Bagaimana Kita Mahu Memaafkan

Akhirnya selepas beberapa hari, kini barulah saya rasa yang saya sudah benar-benar boleh memaafkan ‘orang itu’. Berat sekali bencana fitnah, patutlah Nabi S.A.W memberi amaran keras kepada orang-orang yang suka mengadu domba ini.

‘Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba’ (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Sebenarnya, sampai sekarang pun saya masih belum tahu siapa si batu api itu. Namun, mungkin kerana hati ini sudah tenang dan mahu memaafkan, saya sudah tidak berselera lagi untuk mencarinya.

Berikut adalah beberapa tips untuk kita mula memaafkan.

1. Memaafkan untuk dimaafkan.

Sebagai manusia biasa, saya juga sedih dan kecewa. Murung juga pada mulanya kerana dituduh dan digelar buruk oleh orang yang kita anggap sebagai keluarga. Akal dan emosi saling berkelahi, hinggakan semasa memandu pun, simpang boleh terlepas, signal boleh terlupa, dan konsentrasi boleh melayang ke bahu jalan.

Namun, kita perlu ingat bahawa kita mahu memaafkan orang bukan kerana kita ni malaikat. Kita bukan saint. Tapi kerana kita ini bukan malaikatlah, kita perlu memaafkan, sebagaimana Saidina Abu Bakar R.A yang ditegur secara terhormat oleh Allah S.W.T melalui ayat 22, surah an-Nur,

Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan diantara kamu bersumpah bahwa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya, orang-orang miskin, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”

Kisahnya, Abu Bakar R.A mempunyai saudara perempuan yang fakir dan hidup dengan dibiaya beliau. Namanya Misthah. Dalam peristiwa hadisul ifq (fitnah terhadap Saidatina Aisyah R.A), salah seorang pembawa fitnah itu adalah Misthah sendiri.

Apabila terbukti bahawa puterinya (Saidatina Aisyah R.A) adalah mangsa fitnah, spontan Saidina Abu Bakar R.A marah dan bersumpah untuk memberhentikan bantuan kepada Misthah kerana sikapnya yang seolah-olah menggigit tangan orang yang memberinya makan.

Namun beliau ditegur oleh Allah S.W.T, “…Adakah kamu tidak ingin Allah mengampunkanmu?”

Banyak sebenarnya pengajaran daripada kisah ini,

  • Sebaik-baik Saidatina Aisyah R.A pun masih orang bersangka buruk dengannya
  • Misthah adalah orang yang rapat dengan Saidatina Aisyah, itu pun boleh mengata lagi.
  • Saidina Abu Bakar R.A mempunyai hak untuk marah, tapi ditegur supaya memaafkan.
  • Kita nak Allah S.W.T maafkan kita, tapi kita berkira-kira untuk maafkan orang. Adilkah begitu?

2. This too shall pass!

Itu adalah mantra ajaib untuk memujuk hati. Memanglah pada mulanya, kita kecewa. Tapi lama kelamaan, kita akan membina kekuatan dalam hati untuk bangkit sendiri.

Ingatlah, kita tidak akan selamanya dibawah.

3. Tak perlu cari siapa pelaku.

Seperti dalam game ‘Among Us’, imposter juga berada di sekeliling kita. Mereka akan berpura-pura seperti mereka juga adalah mangsa, bermain-main dengan emosi kita (play victim), dan pandai menyusun ayat simpati. Namun, tidak seperti di dalam permainan video, kita tidak semestinya ‘menang’ walaupun kita berjaya ‘menemui’ siapa pelaku itu.

Kadangkala, kita akan terasa semakin susah untuk memaafkan selepas kita tahu siapa pelakunya.

Bahkan tidak mustahil selepas tahu siapa pelaku sebenarnya, syaitan akan menghasut kita untuk membalas dendam pula. Akhirnya, kita menjadi bidak catur iblis yang meneruskan pusingan kebencian.

4. Ikhlas dalam memaafkan.

Saya teringat ada seorang ustaz pernah bercerita tentang seorang ulama di zaman silam yang mengarang sebuah kitab. Oleh kerana beliau bimbang dirinya tidak ikhlas, maka beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kitab yang baru habis dikarang itu di atas mimbar masjid lalu berdoa, “Ya Allah, jika sekiranya amalku ini ikhlas semata-mata kerana-Mu, maka jagalah kitab ini”.

Kitab itu dibiar menjadi makanan bahang matahari dan hujan petir. Selepas sebuah tempoh yang lama, beliau berhajat untuk memeriksa keadaan kitab itu dan didapati bahawa keadaannya masih sempurna seperti hari pertama ia selesai dikarang. Selepas itulah baru ulama itu mula menyebarkan tulisannya, dan dimanfaatkan oleh anak-anak muridnya.

Begitulah dengan memaafkan. Perkataan “saya maafkan kamu” ialah perkataan yang murah jika dibuat tanpa komitmen. Sebaliknya ia akan menjadi sebuah amal soleh jika kita benar-benar memurnikan maksudnya. Sebagaimana kitab yang tidak rosak dibakar matahari, dan tidak koyak dimandi embun, begitulah juga kemaafan yang ikhlas.

Kita tidak akan menjadi manusia yang memaafkan apabila tenang, tetapi akan kembali teringat dan berdendam apabila diungkit.

Buku yang baik tidak akan terkoyak walaupun diselak berkali-kali. Begitulah hati.

Kesimpulan.

Memaafkan bukan bermaksud kita kalah atau lemah. Kita perlu sedar bahawa hidup ini sama sekali bukan sebuah pertandingan.

Orang tuduh kita jahat, belum bermakna yang kita ini jahat.

Kita perlu segera dewasa, untuk kita faham bahawa kita tidak perlu membuktikan apa-apa kepada orang yang meniup racun dan toksin kepada kita.

Memaafkan bukan bermaksud kita menolak keadilan. Kita cuma melepaskan tali sauh, dan biarkan kapal ini berlayar menuju ketenangan.

Dia?

Kita serahkannya kepada Allah. Kalau Allah mahu mengampuninya, maka itu baik baginya. Tapi jika Allah mahu mengazabnya, maka itu adalah semata-mata kerana keadilan-Nya, bukannya kerana kesaktian kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s