Mengenali Hajjaj Bin Yusuf

Minggu lepas, saya ada terbaca tulisan ringkas seorang ustaz selebriti; “Hajjaj Bin Yusuf membunuh Abdullah Bin Zubair dengan alasan mentaati ulul amri. Namun, tidak ada seorang pun ulama yang menyokong tindakan Hajjaj Bin Yusuf. Semua ulama mengingkari perbuatannya”

Tulisan ustaz selebriti itu sebenarnya mempunyai banyak makna. Namun, tujuan sebenarnya hanya dia dan Allah S.W.T sahaja yang tahu.

Namun pada hari ini saya cuma mahu menulis tentang Hajjaj.

Siapa Hajjaj? Mengapa dia digelar sebagai “Si Penumpah Darah Dari Thaqif”.

Hajjaj Bin Yusuf lahir pada tahun 39 Hijrah di suatu tempat bernama Taif. Bapanya bernama Yusuf Bin Uqail, manakal ibunya bernama Al-Farah binti Hamam. Yusuf Bin Uqail adalah orang yang berpengaruh di dalam keluarga khilafah Bani Umayyah. Hajjaj adalah tabi’in, kerana dia sempat bertemu dengan sahabat-sahabat Nabi S.A.W seperti Anas Bin Malik R.A, Ibnu Umar R.A, Asma’ Binti Abu Bakar R.A, dan lain-lain.

Semasa kecil, dia membesar sama seperti orang lain. Belajar al-Quran, belajar membaca, dan juga menghafaz al-Quran. Namun, sejak kecil juga Hajjaj telah menunjukkan sifat ekstream terhadap khalifah. Hal ini diceritakan oleh bapanya, Yusuf Bin Uqail. Suatu ketika, kedua beranak ini terserempak dengan Salim Bin Anaz. Salim Bin Anaz ialah seorang hakim dan juga tabi’in yang zuhud. Salim Bin Anaz sempat bertukar-tukar sapaan dengan Yusuf Bin Aqil sambil diperhatikan oleh Hajjaj yang masih kanak-kanak. Selepas Salim Bin Anaz meneruskan perjalanan, Hajjaj pun bertanya kepada bapanya,

“Wahai ayah, mengapa kamu mahu melakukan sesuatu untuknya walhal kamu orang Bani Thaqif?”

Hajjaj berasa tak selesa melihat penghormatan yang diberikan oleh ayahnya kepada Salim.

“Wahai anakku, demi Allah, aku yakin semua orang mencintai dia dan orang-orang yang seperti dia”, jawab Yusuf Bin Uqail.

“Demi Allah, tidak ada orang yang lebih bahaya kepada Amirul Mukminin kecuali dia dan orang-orang yang seperti dia!”, bentak Hajjaj.

Yusuf Bin Uqail terkejut. “Mengapa kamu berkata begitu?”

“Kerana biasanya orang ramai suka berkumpul mengerumuninya dan orang-orang seperti dia, lalu dia akan bercerita tentang peribadi Abu Bakar dan Umar, sehingga akhirnya orang ramai akan meremehkan keperibadian Amirul Mukminin, yang tidak ada apa-apa jika mahu dibandingkan dengan Abu Bakar dan Umar. Demi Allah, jika sekiranya aku mempunyai kekuasaan, akan aku pukul leher dia (Salim Bin Anaz) dan orang-orang seperti dia”

Hajjaj Bin Yusuf mula membina pengaruh semasa di Damascus. Nama Hajjaj dicalonkan untuk menjadi pemimpin tentera oleh Rauh Bin Zanba’, menteri di dalam kerajaan ketika itu kepada Khalifah Abdul Malik Bin Marwan. Ketika itu, disiplin tentera Islam adalah sangat rendah. Mereka selalu lambat, malas, dan tidak berdisiplin. Justeru, Hajjaj Bin Yusuf telah bertindak tegas. Dia tidak teragak-agak untuk menghukum tentera Islam yang bermasalah. Bahkan, banyak khemah-khemah tentera Islam yang dibakar olehnya. Hajjaj Bin Yusuf juga orang pertama yang mewajibkan umat Islam untuk menyertai pasukan tentera secara paksaan.

Kekejaman Hajjaj terserlah sedikit demi sedikit. Bermula dengan menghukum orang ramai atas kesalahan-kesalahan kecil, hinggalah kepada menyula dan mensalib mayat Abdullah Bin Zubair di dinding kaabah.

Siapa Abdullah Bin Zubair?

Dia adalah anak kepada Zubair Bin Al-Awwam R.A., iaitu salah seorang sahabat Nabi S.A.W yang paling rapat, dan salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin syurga.

Ibunya pula ialah Asma’ Binti Abu Bakar R.A. ,iaitu sahabiyah yang diberi kuniyah “wanita dengan dua selendang”.

Abdullah Bin Zubair juga merupakan anak saudara kesayangan Saidatina Aisyah R.A. Beliau banyak berkhidmat dan mendengar hadis daripada Saidatina Aisyah R.A.

Abdullah Bin Zubair ialah pemerintah di Mekah. Ketika zaman Yazid menjadi khalifah menggantikan Muawiyah R.A, Abdullah Bin Zubair dan pengikutnya enggan untuk berbai’ah kepada Yazid. Beliau tidak membai’ah Yazid hinggalah Yazid meninggal dunia. Semasa pemerintahan khalifah Abdul Malik Bin Marwan, sekali lagi khalifah menghantar deligasi politik ke Mekah, menggesa Abdullah Bin Zubair serta pengikutnya untuk menyatakan sokongan terhadap khalifah. Abdul Malik Bin Marwan ialah khalifah kelima dalam Khilafah Bani Umayyah.

