan Tuan Khairul Abdullah atau dikenali sebagai Superdaddy. Liku-liku membesarkan 3 orang anak lelakinya, sangat menarik. Kadang-kadang kita tertawa, kadang-kadang kita sama-sama menyeka air mata.

Tapi ada satu komen daripada pembacanya yang buat saya geram dan terpukul kerana apa yang dikatanya, saya boleh kaitkan dengan diri sendiri.

Kata wanita itu, “Bagus Encik Khairi. Isteri dah meninggal 2 tahun pun, masih tak cari lain”

Sebenarnya ini juga adalah stigma yang sering merasuk fikiran. Fikiran jahat yang menyusup seperti belalang merosakkan jagung, atau kulat yang merosakkan roti.

Buruk sekali perkataan “cari” itu. Padahal bukan semua jodoh itu kita cari. Ada banyak yang datang tanpa memenuhi kriteria atau sifat ‘mencari’. Banyak kali, jodoh datang dengan misteri. Dek kerana tiada tatabahasa, kata kerja atau bahasa yang tepat mengambarkannya, maka perkataan “cari” terpaksa diguna.

Walaupun hakikatnya, saya tak pernah mencari. Baik yang pertama, atau yang sekarang. Saya cuma meminta kepada Yang Esa.

Keduanya, ucapan wanita itu seolah-olah seperti mahu “impose” pendirian kita kepada orang lain.

Walhal pendirian kita itu pun, bukannya tepat.

Jika anda tidak faham, situasinya serupa dengan orang-orang yang berkata, “Saya ni dah 5 tahun tak pergi bazar Ramadhan. Saya pilih untuk masak sendiri kerana makanan di bazar tidak terjamin kebersihannnya, mutunya, dan rasanya. Lagipun, saya boleh berjimat di samping menjaga mata dan nafsu saya”

Nampak tak? Jika perkataannya disimpan hanya di dalam hati, itu tidak bermasalah. Namun jika diberitahu kepada orang, orang akan gelisah.

Ya lah, makanan di bazar bukannya dijamin bersih dan baru. Silap-silap lebihan jualan semalam, setakat dipanaskan saja.

Bagi yang menentang, mereka akan membalas, “Apa masalahnya aku tak masak? Lagipun aku beli ni, guna duit kau ke?”

Serupa itulah pertimbangan moral kita bila berhadapan dengan orang yang mengalami perpisahan, baik cerainya hidup mahupun bercerai mati.

Apa asas kita semasa kita menilai baik dan tidak baik sesuatu perkara?

Orang yang tidak berkahwin kerana mahu fokus kepada anak-anak, itu baik. Tapi jika kualiti hidupnya merosot, anak-anaknya terabai, makan pakai mereka tidak sempurna, dan didikan mereka keciciran, adakah itu baik?

Sekalipun niat asalnya baik.

Begitu juga, jika dengan bernikah lain, kualiti hidupnya dapat dikekal, anak-anaknya mendapat sepenuh perhatian, makan pakainya terjaga, dan didikan, adab, dan kantung emosinya sentiasa penuh, maka bukankah itu lebih baik?

Kita perlu ingat tujuan hidup kita atas dunia ini. Kita adalah khalifah, tapi kita juga adalah abid (hamba). Jawatan khalifah mengangkat kita ke langit, namun jiwa hamba, menanam kaki kita ke dasar bumi.

Sebab itu jangan bongkak.

Jangan ingat kitalah paling betul. Keputusan kitalah paling tepat.

Tak. Kita tak akan tahu, selagi bukan kita yang berada disana.

Hidup ini dinamik. Janganlah kerana bisa daripada taring manusia, kita membunuh jiwa dan harapan.

Kita dan anak-anak berhak bahagia sekali lagi.

Cuma mungkin selepas jatuh ditimpa runtuhan bahagia, kita perlu lebih berhati-hati, cermat, dan berwaspada. Jika dahulu istana itu hancur dipukul taufan, maka pindahkan pusat pemerintahan kita ke sebelah bukit.

Jika dahulu ia hancur kerana khianat, maka binalah tembok yang teguh dulu sebelum dibinakan istana.

Begitulah saya memandang relung-relung takdir. Rukun iman keenam ini bukanlah di tempat terakhir, kerana iman bukan perlumbaan, ada kedudukan juara, ada kedudukan tercorot.

Takdir adalah keyakinan bahawa segala yang berlaku adalah keinginan Tuhan, bukan kekuasaan manusia.

Dari sisi kemanusiaan, keinginan kitalah yang terbaik.

Dari sisi Tuhan, apa yang berlaku itulah yang terbaik.

Sudah-sudahlah menabur racun. Pokok yang beratus tahun mencabar matahari pun boleh kering, gugur, dan mati jika disembur racun berhari-hari.

Sangatlah tak adil jika dikatakan orang yang bernikah lain itu sebagai tidak menyayangi arwah isterinya.

Kalau nak dicerita, boleh saya cerita dari A sampai Z kehidupan kami dahulu. Tapi akhirnya untuk siapa?

Untuk apa?

Sekadar mahu memuaskan hati orang-orang yang berprasangka?

Atau untuk menyarung tali pinggang juara dalam gelanggang yang tak pernah ada.

Alhamdulillah, anak saya bahagia dengan ibunya. Tak pernah lupa umi, walaupun tangisnya kini diseka oleh ibu. Membesar, menjadi manusia yang kami bangga. Jika Tuhan mentakdirkan arwah isteri saya boleh merangkak keluar dari kuburnya, saya pasti dia juga akan berbangga dan bersyukur dengan keputusan saya.

Yang pergi, tak pernah dilupakan. Cuma bukanlah matlamat yang tinggal untuk menangisi setiap masa.

Yang tinggal, bersedialah.

Tinggalkan legasi yang baik-baik, yang kita berbangga dengannya.

Don’t be too hard on yourself.

Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W pun pernah dituduh membahagi-bahagi ghanimah secara tak adil dan kerana mahu mencari keduniaan, seusai Perang Hunain, hingga merah wajah Baginda S.A.W menahan marah dituduh oleh umatnya, sebegitu.

Ah, Nabi Muhammad pun orang berani tuduh sebagai gilakan dunia.

Kita? Tak payah marah sangatlah bila kena tuduh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s