Kisah Anjing Di Rumah Orang Melayu Bangsar

Tidak seperti anak saya yang membesar di bandar, saya pula dibesarkan di kampung yang semua penduduknya beragama islam. Jadi, anjing adalah haiwan yang hampir tiada langsung di kampung saya. Babi hutan bahkan lebih mudah dan sering ditemui di sana.

Berbeza sekali dengan anak saya yang hampir setiap hari melihat anjing liar. Ada yang comel dan manja, ada juga yang sakit dan berkurap.

Sama seperti kucing, anjing juga adalah haiwan sentiasa mengelilingi kita. Di mana-mana sahaja, pasti kita akan terlihat kelibat mereka mencari makanan di balik plastik sampah.

Lantas timbul persoalan, apakah pendirian sebenar Islam terhadap anjing?

Jujur saya katakan, ada stigma dan pandangan sesetangah kita yang memandang anjing itu sebagai haiwan yang jijik, kotor, dan perlu dijauhi. Jika anjing berada berdekatan dengan kita, pasti kita akan mengambil langkah seribu.

Bahkan ada segelintir kita yang radikal, hingga ke tahap mencederakan anjing-anjing liar itu. Cerita anjing liar dibunuh dan dicederakan, lebih kerap didengar berbanding dengan cerita anjing mencederakan manusia.

Lebih menyedihkan apabila pelakunya bukanlah budak-budak biasa. Kalau setakat kacang hantu yang buat, bolehlah kita kata “biasalah”, tetapi bagaimana dengan orang dewasa yang digelar ‘haji’ dan berkopiah?

Hina sangatkah anjing di sisi Islam dan penganutnya? Kan anjing juga makhluk ciptaan Tuhan?

Hukum Pegang Anjing.

Apa-apa sahaja daripada anjing adalah najis mughallazah termasuklah bulu, air liur, peluh, darah, air kencing, atau najis anjing.

Jika bersentuhan, kita perlu bersuci dengan basuhan air sebanyak 7 kali dan dengan basuhan air tanah, sekali.

Namun jarang-jarang kita tahu bahawa dalam mazhab syafie, perbuatan ‘sengaja’ menyentuh anjing tanpa keperluan adalah berdosa.

Lainlah kalau kita mahu menyelamatkan anjing daripada lemas, terperangkap atau tersesat di tengah-tengah jalan raya yang sibuk.

Islam Dan Anjing.

Dalam sejarah, tidak pernah lagi ada gesaan untuk membunuh anjing dengan sengaja. Bahkan di dalam tamadun Turki Uthmaniyah, anjing-anjing liar dibiarkan berkeliaran dengan bebas. Mereka mempunyai peranan di dalam ekosistem terutama bagi melupuskan sisa makanan dan mengawal binatang perosak seperti tikus. Tradisi ini bahkan diteruskan sehingga kini. Jika kita berjalan-jalan ni sekitar Blue Mosque atau di Hagia Sophia, pasti kita akan bertembung dengan anjing-anjing yang sedang berehat sambil menikmati hangat matahari.

Di dalam surah al-Kahfi, bahkan dikisahkan bahawa para pemuda kahfi melarikan diri ke dalam gua bersama-sama seekor anjing.

Di tempat yang lain pula, Allah S.W.T menggunakan anjing sebagai ilustirasi yang menceritakan tentang peribadi orang Yahudi.

Bolehkah Bela Anjing?

Dahulu, jarang-jarang kita dengar orang melayu membela anjing tapi hari ini berlambak ‘melayu urban‘ yang membelanya.

Mereka tanpa geli dan janggal berpelukan dengan haiwan kesayangan mereka. Bahkan ada kalangan mereka yang diangkat sebagai idola dan wira masyarakat kononnya kerana berjaya memecahkan stigma dan streotaip.

Begini,

Anjing memang boleh dibela tetapi dengan syarat-syarat yang sangat ketat iaitu untuk menjaga haiwan ternakan, kebun, atau kediaman.

Mereka juga perlu disediakan tempat yang berasingan daripada rumah kita. Ini berikutan amaran daripada Nabi S.A.W yang malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada dibela anjing. Bahkan semasa hayat Baginda S.A.W sendiri, Baginda pernah menolak untuk memasuki rumah seorang lelaki ansar kerana ada anjing di rumahnya.

Sebenarnya, yang paling menggerunkan adalah apabila Nabi S.A.W bersabda yang amalan orang yang membela anjing akan berkurangan sebanyak satu qirat setiap hari. Satu qirat ni digambarkan oleh ulama sebesar Bukit Uhud.

Bayangkan,

Amal soleh kita setiap hari, secupak pun tak sampai. Tapi defisitnya, sebukit!

Kesimpulan

Sayang dan menjaga haiwan adalah tuntutan agama, namun tidak sampai kepada berpelukan, bergomol, dan membelanya.

Berbuat baiklah kepada anjing, mudah-mudahan kita boleh menjadi seperti pelacur yang diceritakan oleh Nabi S.A.W, diampunkan dan dimasukkan ke dalam syurga kerana memberinya minum air daripada takungan sepatu.

Janganlah pula kita ini menjadi kelompok yang tidak dipandang oleh Nabi Muhammad S.A.W, sebagaimana enggannya Baginda masuk ke rumah sahabat Ansar yang membela anjing.

Takut-takut kitalah watak antagonis kepada cerita pelacur tadi. Orang lain masuk syurga kerana anjing, kita pula masuk neraka kerananya.

Lebih paradoks jika terpaksa berjiran dengan si fulan yang masuk neraka kerana menyiksa anjing.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s