CERPEN: Korban Akal

Aku ni, dari dahulu suka bertanya. Banyak soalan-soalanku yang dijawab, tapi banyak juga yang tidak. Banyak juga yang makin dijawab, makin membuatku tertanya-tanya. Kata ayah, sejak kecil lagi aku suka menjawab. Jika disuruhku tidur, aku akan bertanya, kenapa manusia kena tidur? Apa akan jadi jika tidak cukup tidur? Mengapa mulut kita berbau apabila bangun daripada tidur, dan macam-macam lagi.

Tak hairanlah ayahku naik angin. Selalu sahaja dia bertukar menjadi singa, mematikan deretan soalanku.

Di sekolah pun aku begitu. Paling tak boleh dilupakan apabila Ustaz Ali menggaru-garu kepala saat diajukan soalan, “Malaikat Jibril buat apa sekarang ustaz? Kan Nabi Muhammad sudah wafat, jadi malaikat Jibril pun tak ada kerjalah sebab kerja malaikat Jibril kan untuk menyampaikan wahyu”

Sampai sekarang pun aku akan tersenyum-senyum terkenang guru Pendidikan Islam aku itu.

Sikapku yang suka bertanya ini rupa-rupanya menyebabkan aku tidak disukai orang. Kawan-kawanku pun tak ramai. Siapa yang suka berkawan dengan orang yang penuh prasangka. Nak makan di restoren pun, aku sudah banyak keraguan. Biarpun ada sijil halal daripada JAKIM, tapi aku tidak boleh menahan diriku daripada bertanya, makanan itu dimasak oleh siapa, bahannya diambil dari mana, penyediannya bagaimana, dan banyak lagi.

Padahal, niatku baik. Aku bertanya bukannya untuk menyusah-nyusahkan. Aku bertanya hanya kerana aku nak tahu.

Bila rakan serumahku pulang ke rumah sewa jam 1 pagi, takkanlah aku tak boleh bertanya mengapa dia pulang lewat? Kalau sibuk bekerja pun mengapa sampai jam 1 pagi. Penatkah, dah makankah, sihatkah, semuanya aku perlu tahu. Aku kan teman serumah yang bertimbang rasa.

Erm.

“Betul, zaman Nabi dulu tak ada mufti”,

Akhirnya dia mengaku.

“Sebab zaman Nabi dulu, ada Nabi”, tambahnya.

Aku meleret senyum. Teringat kepada perbincangan aku dahulu dengan kawan sekerjaku, Jamil. Jamil ni orangnya baik, tapi bagi aku, terlalu jumud. Dia selalunya pasif tapi kadangkala agresif bila sesekali kami bercakap soal isu semasa. Jarang-jarang sekali kami akan sepakat. Selalunya, pasti bertegang urat.

“Itulah maksud aku. Zaman dulu semua sahabat yang ada akan ikut Nabi. Jadi sekarang, bila Nabi dah tak ada, kau nak ikut siapa?”, pancingku. Aku tahu, umpanku akan disambar.

“Ikut al-Quran dan hadis”, jawab Jamil tanpa ragu-ragu.

“Betul. Jadi salah ke aku cakap yang umat Islam sekarang perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah?”

Perbincangan kami pada mulanya hanya berkisar tentang solat jumaat tapi meleret sampai kepada fatwa dan mufti. Aku cuma bertanya, apa signifikannya 40 orang jemaah untuk solat jumaat. Itu saja.

“Apa yang kau cakap tu tak salah Ben. Memang kita semua perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah. Tapi kau mengajak orang untuk memahami al-Quran dan sunnah dengan kepala otak kita sendiri, bukannya dengan mengikut ulama”

“Mil, Tuhan bagi kita akal Mil. Dalam al-Quran sendiri, berapa banyak perintah Tuhan untuk kita berfikir?”

“Betul tu…”, wajah Jamil keruh. Dia beremosi. Aku pun!

“Sebab tu takkanlah kau nak taklid buta-buta Mil? Kau pun tahu, ulama adalah manusia biasa macam kita. Tak maksum. Yang maksum cuma Nabi-nabi”, tegasku.