Namun, sekali lagi Abdullah Bin Zubair R.A enggan. Beliau adalah seorang yang adil dan warak. Abdullah Bin Zubair R.A bukan gilakan kuasa, namun beliau telah berijtihad, bahawa apa yang dilakukan oleh khalifah adalah salah dan wajib dibetulkan. Hal ini tidak disukai oleh khalifah lalu Khalifah Abdul Malik Bin Marwan pun mengutuskan angkatan tentera untuk merampas Mekah. Siapa lagi jeneral perangnya, jika bukan Hajjaj Bin Yusuf.

Disinilah bermulanya cerita bagaimana tentera Hajjaj membedil kota Mekah yang ketika itu sesak dengan jemaah haji, hingga menimbulkan kacau bilau di Baitullah. Batu-batan yang dilontar oleh meriam manjanik telah merosakkan dinding-dinding Kaabah. Hal ini menyebabkan sahabat-sahabat Nabi yang masih hidup antaranya Abdullah Bin Umar merayu kepada khalifah agar peperangan ini ditangguhkan sehingga selesai musim haji. Seruan anak kepada Saidina Umar R.A itu didengari. Buat seketika, kota Mekah kembali aman.

Abdullah Bin Zubair telah mendapat restu daripada bondanya, iaitu Saidatina Asma’ Binti Abu Bakar R.A untuk melawan. Akhirnya, pada bulan November tahun 692, tentera khalifah pimpinan Hajjaj Bin Yusuf berjaya merempuh dinding pertahanan pasukan Abdullah Bin Zubair. Abdullah Bin Zubair dibunuh dengan kejam. Mayatnya disalib di dinding kaabah, dan dibiarkan untuk tontonan rakyat Mekah bagi tujuan menakut-nakutkan mereka.

Panjang sebenarnya kalau nak cerita pasal Hajjaj Bin Yusuf ni. Anda perlu membaca satu atau lebih buku tentang beliau, barulah anda akan berpuas hati. Ini adalah kerana seperti tokoh lain, Hajjaj juga tidak lari daripada mangsa serangan sentimen. Ada buku sejarah yang ditulis secara dramatik dengan kebencian yang berlebihan seperti kononnya ketika Hajjaj masih bayi, dia enggan meminum susu dada ibunya, sebaliknya dia hanya meminum darah daripada anjing hitam.

Kebenarannya, wallahua’lam.

Ketaksuban Hajjaj kepada khalifah juga menjadi punca dia menyuruh orang suruhannya untuk menusuk tombak kecil yang disapu racun kepada Abdullah Bin Umar. Kisah ini disebut dalam beberapa sumber sejarah. Seorang anak kepada Abdullah Bin Umar, yang bernama Salim pernah bercerita yang ketika di dalam nazaknya, Hajjaj telah ‘acah-acah’ mahu datang menziarahnya. Melihat Hajjaj yang pura-pura bersimpati itu, Abdullah Bin Umar R.A pun berkata, “Engkaulah yang telah berbuat jahat kepadaku. Engkau membawa senjata pada hari yang tidak boleh membawa senjata (semasa wukuf di Arafah), dan engkau menyuruh orang lain menusukku dengan tombak kecil”.

Abdullah Bin Umar R.A meninggal dunia pada tahun sama dengan Abdullah Bin Zubair R.A.

Wallahua’lam.

Sebenarnya banyak versi cerita pasal Hajjaj Bin Yusuf ni. Ada yang disepakati alim ulama, ada juga yang tidak. Tidak dinafikan yang Hajjaj ialah seorang lelaki yang ganas, bengis, dan suka menumpahkan darah. Ratusan ribu nyawa umat Islam melayang di bawah perintahnya. Namun, padanya, tindakannya benar. Dia menumpahkan darah bagi tujuan mengelakkan perpecahan dalam khalifah bani Umayyah. Lebih-lebih lagi virus-virus syiah di Iraq (Basrah) yang mencari-cari peluang untuk memberontak. Justeru Hajjaj merasa bertanggungjawab untuk membunuh bagi pihak khalifah, bagi tujuan keamanan.

Dalam masa yang sama, sikap Hajjaj ini boleh dilihat dalam diri kita. Betapa ramai antara kita yang taksub membuta tuli kepada pemerintah. Ketaatan yang melulu ini boleh memakan diri.

Saya juga merasakan tindakan Hajjaj ini mirip dengan tindakan Mustafa Kamal Atartuk yang mengkuburkan Turki daripada sultan dan khilafah.

Benar, geopolitik harus dilihat secara objektif. Namun hakikatnya, setiap yang berlaku atas dunia ini, semuanya telah diketahui awal-awal lagi oleh Allah S.W.T. Apa yang berlaku pun, semua dengan izin-Nya.

Hakikat kebenaran, hanya Dia yang tahu.

Kita cuma mampu berteori dengan kebenaran, dan setia dengannya.

Bersyukurlah kerana masih mampu belajar daripada sejarah, dan bukannya menjadi sebahagian daripada sejarah yang panjang, hiba, dan mengerikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s