Tuhan Dua Orang Yang Berbalah

Pernah tak anda terfikir, jika ada dua pihak yang berkelahi, Tuhan akan berpihak kepada siapa?

Jawab kita, sudah tentulah kepada ‘kebenaran’.

Tapi bagaimana jika kedua-dua pihak merasakan diri mereka benar?

Saya bukan nak mengkritik sahabat Nabi. Jauh sekali hendak menjatuhkan martabat mereka. Namun bagaimana jika situasi zaman dahulu, terjadi hari ini.

Hari di mana manjanik pasukan Hajjaj Bin Yusuf merejam batu batan kepada tentera Abdullah Bin Zubair, hingga roboh dan rosak dinding Kaabah, dan jemaah haji yang bertawaf rasa terancam.

Kedua-dua pasukan umat Islam itu merasakan diri merekalah yang benar. Hajjaj merasa dirinya betul. Abdullah pun merasakan ijtihadnya benar. Kedua-dua mereka bersolat mengadap kiblat yang sama. Membaca fatihah yang sama, dan berdoa kepada Tuhan yang sama.

Lalu, dalam doa-doa mereka, adakah ada Tuhan Hajjaj dan Tuhan Abdullah? Atau yang ada, hanya Allah S.W.T sahaja.

Nauzubillah. Semoga Allah melindungi kita daripada syirik.

Situasi yang sama sebenarnya berlaku hari ini. Ada orang yang bermusuhan kerana beranggapan dirinya dizalimi. Walhal musuhnya itu juga berasa hal yang sama, iaitu dirinya juga dianiyai. Seringkali, menuntut keadilan disalah anggap sebagai kezaliman, dan kezaliman diertikan sebagai pembelaan.

Kita rasa orang lain pentingkan diri walhal kita sebenarnya yang pentingkan diri!

Apabila kita sampai kepada situasi itu, mungkin kisah Saidina Said Bin Zaid R.A boleh dijadikan ikhtibar. Saidina Said pernah difitnah oleh seorang wanita bangsawan bernama Arwa Binti Aus. Kata Arwa, Saidina Said Bin Zaid telah merampas tanah miliknya. Berita fitnah ini meletus ditengah masyarakat hinggakan gabenor ketika itu, Marwan Bin Hakim terpaksa meminta keterangan daripada Saidina Said R.A.

Merasa dirinya difitnah, Saidina Said Bin Zaid menadah tangan, mengadu kepada Allah S.W.T. Doanya makbul. Akhirnya Arwa telah menjadi buta dan tidak berapa lama kemudian, jatuh lalu meninggal di dalam perigi, atas tanah yang didakwa miliknya tadi.

Pada saya, semua orang mempunyai sifat “perasan betul” itu. Saudara Zamir Mohyedin dalam buku beliau, The Human Complex ada menulis essei tentang sistem kepercayaan, kebenaran, dan hubungkaitnya dengan faktor kemanusiaan.

Setiap manusia memiliki kepercayaan masing-masing.

Lihatlah pergaduhan yang tak sudah antara golongan allopathy dengan pro-choice. Ada-ada sahaja gelaran tak elok yang dilemparkan ke wajah lawan. Yang percayakan vaksin dituduh sebagai membabi buta. Yang tidak percaya, dituduh sebagai buta hati pula.

Padahal, masing-masing percaya merekalah yang benar. Bahkan, jika berkelahi, mereka “mengadu” kepada Tuhan yang sama!

“Ya Allah, si fulan telah menuduhku begitu dan begini…”, rintih si anti-vax.

“Ya Allah, sesungguhnya aku telah difitnah oleh si fulan…”, doa si pro-vaksin pula.

Samalah dalam hal lain pun.

Entahlah. Saya rasalah, selagi mana kita bergelar manusia, kita pasti akan kalah dengan perasaan. Kita akan sentiasa fikir kitalah paling benar. Namun, semakin kita dewasa, kita akan semakin sedar bahawa tidak apa jika sesekali kita mengangkat bendera putih.

Jika mengalah dirasakan terlalu pahit, maka cukuplah dengan kita serahkan kebenarannya kepada Allah S.W.T.

Seperti Saidatina Fatimah R.A yang menyerahkan urusan Tanah Fadak kepada Allah.

Tak apa.

Tak payah dibesar-besarkan.

Tak perlu diapi-apikan.

Ada pahala yang besar menanti mereka yang sabar, memaafkan, dan tidak membesar-besarkan.

Bukankah sifat orang munafik itu, mereka suka memarakkan bara yang hampir padam?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s