Tetaplah Menjadi Baik

Ketika seorang arab badwi kencing di dalam masjid, Nabi S.A.W cepat-cepat memujuk, “Barkan dia selesai dahulu…”, ketika para sahabat sudahpun menyinga. Ah, kurang ajar sekali si badwi.

Ketika badwi yang lain menyentap selendang di leher Baginda, para sahabat telah menggepal penumbuk. Tenang sahaja Baginda bertitah, “Berikan. Berikan sehingga dia puas”, hingga lebar ke telinga senyumnya.

Ketika si buta Yahudi menyumpah seranah “Si Muhammad” itu, tersenyum sahaja Baginda sambil tangan mulianya terus menyuapkan roti yang dah dilembutkan ke dalam mulut si buta yang sudah tidak bergigi itu.

Membalas kebaikan dengan kebaikan, itu fitrah.

Membalas kejahatan dengan kejahatan, itu dendam.

Membalas kebaikan dengan kejahatan, itu zalim.

Tapi,

Jika membalas kejahatan dengan kebaikan, itu sunnah.

Tapi jujur sahaja, benda ni tak mudah. Senang kita bercakap, tapi bila kita dikeji, dikecam, dan dizalimi, kita cenderung untuk membalas. Jika tidak mampu, kita menyimpannya di dalam hati, biar berdarah dan membarah.

Tetaplah menjadi baik.

Orang buat tak baik kepada kita, kita pendam dan maafkan. Yakinlah, perkara yang baik pasti akan kunjung tiba. Ketika Nabi Yusuf A.S difitnah, Baginda mengalu-alukan kamar besi sebagai hukuman. Rupa-rupanya Allah S.W.T mahu mempersiapkan sebuah kerajaan untuk Baginda.

Ketika saudara-saudaranya datang mengemis, Baginda melupakan dan memaafkan padahal peluang untuk Baginda membalas dendam, luas terbentang.

Kau yang membuang aku ke dalam perigi buta itu? Nah, rasakan!

Tapi dialog di atas tidak pernah berlaku.

Nabi Yusuf memaafkan. Berkat kedamaian, Baginda disatukan semula dengan bapanya, Nabi Yaakub. Pulih penglihatan si bapa yang bertahun-tahun menanggung rindu.

Saya tahu, sebagai manusia, memang kita boleh berkecil hati.

Saidatina Fatimah R.A pun berkecil hati dengan Saidina Abu Bakar R.A dek sebidang tanah. Inikan pula kita, manusia yang dikuasai nafsu, rajuk, dan cemburu.

Namun selagi mampu, bersabarlah dengan sabar yang terindah.

Seperti tafsiran Imam al-Qurtubi kepada kalimah “fasobrun jamil” ( فَصَبۡرٞ جَمِيلٞۖ );

Fasobrin jamil (فَصَبۡرٞ جَمِيلٞۖ ) ialah kesabaran yang tidak disertakan dengan keluhan atau ratapan, dan diserah bulat-bulat urusannya hanya kepada Allah.

Menyulam emas di kain gebar,
Menyulam permata di dalam kelambu,
Tetaplah terus harus bersabar,
Tersipulah syurga menjawab salammu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s