Suatu Hari Bumi Berehat.

Penulis: Nur

Daun tingkap yang terbuka itu dia tolak lagi ke bawah, memberi ruang udara sejuk mengitari biliknya. Sejuk, nyaman. Tengahari tadi, tak cukup dengan kipas siling, dia bersihkan pula kipas meja yang sudah lama terbiar tanpa khidmat itu. Habuk, dia buang. Panas! Sudah dua tiga hari tanah di situ kering tanpa hujan. Mujurlah, rumah sewanya ini dalam kawasan kampung. Tidak berhimpit seperti rumah lamanya yang tersepit dalam deretan rumah lain yang menyebabkan dia rasa seperti berada dalam sauna pada kebanyakan masa.
Dan sekarang ini, petang ini, di situlah dia. Duduk merenung hujan di luar jendelanya, ralit memerhati anak pokok pisang yang mahu belajar tumbuh, kebasahan ditimpa air hujan.

Akhir-akhir ini, entah kenapa, dia sangat menikmati hujan. Bunyi detak air hujan di atas pelepah pisang adalah irama di telinganya. Tenang, tapi meniup semangat. Udara sejuk waktu hujan, dia sedut dalam-dalam. Dia senyum sendiri. Segar terasa meresap ke dada dan kepala. Tentang hujan, ada yang ironi. Hujan membuat dia terperangkap diam di tempatnya. Tapi, ah! Indahnya hujan, membawa imaginasinya lepas bebas, fikirannya mengembara dan kadangkala ketika hujan masih lagi merintik, fikirannya pulang membawa idea yang bercambah-cambah. Ah, hujan! Dia memejam mata menghidu aroma alami tanah yang dibasah hujan.

Tapi kini, selain hujan, ada perkara baru yang memerangkapnya agar duduk diam di tempatnya. Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan. Seumur hidupnya, dia tidak pernah terbayangkan waktu-waktu seperti ini akan wujud. Perintah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang belum sampai sebulan menjawat jawatan itu diumumkan sebagai langkah negaranya menangani wabak yang sedang melanda seluruh dunia. Siapa sangka, virus corona yang diberi nama Covid19 yang berukuran hanya kira-kira 125 nanometer itu benar-benar menggugah dunia. Maha Suci Allah! Fikirannya menerawang. Makhluk bersaiz seseni itu adalah makhluk ciptaan Allah, bergerak dan menjalankan tugasnya menuruti perintah Allah.

Kalau penghujung tahun lepas dia terhibur melihat netizen berkongsi gambar ‘kereta-kereta terbang’ yang kononnya akan menghiasi ruang udara tahun ini, siapa sangka tahun ini dia dan seluruh penduduk dunia dipaksa mengikat kaki di tempat masing-masing?

Sejarah, ya. Tahun 2020 benar-benar ingin melakar sejarah sejak dari permulaannya lagi.

Lalu, apabila Jumaat lalu Perdana Menteri mengumumkan bahawa PKP akan dilanjutkan kepada fasa ketiga, dia jadi hilang rasa seketika. Dia bukan kecewa, malahan dia sudah menjangkakan perlanjutan tersebut. Dia juga sangat berbangga dan berterima kasih dengan pucuk pimpinan kerajaan dan pasukan perubatan terutamanya yang rasanya sudah hilang siang dan malam demi memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat.

Cuma, bila PKP diperpanjangkan, dia semakin mengira hari untuk pulang ke kampung. Dia yang kaki balik kampung selalunya akan pulang ke kampung setiap dua minggu sekali, tiga minggu sekali atau paling lama sebulan sekali. Jarak 5 jam pemanduan dari Selangor ke kampungnya yang terletak di daerah pesisir pantai di negeri selatan semenanjung itu tidak dirasakan lama, kerana di situlah beradanya insan-insan yang menjadi sumbu semangat hidupnya.

Dua fasa pertama PKP, dia memberi markah cemerlang kepada dirinya. Sebuah kertas cadangan penyelidikan sudah dia majukan kepada Universiti Brunei Darussalam. Kertas kajian yang berkaitan dengan biodiversiti hutan di Brunei itu dia hantar dengan doa. Jauh di sudut hati, dia ingin permohonannya berjaya. Tapi dia juga sudah berpesan pada diri. Jika itu rezekinya, baik untuk hidup dunia dan akhiratnya, pasti Allah akan membuka jalan. Jika tidak, Allah pasti akan memberikan yang lebih baik luar dari pengetahuannya. Pencapaian keduanya (yang menyumbang markah cemerlang buat dirinya) adalah menyiapkan satu manuskrip untuk penerbitan. Manuskrip tersebut yang pernah ditolak oleh dua tiga buah jurnal sebelum ini, dia tambah baik mengikut cadangan daripada penilai jurnal-jurnal terbabit. Kalau cadangan penyelidikan tadi dia boleh redha samada diterima atau tidak, untuk manuskrip ini dia betul-betul mohon supaya Allah buka hati para penilai jurnal untuk menerimanya. Bolehkah begitu? Dia ketawa kecil, mentertawakan diri sendiri. Ah, hati! Satu saat seperti hamba yang benar taat, dan dengan cepat pula boleh berubah mendesak-desak Tuhan menuruti kehendaknya. Aduh, dia cepat-cepat memohon agar rahmat Allah memadamkan dosa-dosanya sepertimana rintik hujan membilas bersih pelepah pohon pisang muda daripada butir debu yang melekat.

