40 Tahun Ditipu, Rakyat Berang Diperdaya Sijil Halal Palsu

Saya baca di Facebook, berderet-deret orang kongsikan berita tentang jenayah kartel daging import. Yalah, siapa yang tak marah bila ditipu hidup-hidup selama 40 tahun. Tak sangka ada orang yang sanggup memalsukan sijil halal selepas disogok dengan wang ringgit.

Padahal yang makan duit haram tu bukannya kaya-kaya dan jadi jutawan pun.

Saya juga perasan, terlalu ramai yang mendoakan kebinasaan buat mereka. Dek kerana marah bercampur kecewa, mereka kita laknat.

Paling tragis, ada segelintir yang berharap agar para pelakunya ditimpakan dengan bala yang dahsyat seperti disambar petir atau maut dilenyek lori trelar.

Begini,

Dalam situasi ini, kita semua adalah mangsa. Kita telah dizalimi oleh para pegawai dan penjawat awam yang fasik, tidak berintegriti, dan tidak bermoral.

Sebagai mangsa, kita mempunyai banyak lagi pilihan selain daripada menyumpah dan melaknat mereka.

1. Memaafkan.

Ini adalah pilihan pertama. Memaafkan juga adalah pilihan Saidina Abu Bakar R.A ketika beliau berdepan dengan saudara perempuannya yang turut mempercayai dan menyebarkan cerita bohong tentang puterinya, Saidatina Aisyah R.A yang difitnah kononnya berzina dengan seorang sahabat Nabi bernama Safwan.

Seperti kita, Saidina Abu Bakar R.A juga terlalu marah pada awalnya namun beliau berhasrat untuk memaafkan dan meneruskan bantuannya kerana mengimani firman Allah dalam surah Nur ayat 22.

Saya pernah tulis disini.

2. Berjuang bagi mendapatkan keadilan

Bila cakap tentang keadilan, bermakna kita tertakluk kepada perlembagaan dan undang-undang. Sudah tentu sejak kali pertama jenayah ini terbongkar, gangang telefon di pejabat SPRM sentiasa berdering.

Penyeludupan dan pemalsuan bukanlah perkara kecil. Ibarat bangka gajah, mustahil ia boleh ditutup dengan daun.

Di dunia, kita cuma boleh berharap supaya penerima dan pemberi rasuah, sama-sama dihukum. Yang disuap RM 300 perlu berbaring di lantai simen yang sama dengan taikun-taikun yang menerima keuntungan RM 3 juta bagi setiap kontena.

Namun, kita juga faham bahawa keadilan sebenar terlalu sukar dicapai di dunia. Hakikat keadilan adalah di hadapan Allah S.W.T di Padang Mahsyar nanti.

Ini mengingatkan saya kepada sebuah sabdaan Nabi S.A.W tentang sekelompok manusia yang muflis di akhirat kelak. Mereka adalah manusia yang dibangkitkan bersama pahala sebesar bukit, tetapi sedikit demi sedikit pahala itu ditarah kerana terpaksa dikongsi dengan mangsa-mangsa yang pernah dizaliminya dahulu di dunia.

Hingga lesap pahalanya, lalu dia terpaksa membayar kazalimannya dengan cara memikul pula dosa-dosa mangsanya.

Sebenarnya ini jugalah pilihan personal saya. Bila bertembung dengan konflik, dan bila kita terasa dizalimi, usaha dahulu untuk selesaikannya di dunia. Jika tiada kesepakatan dapat dicapai, setidak-tidaknya kita ada ‘laverage’ dan insurans di akhirat nanti.

Insurans itu adalah bahu-bahu yang boleh menanggung dosa-dosa kita. Bukankah itu juga adalah hukuman yang paling licik buat orang itu?

3. Mendoakan kehancuran buatnya.

Siapa kata tak boleh mendoakan kehancuran orang lain?

Boleh, tapi syaratnya ialah kita ini benar-benar dizalimi.

Ada sebuah peristiwa yang pernah berlaku kepada Saidina Said Bin Zaid R.A. Untuk pengetahuan semua, Saidina Said adalah salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin syurga oleh Nabi S.A.W.

Semasa pemerintahan Khalifah Bani Umayyah, Saidina Said R.A pernah difitnah dengan begitu dahsyat oleh seorang wanita bernama Arwa Binti Uwais. Arwa telah menuduh Saidina Said R.A merampas tanah miliknya. Dicanang-canangnya fitnah itu ke seluruh Kota Madinah. Orang ramai pun mula bercakap-cakap tentang hal Saidina Said R.A hinggakan gabenor Madinah ketika itu terpaksa campur tangan.

Saidina Said Bin Zaid R.A berasa sangat terhina dengan fitnah tersebut, hingga terpacul doa daripada mulut sahabat Nabi S.A.W yang mulia itu,

“Ya Allah, sesungguhnya dia telah menuduh bahawa aku telah menzaliminya. Sekiranya dia adalah seorang pendusta ya Allah, engkau butakanlah matanya dan jatuhkanlah dia di dalam perigi di kawasan tanahnya tempat di menuduhku. Zahirkanlah ya Allah akan kebenaranku dan bersihkanlah akan maruahku”

Kebenaran terserlah dengan segera. Tidak berapa lama, Arwa Binti Uwais menjadi buta secara misteri. Selang beberapa ketika, dia telah jatuh ke perigi di tanahnya lalu meninggal dunia. Doa Saidina Said makbul. Nama baiknya terbela.

Sumber: https://ikimfm.my/sayyidina-said-bin-zaid/

Para ulama mengambil ikhtibar daripada peristiwa ini dan mengharuskan perbuatan Saidina Said tersebut.

Kesimpulan.

Saya faham yang kita semua marah dan kecewa, dan saya juga faham mengapa ada segelintir kita berharap supaya nasib yang malang menanti orang-orang yang jahat.

Cuma, saya merasakan meminta supaya pegawai-pegawai yang pecah amanah itu mati dilanggar lori treler, mati dalam kebakaran rumah, dipanah petir, atau terkena penyakit busung, adalah sebuah permintaan yang ekstrem.

Mungkin dendam telah menyebabkan kita menjadi seperti syaitan- yang tak sentiasa berharap agar semakin ramai manusia masuk neraka?

Entahlah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s