Bertakziah Dengan Tangan.

Minggu lepas, ada rakan sekolah menengah kami meninggal dunia. Pemergian beliau menjadi tanda tanya. Berminggu-minggu di dalam wad, tak ada siapa pun tahu. Tiba-tiba sahaja kami dikejutkan dengan berita kematiannya.

Muda lagi. Belum pun 30 tahun.

Saya teringat kepada ibu arwah. Sekalipun tak pernah bertentang mata, tapi seakan-akan dapat membayangkan kesedihan si ibu. Masakan tidak. Ini bukan kali pertama beliau menghadapi kehilangan.

Ibunya telah kehilangan pendamping yang berjanji untuk sehidup semati, menghadapi usia senja bersama. Ibu itu juga pernah menghadapi kehilangan anak lelakinya dahulu, dan selepas 2 tahun, rakan kami pula yang pergi.

Pada orang luar, kita cuma mampu bertakziah. Tapi sedarkah kita, selain daripada kehilangan seorang anak, apa lagi yang hilang?

  • Hilang orang untuk kita berkongsi
  • Hilang tempat bergantung
  • Hilang orang yang menceriakan hidup kita
  • Hilang orang untuk membantu urusan harian kita
  • Hilang orang yang tiap-tiap bulan menyisipkan wang saku kepada kita
  • Dan lain-lain

Saya segan-segan nak cakap ni, tapi saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu, bahawa selain daripada sokongan moral, sokongan wang juga adalah salah satu perkara yang paling diperlukan.

Saya pernah menghadapi kematian, hingga wang dalam akaun bank berbaki beberapa ratus sahaja hingga terpaksa mengeluarkan simpanan dari Tabung Haji.

Mujurlah sedikit sebanyak ada bantuan dari kiri dan kanan. Dapatlah menampung kantung yang berlubang.

Mungkin lain kali apabila kita mendapat berita kematian, kita bukan hanya bertakziah dengan mulut sahaja, tetapi juga dengan tangan yang diseluk ke dalam kocek, mencari sekeping dua not berwarna hijau gelap, dengan harapan beban yang berat seperti gunung, lambat laun boleh menjadi ringan seperti awan yang menjadi hijab kepada puncaknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s