40 Hari Mencintai-Mu

Bab cinta ni panjang. Drama 7 Hari Mencintaiku itu pun sebenarnya lebih daripada 7 hari. Padahal itu baru cinta manusia.

Yang kita nak cakap ni lebih besar, iaitu cinta Allah. Semua orang ada kecenderungan untuk klaim dan mengaku dirinya cinta kepada Allah. Paradoks, kerana ramai juga yang tidak tahu apa maksud cinta kepada Allah atau mahabbatullah tu.

Bagaimana nak mencapai cinta, dan mengapa perlu ada mahabbatullah.

Fudhail Bin Iyyad pernah berkata, “Jika kamu ditanya, adakah kamu mencintai Allah, makan diamlah. Jika kamu menjawab tidak, maka kamu telah kafir. Namun jika kamu menjawab ya, kamu telah berbohong kerana perbuatanmu tidak begitu”.

Dalam kitab Mukasyafah al-Qulub, Imam Ghazali menukilkan sebuah kisah menarik yang berlaku kepada seorang ahli sufi yang bernama Asy-Syibli. Suatu hari, ada sekelompok manusia datang bertemunya.

“Siapa kamu?”, soal Asy-Syibli.

“Kami adalah orang-orang yang mencintai kamu”

Asy-Syibli lalu mengambil batu, dan melemparkan ke arah mereka. Lintang pukang mereka berlari menyelamatkan diri.

Lalu Asy-Syibli berteriak, “Kamu kata, kamu mencintai aku. Mengapa kamu lari meninggalkan aku hanya kerana aku melemparkan batu-batu ini?”

Saudaraku,

Mencintai Allah memerlukan kepada ilmu, bukan semata-mata perasaan (feelings) sahaja. Dahulu kan pernah ada polemik dan kontroversi terhadap sebuah disiplin yang dipanggil, “feeling is prayer”. Siap ada trainer lagi yang mengajar teknik berdoa menggunakan hati.

Saya percaya hal itu telah diselesaikan dengan baik. Modul dan silibus berkaitan juga telah diperbaiki dan ditambah baik.

Cuma saya nak kata, cinta sesama makhluk pun mengakar lebih sekadar feeling, inikan pula cinta kepada Allah.

Seolah-olah, jika cinta sahaja dah cukup, pergilah beli beras, sayur dan ikan dengan cinta.

Bagaimana mahu mencintai Allah?

1. Kita perlu kenal Allah.

Kenal Allah (makrifatullah) adalah sebuah topik besar. Lain kali kita detailkannya.

2. Kita perlu redha kepada Allah.

Redha ialah hubungan simbiosis. Allah gambarkan sifat penghuni syurga itu sebagai, dia redha kepada Allah, dan Allah juga redha kepada dia.

Apa yang kita perlu redha?

Kita perlu redha dengan takdir-Nya. Betapa ramai dalam kalangan kita yang tidak dapat menerima kenyataan. Kita bawa diri kita ke penjuru depresi. Kita bunuh masa depan kita, dan kita hapuskan harapan orang lain untuk bahagia.

Nurani kita bertempik,

“Kenapa aku Ya Allah… ”

Kita perlu ingat, sebelum kita mahu Allah redha dengan kita, kita sendiri perlu redha dengan Allah.

3. Kita perlu menjadi hamba-Nya.

Perasan atau tidak, dalam surah al-Israk seawal ayat pertama, Allah S.W.T menggunakan kalimah “abdi” atau hamba bagi merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Setiap hamba, ada tuannya.

Tuan ini berkuasa penuh keatas kebebasan hamba. Jika A kata tuan, maka tiada B atau C. Segala perintah tuan adalah kewajipan. Segala pantang larang tuan, adalah suatu ancaman.

Cinta akan subur dengan ketaatan, dan akan terhapus dengan kecurangan.

4. Ada ‘rasa’ dalam hati

Di dalam surah al-Maidah ayat 2, Allah S.W.T berfirman;

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِيمَٰنٗا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Bayangkan momen-momen ketika kita baru mula belajar bercinta. Indah bukan?

Pantang bunyi “ting” saja, kita akan belek telefon bimbit, takut-takut ada pesanan whatsapp yang masuk daripada buah hati.

Getaran itulah yang seharusnya ada pada kita, saat orang bercerita tentang Allah S.W.T.

5. Ikut Nabi S.A.W

Ini adalah bertepatan dengan perintah Allah melalui surah Ali-Imran ayat 31;

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ini juga adalah topik besar, yang kita akan kupas dalam artikel berasingan.

6. Melakukan ‘korban’ yang terbaik

Kita baru sahaja melepasi ‘bulan korban’. Rasanya kita semua tahu, bahawa tiada amalan yang lebih Allah suka pada hari raya lalu, melebihi daripada perbuatan menyembelih haiwan korban kerana-Nya.

Namun, pengertian korban adalah lebih besar daripada sekadar menumpahkan darah semata-mata.

Korban yang sebenarnya adalah dengan kita mempersembahkan amalan yang terbaik kepada Allah S.W.T, seperti di dalam kisah Qabil dan Habil. Kisah ini diselitkan dalam al-Quran pada ayat 27, surah al-Maidah.

Qabil mengorbankan seekor kambing yang paling sihat, cantik, dan gemuk. Manakala Habil pula mengorbankan sayuran-sayuran yang rosak, layu, dan busuk.

Begitulah cinta.

Jika cinta kita hanya semata-mata di mulut, maka kita akan menjadi seperti Habil.

Ya, kita solat. Tapi solat kita laju, lewat, dan tak khusyuk.

Ya, kita mengaji. Tapi itupun seminggu sekali.

Bukankah dalam hadis nombor 38 daripada 40 hadis Imam Nawawi disebutkan;

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalanamalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.

Kesimpulan.

1. Tiada jalan pintas untuk mendapatkan cinta daripada Allah. Nak tak nak, kita tetap perlu melalui jalan syariat. Lakukan semua yang Allah suruh, tinggal semua yang dilarang. Jika tercuai juga, cepat-cepat minta ampun dan bertaubat.

2. Cinta adalah keikhlasan. Cinta tak boleh dibuat-buat. Orang yang jatuh cinta, pasti akan mencintai segala-galanya tentang orang yang dicintai. Begitulah kita, harus mencintai segala yang Allah cinta, dan semua orang-orang yang dia cinta.

3. Dalam cinta, ada benci. Jika kita cintakan malam, pasti kita bencikan matahari. Jika kita cintakan bunga, pasti kita bencikan musim luruh. Begitulah mahabatullah. Kita wajib benci dengan apa-apa yang Allah benci, dan benci dengan musuh-musuhNya.

Anak sembilang main sembunyi,
Diam berenang di akar kiambang,
Bila sudah cinta berbunyi,
Runtuhlah bumi pun tiada bimbang

One thought on “40 Hari Mencintai-Mu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s