Dua fasa PKP yang telah dia lalui juga membenarkan dia menyusun jadual hariannya dengan bebas. Rindu kepada rutin harian ‘morning walk’, dia ubah kepada berkebun di pagi hari sebelum bersarapan dan memulakan kerja-kerjanya. Mungkin, rutin ‘morning walk’ yang baru dia mulakan bersama sahabat aktiviti ‘outdoor’nya sejak penghujung Disember lepas hanya boleh disambung dalam masa sebulan dua, begitu hati kecil dia berharap. Terbayang wajah-wajah uncles dan aunties yang menyapa di pagi hari dengan ucapan ‘good morning’ dengan senyum ceria di pagi hari. Jadi sekarang, pagi-paginya dimulakan dengan bertanya khabar anak-anak pokok sawi, bayam, bendi dan terung yang baru disemainya. Ain, teman serumahnya juga jadi teruja melihat perkembangan anak-anak pokok tersebut. Mujurlah ada Ain, si akauntan yang suka bercerita itu menjadi temannya sepanjang terkurung di rumah. Waktu makan bukan hanya menjadi sesi makan, malahan seringkali berpanjangan menjadi sesi mereka bercerita terutamanya waktu makan malam.

Waktu ‘cuti panjang’ ini juga dia alihkan banyak masanya kepada buku-buku yang dia suka. Dia teringat doanya tidak lama sebelum ini, agar Allah mengurniakan dia seorang suami yang setiap bulan memberi hadiah kepadanya dalam bentuk ‘baucer buku’. Dia perlukan buku-buku yang mengajak mindanya terbang dan setiap dia membaca, dia bagaikan masuk menorobos ke isi hati dan fikiran penulis; kadangkala dia terbayang duduk di sisi penulis, berbincang tentang idea-idea lewat tulisan mereka. Dia ketawa kecil. Lihat! Dari satu segi, Allah telah memakbulkan doanya itu walau bukan melalui perantaraan suami. Di musim PKP ini, dia tidak perlu ke mana-mana, jadi duit bahagian minyak keretanya dia sudah tarik dan peruntukkan untuk membeli buku-buku yang dia hajati. Tempohari, dia baru saja menghabiskan buku “The Butterfly Mosque’. Buku semiautobiografi itu dia pesan online daripada website ‘Books and Bob’ yang banyak menjual buku-buku terpakai. Willow, si cantik manis penulis buku tersebut berani berhijrah ke Mesir di awal usia 20-an. Dia jadi kagum dengan cara berfikir wanita daripada Amerika itu dan kesungguhannya mencari kebenaran dalam hidup, walhal seluruh keluarganya adalah pengamal Atheis tegar. Pandangan Willow yang menukilkan cacamarba dan kecantikan Mesir yang sentiasa bersatu pada satu tempat dan satu masa, nampaknya mula berjaya menarik minatnya kepada negara itu. Iyalah, dia mengaku, Mesir tidak berada dalam senarai pendek negara yang ingin dilawatinya. Dia sukakan suasana kehijauan, bukan seperti Mesir yang dia selalu lihat berlatarbelakangkan warna coklat.

Kadang, dia rasa warna tanah dan warna rumah di sana sama sahaja! Lebih-lebih lagi selepas rampasan kuasa daripada Presiden Mohamed Morsi dan meninggalnya pemimpin itu di dalam penjara, dia sudah tidak tertarik lagi dengan negara itu. Tapi membaca semula buku tersebut, dia jadi terfikir. Allah yang menciptakan dan mengizinkan sesuatu, maka sepatutnyalah dia mencari kebaikan atas segala kejadian dan ciptaan Allah. Jadilah seperti mata lebah, wahai diri! Begitu dia menasihati dirinya. Lebih-lebih lagi di Sungai Nil yang masih sehingga kini mengalir, ada sejarah Rasul Ulul Azmi yang pernah dihanyutkan ibu demi menyelamatkan anaknya ribuan tahun dahulu!

Ah, senyumnya meleret lagi. Jemarinya sekarang sudah pandai gatal-gatal mahu bershopping online sahaja. Lagi-lagi tentang buku. Dia juga kerap mengintai-intai instagram mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Dia selalu mahu tahu dan mencari idea tentang buku daripada tokoh yang dia kagumi itu. Beberapa hari lepas, dia sudah memesan sebuah buku bertajuk ‘Jika Esok Tiba’ daripada laman sesawang Lazada.com. Kini, dia menanti-nanti buku ‘Guru Aini’ karangan penulis tanah seberang. Buku-buku tersebut, dia beli selepas melihat Dr Maszlee memuatnaik gambar di laman instagram. Semalam, entah bagaimana, dia sudah pasang angan-angan untuk memiliki buku ‘Our Bodies, Their Battlefield: What War Does to Women’. Satu lagi buku idaman masuk dalam senarai. Dia memang suka membaca buku-buku autobiografi. Fikirnya nanti, bila habis musim PKP, akan dia dapatkan buku tersebut daripada kedai buku Kinokuniya, sebab sekarang ini kedai buku gergasi itu pun menghentikan sementara perkhidmatannya. Sekarang, dia juga punya hobi baru. Sambil membaca dan menulis, dia akan memasang latarbelakang alunan irama piano pemuzik Peter B. Helland yang diiringi dengan bunyi air mengalir. Entahlah, mungkin dia terlalu rindu kepada kampung halaman dan juga aktiviti luar.

Di luar, guruh dan kilat telah berhenti. Rintik hujan juga semakin halus. Dia bangun, mahu merangka-rangka agendanya untuk sepanjang dua minggu akan datang. Harus menanam bunga-bunga ceria dalam hati, fikirnya. Kerana, lagi beberapa hari, tetamu paling istimewa dalam setahun akan tiba dan dia mahu termasuk dalam kalangan umat Islam yang menyambut tetamu tersebut dengan muka dan hati berseri!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s