“Ben…”, Kali ni dia senyum.

Aku cepat-cepat potong. Aku belum habis lagi. Peluruku masih banyak!

“Kau pun tahu Imam Syafie sendiri cakap yang mazhab beliau adalah hadis sahih. Beliau sendiri menyuruh pengikutnya untuk meninggalkan pendapatnya dan mengikut hadis sahih”

“Okey, lagi?”

Aku mencebik. Kau nak sindir aku? Baiklah. Kita tengok nanti, siapa yang akan terkencing dalam seluar.

“Dalam urusan dunia pun kita tak boleh main ikut je, inikan pula dalam urusan akhirat. Tuhan bagi kita akal fikiran, jadi kenapa kita perlu meninggalkan akal fikiran dalam menafsirkan agama. Ni aku baru cerita pasal al-Quran dan hadis je, belum cerita pasal bid’ah lagi.”

Aku pandang muka Jamil. Dia macam orang yang tersedak makanan, tak sabar-sabar nak meluahkan makanan yang terlekat di kerongkongnya.

“Kenapa dengan bida’ah?”, soalnya. Dia ni bodoh atau buat-buat bodoh? Dia tanya aku kenapa…

“Setiap perkara baru, adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah neraka!”,

Yakin sekali jawapan balasku. Potongan hadis sahih daripada Baginda Nabi S.A.W itu, aku lemparkan ke mukanya. Bangunlah Jamil! Bangun!

Jamil nampak lebih tenang. Dia mengangguk-angguk sendiri.

“Baik Ben. Sekarang giliran aku untuk menjawab, boleh?”

Belum lagi!

“Aku tahu kau ni budak pondok dulu Jamil. Aku pun tahu kau lebih alim daripada aku, tapi aku ni bukanlah jahil sangat Mil. Aku baca banyak buku. Aku follow ramai ustaz. Aku pun kenal ramai ulama macam Ibn Taimiyah, Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab, dan Syeikh Nasiruddin al-Albani”

Aku sekadar menyebut beberapa nama. Biar Jamil tahu, yang aku ni bukannya tin kosong. Aku juga mengkaji agama. Aku juga membaca, juga belajar. Bukan di pondok, pusat tahfiz atau pesanteren sahaja kita boleh belajar agama. Baca buku pun boleh, tengok YouTube pun bolehlah!

“Baiklah Ben. Aku tak nafikan, kau memang alim. Kau tahu banyak benda yang aku sendiri tak tahu”

Aku pandang wajah Jamil. Pemuda Kelantan itu nampak ikhlas menuturkan pujian.

“Tapi…,”

Dia menarik nafas.

“Ada beberapa hal yang aku tak setuju dengan kau. Pertama, kau kata setiap manusia perlu kembali kepada al-Quran dan hadis, betul?”

Aku angguk.

“Kau rasalah, imam-imam mazhab kita dulu tak ambil hukum daripada al-Quran dan hadis? Tak ikut Quran dan Hadis?”

“Bukan macam tu maksud aku…”

“Mereka pun ambil hukum daripada al-Quran dan Hadis!”, tegas Jamil.

“Aku tanya kau. Rumah kau ada mesin penapis air Coway?”

Aku geleng. “Aku duduk rumah sewa. Kalau nak minum, kami minum air mineral je”

“Okay”, Jamil angguk. “Kalau kau minum air, kau akan teguk terus daripada botol, atau kau akan tuang dalam cawan dulu?”

“Tuang dalam cawan dululah”, jawabku spontan.

“Samalah. Cuba kau bayangkan, kau pergi rumah bakal bapa mertua kau. Mak bakal tunang kau hidangkan air teh panas. Kau akan minum daripada teko teh, atau kau akan tuang ke dalam cawan dahulu?”

“Tuang ke dalam cawan dulu jugalah”, aku ulang jawapanku.

“Macam tu la mazhab. Kau boleh ambil hukum daripada al-Quran dan hadis secara terus kalau kau mampu, tapi soalan aku, kau mampu ke? Kau faham bahasa arab? Kau pandai ilmu balaghoh? Kau mahir dengan asbabun nuzul? Kau tahu nasikh mansuh? Kau tahu kategori hadis?”

