Apa Tujuan Anda Bernikah?

Tahun 2013, tak pernah terlintas pun dalam hati yang saya akan berhijrah daripada sebuah syarikat penerbangan nasional yang berstatus gergasi, ke sebuah syarikat penerbangan tambang murah. Berikutan beberapa faktor yang mendesak, keputusan untuk bertukar majikan, saya buat tanpa perlu berfikir panjang.

Tahun 2014, semasa pernikahan kali pertama saya, tak terlintas sedikit pun dalam hati yang nanti akan ada pernikahan lain dalam hidup saya selepas itu. Rupa-rupanya seperti kebayakan hal, ada banyak faktor yang mendesak yang menyebabkan saya terpaksa melompat daripada sebuah takdir menuju kepada takdir yang lain.

Apa yang saya nak cakap di sini adalah, setiap keputusan yang kita lakukan dalam hidup kita, hakikatnya bersebab. Sekecil-kecil perkara dalam kehidupan seperti makan, juga memerlukan lapar sebab sebabnya.

Inikan pula pernikahan.

Ada tak orang yang tak tahu mengapa dia bernikah?

Saya rasa, ada.

Kerana tiada objektif yang jelas, manusia tidak mampu bertindak dengan waras. Jiwanya menjadi agresif. Pakaiannya keegoan, dan bukan lagi jubah kehambaan.

Sedangkan setiap aturan dalam dunia ini, bersebab.

Kita diciptakan oleh Allah S.W.T juga bersebab. Apa tujuannya?

Kita menjadi manusia, kerana dua tujuan. Pertama, untuk beribadah kepada Allah S.W.T, dan kedua, untuk kita menjadi khalifah yang memakmurkan bumi ciptaan Allah.

Kembali kepada tajuk, agak-agak, mengapa kita bernikah?

Tajuk ini telah dihuraikan secara panjang lebar oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rah. dalam masterpiece beliau, iaitu kitab Ihya Ulumuddin.

Perkahwinan adalah fitrah. Nabi Adam A.S yang tinggal di syurga, juga dihimpit oleh kesunyian. Oleh itu, Allah ciptakan Hawa sebagai peneman yang setia.

Fitrah adalah litar robotik yang mengawal fungsi manusia. Justeru, melanggari fitrah bererti kita sedang memasuki ke dalam mod ‘self destruct’. Begitulah yang terjadi kepada pengkagum gerakan dan penggerak gerakan LGBTQ.

Kedua, perkahwinan adalah medan manusia melepaskan nafsu dengan cara yang halal dan berpahala. Ketika diberitahu bahawa bersetubuh dengan isteri adalah sedekah, para sahabat kehairanan hinggalah Nabi S.A.W menjelaskan, “Bukankah jika mencari jalan yang haram itu berdosa?”

Melalui perkahwinan, manusia boleh mencapai 3 perkara yang sukar dicapai di luar perkahwinan, iaitu mawaddah, sakinah, dan rahmah. Kasih sayang, ketenangan, dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Hari ini, wujud trend tidak mahu berkahwin kerana hambatan kerjaya. Perkahwinan dilihat sebagai tembok penghalang kepada karier seseorang.

Entahlah. Memanglah dalam sesetengah situasi, perkahwinan membuatkan kita terpaksa membahagikan komitmen. Jika dahulu fokus kita hanya kepada kerja, selepas pernikahan, tidak boleh lagi begitu. Namun, sedar atau tidak, salah satu tujuan pernikahan adalah supaya kita menyambung zuriat dan keturunan.

Ini bertepatan dengan sebuah hadis daripada Nabi S.A.W sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Jabir Bin Abdillah R.A tentang anjuran menikahi perawan yang masih muda kerana selain daripada faktor kesuburan, mereka juga lebih manja. Dalam hadis yang lain, Nabi S.A.W sebutkan bahawa Baginda bangga dengan umatnya yang ramai.

Namun ini sudah tentulah bersyarat, kerana dalam hadis yang lain diberitahu bahawa umat kita ini seperti buih. Banyak, tapi seperti lauk yang diratah-ratah oleh musuh.

Kerana itu surah At-Tahrim perlu dijadikan panduan, lebih-lebih lagi kepada lelaki. Allah S.W.T menyeru kepada kita supaya jaga diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka. Ini secara jelas menjadi isyarat bahawa kita berkewajipan memastikan zuriat kita, zuriat yang berkualiti.

Bukan hanya beranak ramai, tapi beranak bagus.

Selain daripada tujuan-tujuan yang bersifat spiritual, ada juga beberapa tujuan lain yang masih bersimpan dalam kantung agama.

Kan ada hadis yang popular, dinikahi seseorang wanita itu kerana 4 perkara. Harta, keturunan, kecantikan, dan agama.

Salahkah bernikah kerana harta, keturnan, dan kecantikan?

Pada saya, tak salah. Pernikahan adalah jodoh, dan jodoh adalah takdir, dan takdir adalah rahsia Tuhan.

Yang salah adalah jika kita membabi buta menuju ke ambang perkahwinan tanpa menilai aspek agama pasangan kita. Agama adalah pemberat neraca, hinggakan jika tiada agama, maka neraca kebahagiaan akan jadi berat sebelah. Kerana itulah Nabi S.A.W simpulkan hadis diatas dengan nasihat, “…pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beruntung”.

Kenapa beruntung?

Kerana orang beragama, hidupnya tidak akan miskin. Biarpun tak berharta, tapi dia akan berusaha. Biarpun tak banyak mana, tapi rezekinya dijamin halal. Tak seperti orang kaya yang tak beragama. Harapkan hartanya sahaja banyak, tapi entah halal entahkan syubhah. Adakalanya hartanya banyak, tapi masanya sedikit. Begitu juga dengan keturunan. Orang beragama, biasanya keluarganya baik-baik. Layanan mertuanya baik. Layanan ipar duainya juga mesra. Tidak seperti orang kaya yang keluarganya selalu skeptikal dan berprasangka. Begitu juga dengan rupa. Biar rupa paras tak cantik, asalkan akhlaknya menarik dan memikat.

Di dalam sejarah, dituliskan juga beberapa sebab pernikahan. Antaranya adalah untuk menjaga ibu tunggal yang kematian suami, menyebarkan agama Islam kedalam sesebuah kaum atau negara, membina hubungan diplomatik antara dua kuasa, menjadi asbab kemuliaan individu tersebut atau keluarganya, dan lain-lain.

Kesimpulan.

Saya cuma nak tegaskan bahawa subjek pernikahan itu perlu dilihat secara objektif. Jangan masuk ke gerbang perkahwinan tanpa tujuan yang jelas. Perkahwinan adalah battleground, bukannya taman permainan. Kita tidak boleh bereksperimen di dalam perkahwinan kerana implikasi hukumnya, besar.

Kita menggil melihat statistik kes baharu COVID-19. Padahal kita juga perlu menggil takut melihat statistik penceraian setiap tahun.

Jangan tergesa-gesa menulis jawapan tanpa sempat membaca soalan.

Begitulah pernikahan.

Jangan tergesa-gesa mahu membina masjid, jika diri belum bersedia menjadi imam di dalamnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s