Pengalaman Kehilangan Pasangan Hidup (Part 1)

Saya berkira-kira sama ada mahu berkongsi atau tidak. Namun, selepas dicongak-congak, saya rasa wajar jika pengalaman ini saya susun menjadi perkataan, dan seterusnya, menjadi sebuah naskah.

Hampir semua suami isteri pernah mandi bersama-sama, tapi berapa ramai yang pernah memandikan mayat pasangannya.

Begitu juga, hampir semua pasangan suami isteri pernah membelikan pasangan mereka baju atau pakaian baharu, tapi berapa ramai yang pernah memakaikan kain kafan kepada suami atau isteri mereka.

Berapa ramai juga yang larat dan gagah mengangkat isteri mereka, namun berapa kerat sahaja yang pernah mengangkat jasad kaku isteri mereka, membaringkannya di dalam liang lahad, sambil sedikit demi sedikit, jasad itu hilang dari mata, dikambus tanah.

Sedih, kecewa, putus asa, risau, gusar, galau, ah, terlalu banyak emosi negetif yang menghimpit.

Kerinduan dan kenangan pula adalah tetamu yang tak pernah jemu bertandang ke hati.

Sesekali membawa bersama air mata yang mengalir bersama-sama dada yang sesak.

Saya sudah pernah kehilangan arwah ayah setahun sebelumnya. Saya dan adik-beradiklah yang memandikan, mengkafankan, dan saya jugalah yang terjun ke dalam liang sempitnya, memberi selamat jalan terakhir kepadanya.

Tapi perasaannya tak sama. Kesedihannya tak serupa.

Tak ada kerunsingan yang mencengkam hati. Tak ada kerisaun yang memunggah nurani.

Tak ada soalan, “Bagaimana anak kecil ini akan membesar tanpa kasih seorang ibu?”

Hingga bukan sekali atau dua kali, hati kecil ini bercanda, “ah, alangkah baiknya jika aku yang pergi dulu, bukannya dia”

Namun, sedikit demi sedikit, kita terpaksa mengumpul kekuatan, membina kembali keyakinan, dan meluruskan kembali langkah kaki. Bukan kerana daya kita, tetapi kerana orang-orang di sekeliling kita.

Cukuplah mantra ini sebagai remedi.

“Saat kematiannya telah tertulis jauh lebih awal berbanding saat pertemuan kami, kali pertama”

Tiada siapa mahukan perpisahan, lebih-lebih lagi daripada penyatuan yang membahagiakan. Namun perlu diingat betul-betul firman Tuhan, bahawa sesungguhnya keluarga dan harta benda kita adalah ‘fitnah’.

Fitnah disini bukanlah fitnah yang kita faham sebagai membawa berita palsu atau bohong tentang seseorang. Fitnah disini bermaksud ujian, sebagaimana ucapan Saidina Umar R.A kepada Rasulullah S.A.W, “Aku mencintaimu selepas diriku, dan ahli keluarga”.

Lalu dijawab oleh Nabi S.A.W, “Belum sempurna imamu”

Saidina Umar R.A yang kaget, membetulkan ucapannya, “Aku mencintaimu selepas diriku”

“Belum sempurna imamu”, ulang Sang Rasul.

Kini barulah Saidina Umar R.A faham.

“Aku mencintaimu lebih daripada diriku, dan ahli keluargaku”.

“Kini barulah sempurna imanmu, wahai Umar”.

Begitulah kehidupan. Dijadikan terasa indah di sisi kita, kecintaan kepada pasangan kita, anak-anak, rumah, kenderaan, tanah, ladang, dan segala perhiasan dunia.

Kita terlalu ghairah meratah nikmat Tuhan hingga kita lupa, nikmat-nikmat itu sebenarnya juga adalah ujian.

Dan hari kita benar-benar beriman dengan takdir-Nya adalah pada hari di mana kita berani untuk ‘move forward’.

Saya selalu juga mendengar atau terbaca, orang kata, kita kena ‘move on’. Rasanya ‘move on’ tu tidak tepat, sebaliknya kita lebih dituntut untuk ‘moving forward’.

Teruskan kehidupan. Kutip sisa-sisa kebaikan arwah, dan kalungkin pada leher kita. Kita tak akan boleh ‘move on’ daripada takdir.

Yang boleh, hanyalah move forward. Bina istana baharu daripada runtuhan istana yang lama, bukannya membina pondok usang di dalam hutan belukar.

Mungkin pada bahagian pertama ini, saya cuma nak kongsikan tentang ini dahulu. Cuma kalau boleh, saya mahu mengajak pembaca untuk “stay tuned” bagi bahagian-bahagian berikutnya. Saya mahu berkongsi panduan menguruskan kematian, hutang, harta, ‘pencen’, dan faraid.

Cukuplah kematian itu menjadi sebaik-baik peringatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s