Gulp. Aku menelan air liur.

“Kau tahu tak yang para ulama dahulu, mereka ni kategori mujtahid. Mujtahid pun ada banyak kategori. Ada mujtahid mutlak muntasil, ada mujtahid mutlak muntasib, ada mujtahid mazhab, dan ada mujtahid fatwa. Kau tahu tak tu semua?”

Aku geleng. Mujtahid ni aku tahu yang dulu pernah jadi Menteri Agama zaman PH dululah. Eh, itu Mujahid bukan Mujatahid!

“Mujtahid adalah ulama yang layak berijtihad. Kelayakan mereka bukan sahaja kerana mereka ni alim, tetapi juga kerana mereka warak dan soleh. Mereka perlu menguasai bermacam-macam cabang ilmu, menghafas beratus-ratus ribu hadis, dan diiktiraf oleh ramai ulama sezaman dengannya dan barulah layak diangkat menjadi mujtahid”

Aku angguk.

“Macam kau kata tadi, kita perlu kembali kepada al-Quran dan hadis. Betul. Seruan kau betul. Tapi macam mana nak faham al-Quran dan hadis? Kita ni, nak baca pun tergagap-gagap. Nak faham bahasa arab, jauh sekali. Kalau hadis pula, kita hanya tahu hadis sahih dengan hadis daif sahaja. Padahal ada banyak lagi pecahan hadis. Pernah dengar hadis muatawatir, hadis ahad, hadis hasan, dan lain-lain?”

“Pernah, tapi aku pun tak jelas sangat. Selalunya kalau baca buku-buku Syeikh Nasiruddin al-Albani, selalu lah aku dengar komentar beliau pasal hadis”, jawabku, membela diri.

“Ha, itu pun satu hal. Ustaz Nasiruddin al-Albani ni, sebenarnya ditolak oleh majoriti ulama ahli sunnah wal jamaah. Banyaklah kalau aku nak sebut kat sini. Kau kan rajin membaca, aku harap kau boleh buat pembacaan lebih tentang beliau kerana ramai ulama yang telah membongkar kesilapan-kesilapan beliau dalam bidang hadis. Ada hadis sahih yang sewenang-wenangnya dijatuhkan martabatnya menjadi dhaif olehnya, dan ada juga yang sebaliknya. Sebab itu aku tak pernah berminat nak ambil hukum atau ilmu hadis daripada dia sebab komennya terhadap satu-satu hadis, tak konsistem. Sekejap dia mendhaifkan, sekejap memaudu’kan, sekejap mensahihkan pula…”

Aduh, panjangnya. Aku hanya mampu terdiam. Jamil ni diam-diam ubi berisi sebenarnya. Nampak biasa-biasa sahaja, tapi perisai dirinya ampuh.

“Pasal bida’ah pula, kau kena faham betul-betul dengan maksud hadis yang kau baca tu”

Nampaknya Jamil betul-betul tak mahu memberi masa untuk otakku berehat.

“Imam Syafie kata, bid’ah ada dua iaitu bida’ah hasanah dan bid’ah dholalah. Kalau ikut fuqaha mazhab Syafie macam Imam Izzudin Abdul Salam, beliau kata bid’ah ada lima, macam lima hukum kita. Ada bid’ah wajib, sunah, harus, makhruh dan haram. Jadi tak bolehlah kita terburu-buru nak cakap sesuatu benda tu bid’ah hanya kerana Nabi tak buat”

“Jadi, apa pendapat kau tentang membaca al-Quran kepada orang mati? Imam Syafie sendiri cakap, pahala bacaan al-Quran tak sampai kepada orang mati, kan?”

Kali ni, soalan-soalanku adalah lebih kepada mencari pencerahan, bukannya untuk membuka gelanggang silat.

