Sains Bukan Sains

Sehari dua ni, rancak pula naik di timeline saya isu “belajar sains adalah belajar sihir”. Segalanya berpunca dengan sebuah keratan komen atau ‘teguran’ daripada seorang ‘islamis’ kepada rakannya.

Geli hati membaca ayat terakhirnya,

Ittaqullah akhi. Akhi belajar agama, tapi belajar sihir juga”.

Ramai yang dah bercakap dari sudut akademik, jadi saya tak berniat nak mengulang hal yang serupa. Justeru saya ada pendapat tak popular (unpopular opinion) yang akan saya pecahkan kepada tiga bahagian.

1. Aslikah (genuine) komen itu?

Agak sukar sebenarnya nak percaya yang di zaman ini, masih wujud kelompok manusia yang primitif dan regresif. Saya sebenarnya merasakan yang mesej atau komen orang itu adalah sebuah sarkastik atau parodi. Lebih-lebih lagi bila dibuat secara rahsia (anonymous), tak tahu siapa pengarangnya.

Dalam masa yang sama, dia sendiri pun menggunakan teknologi. Susah nak percaya orang yang berenang-renang dalam lautan maklumat tidak mengimani sains.

Selagi tak tahu siapa penulisnya, saya cuma akan anggap itu sebagai gurauan di internet sahaja. Sebab orang yang mahu menyamakan sains sebagai sihir, orang itu memerlukan confident level yang sangat tinggi… (dan kedunguan yang juga sama-sama tinggi).

2. Untuk apa tahu semua itu?

Sejak remaja lagi saya sudah dengar cerita-cerita tentang teori konspirasi ni. Namun, seperti simpang-simpang di sepanjang jalan, bukan semuanya saya ikut. Saya tak pernah berminat pun nak tahu, jauh sekali mengkajinya.

Semasa zaman usrah dulu, pernah jugalah adik-adik usrah bertanya tentang freemason, dajjal, false flag, flat earth, New World Order (NWO), dan lain-lain. Saya cuma akan cakap, apa yang murabbi saya pernah cakap,

“Untuk apa kita tahu benda-benda tu semua? Adakah keimanan kita akan meningkat, atau kita hanya akan terjerat dalam perdebatan yang sia-sia di dalam Facebook sahaja?”

Iyalah. Memang ada antara kita yang bersemangat seperti Saidina Huzaifah al-Yamani R.A. Kononnya suka bertanya dan ambil tahu tentang perkara-perkara buruk kerana mahu berjaga-jaga daripadanya, tapi lihatlah ke mana ‘ilmu-ilmu’ itu membawa kita?

Kita menjadi anti vaksin, larut dalam perbincangan tentang bentuk bumi, dan akhirnya menambah musuh di alam maya. Aneh sekali apabila kita bergaduh, memaki hamun, dan menyumpah seranah orang-orang yang kita tak kenal dan tak pernah jumpa pun.

Tambah iman, tidak.

Tambah amal, pun tidak. Yang tambah cuma musuh dan permusuhan.

3. Sekalipun benar, apa yang kita boleh buat?

Mungkin hadis “gigi geraham” adalah jawapan yang paling tepat kepada soalan itu.

Hadis itu ringkas tapi tegas. Nabi S.A.W berpesan supaya kita berpegang teguh dengan al-Quran dan Hadis dengan sabdaan Baginda melalui riwayat Imam Ibnu Majah, “…gigitlah sunnahku dengan gigi geraham…”.

Mungkin masanya sudah tiba untuk kita kurang disibukkan dengan hal-hal tidak pasti dan populis, dan mula menyibukkan diri dengan urusan kehidupan abadi kita nanti.

Jangan jadi seperti lelaki badwi yang menyampuk semasa Nabi sedang berkhutbah dengan soalan populis, bilakah tarikh hari kiamat.

Jawapan Baginda S.A.W kepadanya dan kepada kita adalah sama,

“Apa yang telah engkau persiapkan untuknya?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s