Bertepuk Sebelah Tangan

Bagaimana perasaannya bila cinta kita tak berbalas?

Sedih.

Kecewa.

Putus asa.

Bagaimana jika saya katakan bahawa Allah S.W.T sentiasa mencintai kita, menunggu-nunggu taubat daripada kita, dan sentiasa setia bersama-sama dengan kita.

Apa yang saya sebut di atas tadi sebenarnya mudah dan ringan pada lidah, tapi sebenarnya payah dan berat pada hati. Setiap hari, kita menikmati kasih sayang daripada Allah, tapi adakah kita perasan?

Setiap hari Allah S.W.T memerhatikan kelakuan kita, tapi adakah kita perasan?

Tidak.

Kita tak perasan, kerana kita tiada perasaan.

Kita tahu Allah S.W.T cintakan kita, tapi adakah kita mencintai Dia?

Tanda Allah mencintai kita adalah, Allah S.W.T jadikan kita sebagai manusia, yang merupakan sebaik-baik penciptaan. Kita diberikan akal dan nafsu yang berfungsi seiring. Tidak seperti haiwan yang hanya dibekalkan dengan nafsu, tidak juga seperti malaikat yang hanya mempunyai akal.

Allah S.W.T pernah mempertahankan kita di depan para malaikat-Nya yang tak berhenti-henti beribadah. Kata Allah,

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

[Surah Al-Baqarah, ayat 30]

Sebenarnya, dalam sedar atau tidak, kita semua sangat terhutang budi dengan Allah S.W.T kerana kita dilahirkan sebagai muslim. Bayangkan jika kita lahir dalam keluarga yang mensyirikkan Allah S.W.T.

Nak mendapat hidayah sudah sukar.

Nak memeluk jalan hidayah, jauh lebih sukar.

Hingga ada yang terpaksa tinggal sebatang kara dan hidup papa kedana seperti Saidina Mus’ab Bin Umair R.A, ‘golden boy’ Mekah.

Apa yang tiada pada Mus’ab? Namakan sahaja.

Harta, keturunan, rupa paras, dan pendidikan. Boleh sahaja Mus’ab memilih syurga di dunia, namun yang dipilihnya ialah syurga abadi.

Hinggakan di akhir hayatnya, mengalir air mata di pipi Rasulullah S.A.W memikirkan satu-satunya kain milik ‘anak datuk’ ini sangatlah pendek, tak cukup untuk menutup kakinya yang telah bertemu dengan syahid yang bertahun-tahun dikejar.

Betapa sayangnya Allah S.W.T kepada kita, Allah S.W.T izinkan kita menjadi rakyat Malaysia. Nikmat menjadi umat Islam di negara ini, jarang-jarang kita syukuri.

Nak beribadat, mudah.

Nak berdakwah, pun mudah.

Hanya kita sahaja yang memilih untuk meninggalkan kemuliaan dan memeluk kehinaan.

Kita bakul sampahkan cinta Allah.

Kita agungkan cinta dunia.

Akhirnya dalam hati kita, tiada sekelumit pun perasaan rindu untuk bertemu dengan Dia.

Yang ada cuma ketakutan…

Takut kerana kita tahu, kita bersalah. Namun, kita tak kuat untuk membuat pembetulan.

Sudah terlalu lama kita bergelumang dalam lumpur maksiat hingga kita terlupa harumnya menjadi orang yang bersih suci.

Begitulah manusia.

Bila diuji, rasa seperti tidak disayangi.

Bila diberi, terus tidak peduli.

Jika mempunyai cinta sebesar biji sawi boleh menjadikan kita gila, maka cukuplah jika kita diberikan peluang untuk mencintai Allah S.W.T, semampu kita.

Ingatlah kepada perkataan terakhir yang keluar daripada mulut Baginda S.A.W ketika Baginda nazak menunggu wafat,

اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى

اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى

Ya Allah, kekasih yang tertinggi…

Ya Allah, kekasih yang tertinggi…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s