Dua Perbezaan Orang Baik

Semakin saya dewasa, semakin saya sedar bahawa manusia yang baik itu ada dua kumpulan. Manusia yang baik kerana tidak diuji, dan manusia yang baik walaupun setelah diuji.

Saya ingat lagi, semasa saya remaja dahulu, ada seorang ustaz pernah cakap kepada saya dan kawan-kawan, “Kita tengok adik-adik ni baik, rajin datang kuliah maghrib, rajin datang ke surau, sebab mereka masih belum diuji. Bila mereka sudah dewasa, sudah bekerja, sudah berumahtangga, belum tentu mereka boleh istiqomah”

Ustaz tu tegur ‘direct’ dalam kuliah maghribnya dan didengar oleh berpuluh-puluh orang ahli jemaah termasuk jemaah wanita.

Buat seketika, rasa seperti jatuh saham diri. Baru konon-konon nak menjadi calon menantu contoh. Eh.

Hari bertukar hari, bulan berganti bulan, lama kelamaan, saya semakin sedar apa yang ustaz tu beritahu sangatlah betul.

Amaran yang diberikannya bukanlah untuk merendah-rendahkan kami, sebaliknya untuk mengingatkan kami bahawa hidup ini tak selamanya indah. Panas tidak semestinya hingga ke petang. Adakalanya hujan di tengahari. Silap hari bulan, bukan setakat hujan, tetapi ribut taufan dan banjir bah. Muka yang dahulunya terkenal sebagai ‘kaki surau’, tak mustahil terlupa terus jalan menuju ‘rumah Allah S.W.T’ itu.

Saudaraku,

Jika kita mengambil sesaat dua untuk bermuhasabah, cuba kita berfikir, adakah iman kita semakin meningkat atau adakah iman kita semakin menurun?

Adakah kita semakin baik, atau adakah kita semakin jahat?

Setiap orang pun begitu sebenarnya. Setiap hari kita melihat ada-ada sahaja perlakuan sumbang yang dilakukan oleh ‘orang agama’. Padahal lidah mereka lancar membaca ayat al-Quran dan hadis. Otak mereka pula lincah mencari dalil.

Namun, apabila ditiup angin, pakaian agama mereka terselak hingga menampakkan keaiban mereka.

Begitulah kita. Setiap hari kita ‘membawang’ tentang mereka. Kita mengata, mengutuk, mencemuh, geram, geli, dan menyampah dengan orang-orang yang melakukan dosa. Namun kita terlupa untuk berkata kepada diri sendiri, “Kalau aku yang diuji seperti dia, aku juga mungkin akan jadi sepertinya”.

Sejak remaja juga saya menghafaz hadis ini, “Dunia ini adalah penjara bagi orang beriman, tetapi syurga bagi orang yang kufur”

Namun susah sekali nak menterjemah hadis ini ke dalam kehidupan.

Datanglah 1,000 benda halal pun, belum tentu ada 10 yang kita benar-benar syukuri.

Tapi bentanglah 1,000 perkara haram kepada kita, rasanya kesemua itu kita mahu. Nafsu kita menggelegak, merengek, menggoda.

Bukan sekali dua kita ditewaskan nafsu. Bukan sehari kita dirasuk olehnya.

Hingga ada pepatah menyebut, “…habis terbang kopiah di kepala”.

Umur kita semakin tua. Kudrat kita semakin melemah. Tapi nafsu kita sentiasa awet muda. Nafsu tidak dimamah usia. Orang sakit yang terbaring pun boleh berangan-angan untuk bermaksiat selepas sembuh, inikan pula orang yang muda- ada tenaga, masa, dan harta.

Semakin jauhlah kita daripada agama.

Saya teringat pesanan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali supaya jangan kita kagum dengan orang yang kononnya boleh terbang atau terapung atas air. Sebaliknya kita perlu kagum dengan orang yang mampu beramal, beristiqomah, dan beragama dengan sempurna.

Menjadi pemidato, tukang sembang, atau ahli fikir, itu semua benda mudah. Cedok ilmu sana sikit, sini sikit, jadilah. Asah pula lidah supaya pendai bercakap. Nescaya kita boleh menjadi ‘muslim yang paling benar’.

Namun, muslim sebenar bukan dinilai dengan apa yang dia tahu atau apa yang dia cakap.

Muslim sebenar dinilai dengan amalan, dan hatinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s