Mengimbau Imam Muda Musim Pertama

Seingat saya, asal kewujudan rancangan realiti TV keagamaan adalah pada tahun 2010, iaitu rancangan Imam Muda Musim 1. Jujur sahaja, saya adalah antara penonton yang teruja akan kewujudan program sebegitu.

Besar harapan saya yang rancangan TV sebegini akan melenyapkan pengaruh rancangan Akademi Fantasia. Setidak-tidaknya orang akan mulai kurang berminat menonton rancangan hiburan. Ya lah, budaya hedonism ketika itu sangat menjadi-jadi. Daripada budak kecil sebaya anak saudara saya yang menyanyi di pentas Bintang Kecil, hinggalah kepada makcik dan pakcik yang sebaya ayah saya yang berjoget di pentas Kilauan Emas, semua orang disuap dengan dogma mahu jadi penyanyi dan terkenal.

Program IM juga tak terkecuali. Semuanya mahu jadi terkenal, atas sebab yang berbeza-beza.

Tahun 2010 itu, saya di tahun kedua dalam jurusan aircraft maintenance. Baru berjinak-jinak dengan agama, dengan Jemaah Tabligh, dan dengan usrah. Ruh keislaman ketika itu sangatlah tinggi. Kalau disuruh untuk berdakwah kepada kaki judi pun, rasanya saya takkan teragak-agak masa tu.

Semangat punya pasal.

Tahun 2010 itu juga, tagline ‘protaz’ mula diperkenal dan dipopularkan oleh ramai agamawan, antaranya ialah Ustaz Pahrol melalui deretan buku beliau yang saya simpan hingga kini.

Protaz adalah akronim bagi profesional-ustaz. Ketika itu tercetus kesedaran untuk melahirkan generasi yang berminda agamawan tetapi dalam jubah professional. Jika menjadi doktor, biarlah doktor yang soleh. Jika jadi jurutera, biar jurutera yang pandai agama. Jika jadi juruterbang, biarlah juruterbang yang alim.

Saya dan kawan-kawan pun tak terkecuali. Masa tu, semua memahat impian kononnya mahu menjadi LAE yang soleh.

Tapi itulah, makin menginjak dewasa, kita akan tersedar bahawa agama tidak boleh dicampur dengan popularisma dalam kuali yang sama. Popularisma adalah antigen yang berbahaya dan boleh merosakkan hampir semua benda, termasuklah agama seseorang.

Tidak seperti profesionalisma.

Kita boleh menjadi agamawan yang profesional.

Tapi ‘sukar’ menjadi agamawan arus perdana yang popular.

Bayangkan, sejak daripada program Imam Muda Musim 1 hinggalah sekarang, betapa banyak ‘fitnah’ yang telah dilakukan oleh alumni program-program realiti keagamaan begini. Tak kiralah imam muda ke, PU ke, mahupun daie.

Saya sebenarnya tertarik dengan komen seorang rakan saya, yang menyeru agar hadiah bagi juara program realiti TV ini tidak sepatutnya di dalam bentuk wang ringgit, sebaliknya tajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama agar mereka menjadi lebih alim dan bertaqwa.

Kritikan kepada program sebegini bukan sahaja dibuat oleh orang awam seperti saya, tetapi juga daripada ramai asatizah sebelum saya. Saya ingat lagi bagaimana program daie TV3 mendapat kecaman maha hebat kerana ada satu slot team building yang sangat tidak menjaga ikhtilat dan sangat mencacatkan pemandangan sekumpulan daie muda.

Entahlah, terlalu banyak kekeliruan yang wujud masa kini. Ada yang faham tugas berdakwah itu sebagai tugas ustaz-ustazah sahaja, justeru semua maksiat di depannya, dibutakan sahaja.

Ada pula yang faham, kalau nak dakwah, kena popular dulu. Tu yang “gila” main Facebook, Twitter, Instagram, tulis buku, rakam lagu, dan macam-macam lagi. Semua mereka bermimpi mahu menjadi influencer dan mengumpul follower, hingga terlupa untuk perbaiki diri, tambah ilmu, dan muhasabah diri.

Terkenal adalah ujian. Semakin kurang dikenali bahkan lebih baik.

Relatifnya, jika dahulu hanya pesalah sahaja yang dihukum. Kini, bukan hanya si pelaku, keluarganya, syarikatnya bekerja, dan rakan-rakan si pelaku itu juga bakal terima tempiasnya.

Netizen hari ini terlalu rakus membogelkan orang.

Saya ni sudah 30 tahun. Saya rasa, saya sudah cukup dewasa untuk memberi nasihat sebegini kepada adik-adik yang mungkin baru berjinak-jinak dengan gerakan islam, dakwah, dan tarbiyyah.

Percayalah, yang pertama dan terutama ialah diri kita sendiri. Sebagaimana kata-kata Syeikh Mustafa Mashhur (mursyidil am Ikhwanul Muslimin ke-5) yang masyhur,

Ubah diri kamu, dan ajaklah orang lain berubah.

Bukan ubah diri orang lain, dan biarkan diri kamu,

Dan bukan juga ‘dakwah’ anak gadis, tapi ajaknya bermalam!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s