Nikah cerai dan persoalan-persoalan yang berkaitan

Saya rasalah, antara mimpi ngeri orang yang sudah berkahwin adalah, apabila mereka terpaksa menukar status mereka kepada janda atau duda. Bukan apa, kerana selain daripada implikasi teknikal, perubahan status ini juga mempunyai banyak implikasi hukum.

Kita akan bincang satu per satu.

1. Hinakah penceraian?

Perceraian adalah salah satu daripada instrumen yang diselia oleh agama. Tidak timbul isu hina atau mulia, selagimana ia berjalan dengan elok. Nabi S.A.W sendiri pernah menceraikan isteri Baginda. Sebagai hamba, kita perlu sedar bahawa jika segala usaha telah dilakukan untuk memperbaiki perhubungan, namun masih juga gagal, maka kita diizinkan mengambil jalan penceraian sekalipun ianya berat.

Bertahan di dalam hubungan beracun adalah lebih buruk dan merbahaya kepada individu dan anak-anak. Sejujurnya, saya lihat ramai pasangan yang retak menunggu belah. Mereka bertahan hanya kerana anak-anak. Jika mampu, teruskanlah. Jika itulah yang terbaik, maka bertahanlah. Namun, percayalah bahawa anak-anak tetap tidak akan membesar dengan sempurna dalam rumah yang tandus daripada cinta dan kemesraan.

2. Cerai mati

Bagi suami isteri yang kematian pasangannya, bertabahlah. Ini adalah ujian kehidupan yang maha dahsyat. Ia tak sama macam kematian ibu atau bapa. Bahkan dalam situasi-situasi tertentu, ia boleh jadi lebih teruk lagi. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak yang masih kecil.

“Although grief is a normal human experience that most people adapt to over time, losing a parent when a child is young is a significant stressor that requires extra support…”

3. Iddah

Hukum iddah terpakai kepada isteri yang melalui proses penceraian atau kematian suaminya. Tempohnya berbeza-beza mengikut situasi, namun bagi isteri yang kematian suami, iddahnya adalah 4 bulan 10 hari. Sepanjang tempoh itu, balu dilarang untuk berdandan, keluar rumah tanpa keperluan mendesak, dan dilarang daripada berkahwin lain.

Berbeza dengan lelaki, kaum adam tidak ditaklifkan dengan iddah. Bahkan ada pendapat yang menyatakan bahawa semulia-mulia Saidina Ali R.A pun, beliau sudah bernikah semula dua minggu selepas kewafatan Saidatina Fatimah R.A.

Dari perspektif seorang lelaki, saya boleh katakan bahawa seorang lelaki tidak boleh mengurus rumahtangga dan anak-anaknya sebaik seorang wanita.

Begitulah juga halnya seorang anak kecil. Anak-anak masih boleh membesar dengan sempurna tanpa bapa, namun amat sukar untuk membesar tanpa kasih seorang ibu. Lihatlah sendiri kepada Nabi S.A.W. Sekalipun bonda Baginda wafat seawal usia Baginda 6 tahun, kantung emosi Baginda masih dipenuhi dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu angkat Baginda, Ummu Aiman.

4. Situasi di dalam syurga nanti.

“Kalau saya bernikah semula, nanti di dalam syurga, saya akan bersama dengan suami yang mana?”

Jawapan bagi soalan itu adalah, jika kedua-dua (atau beberapa) suaminya masuk syurga, maka wanita itu akan

  • Bersama dengan suami terakhirnya
  • Bersama dengan suami yang paling baik akhlaknya
  • Dia boleh memilih dengan suaminya yang mana satu dia mahu

Justeru kita dapati memang wujud segelintir wanita yang menyarung status janda dengan berani dan bangga. Mereka tidak mahu bernikah semula kerana sayang mereka kepada bekas suami mereka, takut-takut, tak dapat bersama dengan bekas suaminya di syurga.

Hukum ini jelas berbeza dengan lelaki kerana lelaki boleh berpoligami.

5. Keperluan

Mana-mana perkahwinan (atau perkahwinan semula), perlu dibuat atas keperluan, bukan semata-mata kehendak.

Sebagai contoh, kita boleh melihat rasionalisasi Saidina Jabir Ibn Abdillah yang menikahi seorang janda yang sudah berusia. Tindakannya itu menarik perhatian Rasulullah S.A.W yang bertanyakan sebabnya memilih janda, mendahului para anak gadis yang ada. Lalu beritahu Saidina Jabir, beliau menikahi wanita dewasa kerana isterinya itu memiliki sifat keibuan yang tinggi. Hasratnya adalah supaya isterinya boleh membantunya menjaga adik-adiknya yang masih lagi kecil. Lebih-lebih lagi, ayah mereka (Saidina Abdullah Ibn Amir) sudah syahid.

Visi Jabir itu diperakui oleh Nabi S.A.W dan Baginda memuji tindakannya.

Benar, ramai yang memilih untuk berpusing-pusing dalam orbit yang statik. Islam menghormati kehendak mereka. Sebab itulah dalam soal janda, wali tidak boleh mendesak anaknya bernikah semula. Seorang janda boleh menolak permintaan bapanya untuk bernikah. Lain halnya dengan anak dara.

Oleh kerana keperluan jugalah, kita dapati ramai yang memilih untuk membujang. Mungkin juga kerana faktor usia yang sudah lanjut, faktor pekerjaan, atau trauma atas kegagalan dalam perhubungan-perhubungan yang lalu.

Justeru, kita sama sekali tidak boleh bersikap pesimis, judgemental dan bersangka buruk apabila ada balu atau gemulah yang mahu bernikah semula. Mereka bukannya tidak cinta kepada bekas pasangan mereka. Mereka cuma mahu meneruskan kehidupan mereka.

Sedalam-dalam cinta Nabi S.A.W kepada Saidatina Khadijah pun, Baginda tetap tidak membunuh masa hadapan Baginda dengan menutup hati Baginda kepada cinta-cinta yang baharu.

6. Kesimpulan

Ya, tahu. Lelaki zaman ini bukannya baik macam Nabi.

Tapi itulah, orang yang bercakap macam itu bukannya lebih baik dan setia daripada Hindun Binti Abi Umayyah pun.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s