“Pertama sekali, kau kena semat betul-betul dalam hati kau, yang benda ni khilafiyah. Perkara paling utama dalam bab khilaf, ialah berlapang dada. Jangan bergaduh, apatah lagi mengkafirkan orang lain. Kedua, dalam mazhab syafie sendiri, ada dua pendapat dalam bab ini. Pertama, kata tak sampai pahala. Kedua, kata sampai. Pendapat kedua yang kata sampai adalah pendapat jumhur mazhab syafie dan kebanyakan mazhab maliki. Kalau ulama zaman sekarang pula, pendapat pahala bacaan itu sampai dengan izin Allah, juga merupakan pendapat almarhum Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti”

“Jadi boleh ke tak boleh?”, soalku tak puas hati.

“Macam aku cakap tadi, benda ni khilaf. Kalau kau nak buat, silakan. Dengan izin Allah, pahala tu akan sampai. Kalau kau rasa pahala tu tak sampai, tinggalkanlah. Jangan pula kau hasut orang lain. Benda khilaf jangan dibesar-besarkan. Nanti kalau orang kata kau ni radikal macam ISIS, kau jangan marah pula”

Jamil tergelak. Aku pula hanya mampu tersenyum dan rasa tersindir.

“Oh, satu lagi. Aku rasa bagus dah kalau kau suka baca buku-buku agama atau dengar ceramah-ceramah di YouTube, tapi janganlah tinggalkan belajar agama secara berguru”, pesan Jamil.

“Ni mesti kau nak kata yang belajar tanpa guru, ibarat belajar daripada syaitan, kan?”, aku mencebik. Itu bukannya hadis pun. Samalah macam orang duk kata perempuan yang bagi suaminya berpoligami, akan dapat payung emas. Payung emas apa bendanya. Bukannya ada dalil pun pasal payung emas. Buat apa orang nak payung emas, kalau boleh minta istana emas dalam syurga.

Jamil tergelak. “Taklah. Aku tak cakap macam tu pun. Lagipun tu kata-kata ulama sahaja, bukannya kata-kata Nabi. Maksud aku yang sebenarnya adalah, kalau belajar berguru, kau bukan sahaja belajar ilmu, tapi juga belajar akhlak. Masalah zaman sekarang ni, kita bukannya tak ramai ustaz-ustaz yang berilmu. Ramai ustaz yang pakar, yang pandai. Tapi kita kurang ustaz-ustaz yang berakhlak mulia. Kalau dulu, yang bergaduh ni cuma orang-orang macam kita. Tapi sekarang, sesama ustaz pun memaki hamun. Lebih teruk, sampai mengkafirkan orang lain”

Aku angguk bersetuju. Yang menipu duit orang pun ramai bergelar ustaz. Yang mencabul dan merogol, pun dah ada yang bergelar ustaz.

“Abang”

Aku tersentak. Lamunan aku terhenti apabila namaku diseru.

“Termenung panjang nampak?”,

Ada senyuman yang dikulum di hujung bibir merah itu. Isteriku telah memanaskan punggung di sebelahku.

“Tak lah, abang teringat kepada Jamil. Haish… Cepat betul dia pergi”, keluhku.

Melihat riakku yang berubah, isteriku cepat-cepat memeluk lenganku dan melentokkan kepalanya ke bahuku.

“Allah sayangkan dia bang. Orang baik-baik. Kita doalah semoga dia ditempatkan ke dalam syurga”

Aku angguk. Cuba mengukir sebuah senyuman kelat.

Terima kasih Jamil atas tunjuk ajar kau. Kalaulah bukan kau yang menyelamatkan aku, mungkin aku telah menjadi korban akalku sendiri.

Benar katamu sahabat, akal manusia tak akan mampu memahami hakikat ilmu Tuhan.

Bukannya semua perkara ada penjelasannya. 100 trillion darab 100 trillion, bukannya tiada jawapan. Namun, hanya kerana jawapannya melebihi keupayaan sebuah kalkulator saintifik, kerana itulah ia memaparkan ‘syntax error’, padahal ia bukan ‘error’. Ia cuma melebihi kemampuannya.

“Begitulah akal kita, Ben. Soalan-soalan kau bukannya tak ada jawapan, tapi sesekali, kau kena terima hakikat yang tidak semua perkara, boleh kau faham dengan akal, sebaliknya cukup dengan kau beriman dengannya sahaja”

Baik Mil. Kau telah menjawab semua soalanku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s