Masalah mental dan kurangnya agama.

Saya selalu membaca debat di dalam internet berkenaan kaitan di antara agama dengan masalah mental. Ada pendapat ekstrem kiri, yang menolak mentah-mentah kaitan di antara agama dengan masalah mental. Ada pula yang terlalu kanan, yang merasakan masalah mental berpunca kerana kurangnya pegangan agama seseorang.

Adapun saya, di tengah-tengah.

Saya percaya bahawa orang yang kuat beragama juga boleh menderita penyakit mental, dan dalam masa yang sama, saya percaya bahawa pesakit mental boleh dirawat dengan pendekatan spiritual.

Dr John Turbott dari University of Auckland, New Zealand pernah menulis sebuah jurnal pada tahun 1997 yang menyatakan wujudnya hubungan yang erat di antara kerohanian dengan kesihatan mental. Lebih awal daripada itu, pakar neurologi dari Austria, Dr Sigmund Freud dan rakannya, Dr Jean-Martin Charcot juga telah menyimpulkan bahawa kantung spiritual pesakit adalah antara penyumbang kepada penyakit neurosis, iaitu sebuah spektrum gejala mental yang kronik tetapi tidak sampai kepada delusional atau berhalusinasi.

Itu baru kajian pakar psikatri dari Barat. Bagaimana pula dengan pegangan, kepercayaan, dan pendirian kita, umat Islam?

Adakah kita masih merasakan bahawa penyakit mental ini langsung tiada hubung kaitnya dengan agama?

Sejujurnya saya belum menemui bukti kukuh tentang penyakit mental serta rawatannya secara klinikal dan khusus dalam kehidupan Rasulullah S.A.W dan generasi salafus soleh. Namun saya sedar, itu adalah kerana kelemahan saya yang kurang membaca dan mengkaji.

Mungkin sahaja di zaman itu, umat manusia belum lagi mempunyai kesedaran tentang penyakit mental?

Atau mungkin sahaja, di zaman itu, umat manusia hidup tenang, aman, dan memang tidak menderita penyakit itu?

Sebenarnya banyak juga tempat di dalam al-Quran yang mana Allah S.W.T menegaskan bahawa zikir adalah salah satu sedatif yang menenangkan.

Saya nampak kebenaran bagi hipotesis di atas.

Ada sebuah kajian ditulis pada bulan Mei 2020 oleh The Lancet Psychiatry yang meramalkan bahawa kes bunuh diri akan meningkat sebanyak 22,000 kes di seluruh dunia akibat pengangguran yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Pengangguran dan hilang pekerjaan adalah salah satu lembing yang membunuh kewarasan mental. Ia bukan lagi isu nasional tapi sudah menjadi masalah global. Di mana-mana ceruk dunia pun, pasti ada orang yang hilang mata pencariannya kerana wabak ini.

Fakta ini membuatkan kita ingat kepada apa yang dilalui oleh nabi dan para sahabat baginda. Nabi S.A.W menjalani hidup baginda dengan sangat sederhana. Tidak seperti kita yang kenyang setiap masa, Baginda S.A.W tidak pernah kenyang selama dua hari berturut-turut. Begitu juga dengan para sahabat yang digelar ahli suffah. Ahli suffah ini akan tinggal di sekitar masjid. Mereka sangat susah hingga ke tahap ada yang diintai-intai oleh kebuluran.

Namun di sebalik kepayahan mereka, ada tak terselit di dalam sejarah, kisah sahabat Nabi yang depresi, anxiety, atau berfikiran suicidal?

Saya yakin tidak, kerana sekalipun perut mereka kempis, namun hati mereka kembung dengan zikrullah.

Bahkan sejauh manapun kita skeptikal dengan agama, kita perlu mengimani ayat ini;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ

Wahai umat manusia, Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Surah Yunus, Ayat 57]

Penawar di dalam ayat di atas boleh difahami sebagai penawar kepada penyakit ragu-ragu dan kemunafikan, atau juga penawar bagi penyakit-penyakit batin yang kita tak nampak.

Kesimpulan.

Saya cuma nak tegaskan bahawa penyakit mental ini ada kaitan (sekalipun mungkin tak banyak) dengan akaun spiritual seseorang.

Justeru nasihat supaya rajinkan diri beribadah, membaca al-Quran, dan berzikir, adalah nasihat yang boleh diterima.

Jadi tak perlulah anda nak meloncat apabila ada orang mengingatkan anda supaya dekat dengan Tuhan. Semua orang memang perlu dekat dengan Tuhan, bukan hanya pesakit mental.

Dalam masa yang sama, saya juga beriman 100% dengan rawatan fizikal seperti pengambilan ubat-ubatan yang dibenarkan oleh syarak, sepertimana yang dinasihatkan oleh pakar psikatrik.

Polemik Nabi Yaakob A.S. yang diselimuti kesedihan berpanjangan atas kehilangan Nabi Yusuf sampai buta mata Baginda, adalah bukti bahawa orang yang paling dekat dengan Tuhan pun, boleh bersedih sedahsyat begitu.

Kita ini, apatah lagi.

Berubatlah. Disamping kita menelan pil dan kapsul, telanlah juga ayat-ayat Allah S.W.T yang setiap masa melagukan cinta dan rindu kepada negeri abadi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s