Allah S.W.T sebagaimana yang saya kenal.

Bila kita ajukan soalan, apakah masalah yang menimpa umat islam pada zaman ini, maka kita boleh mendapat markah penuh kerana banyaknya jawapan yang kita boleh senaraikan.

Antara yang kita boleh katakan ialah kita mengalami krisis akidah. Pada saya, inilah masalah terbesar yang perlu diatasi dari akar umbi. Adapun masalah ibadah, akhlak, sosial, pergeseran antara jemaah islam, pengurusan yang lesu, dan sebagainya ialah masalah-masalah yang lebih bersifat cabang dan ranting.

Sebenarnya bila bercakap tentang akidah, saya tidak terlepas daripada bermuhasabah, Adakah ia sudah cukup mantap sebagaimana disebutkan di dalam Surah Ibrahim, …seperti pokok yang baik yang akarnya mantap dan menancap jauh ke dasar bumi.

Adakah seteguh itu iman saya?

Jelas sekali belum. Nak memiliki iman yang sempurna, prosesnya tidak berjalan sehari atau cukup dengan datang ke kuliah dan ceramah. Ini proses dakwah dan tarbiyyah yang panjang. Bukan kerana birokrasi yang renyah, tapi kerana fitrah membina iman memang memakan masa.

Bila bercakap tentang Iman, perkara yang paling dasar ialah keyakinan kita kepada Tuhan. Persoalan siapa Tuhan kita, Siapa diri kita, dan apa hubungan kita dengan Tuhan, ialah soalan-soalan yang perlu kita jawab dengan mantap.

Siapa Tuhan Kita?

Allah wahyukan di dalam bacaan ‘basmallah’ dan pada mula surah al-Fatihah, Allah ialah Rabb al A’lamin. Allah ialah Tuhan kepada seluruh alam.

Kalau kita meneliti perbahasan ulama tentang kalimah basmallah, kita akan dapati betapa panjangnya penerangan dan perbahasan pada kalimah ‘Rabb’ itu sendiri.

Allah ialah Tuhan seluruh alam. Bukan Tuhan orang islam sahaja, sebaliknya tuhan orang kafir, agnostik, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, haiwan, udara, langit, bintang-bintang, cakerawala, dan termasuklah juga bangsa jin dan syaitan.

Maka, difahami bahawa Allah ialah malikil mulk. Raja bagi seluruh penguasa. Sebagai Raja, maka sudah tentulah segala titah perintah-Nya wajib dipenuhi. Sebab itulah angin pun ikut cakap Allah. Hujan pun ikut cakap Allah. Bumi yang berpusing atas paksi ikut cakap Allah. Api yang membakar Nabi Ibrahim juga mengikut cakap Allah. Binatang-binatang yang hidup melata pun ikut cakap Allah, bahkan syaitan iblis pun ikut cakap Allah (kecuali sekali sahaja iaitu semasa perintah sujud hormat kepada Nabi Adam A.S)

Kalau kita baca lagi al-Quran, kita akan jumpa sifat-sifat Allah yang dinyatakan sendiri oleh-Nya. Berkenaan dengan sifat-sifat Allah, kita perlu ingat bahawa kita wajib mengenal Allah kerana itulah permulaan kepada penyembahan kita.

Timbul persoalan sekarang, kita nak kenal Allah dengan apa?

Ya, terserah.

Ada yang kenal dengan mempelajari sifat-sifatNya. Ada yang kenal dengan mempelajari asmaul husna, dan ada juga yang mengenal Allah melalui kajian kepada nas-nas Quran dan Hadis.

Ada orang marah kita ajar dan belajar silibus sifat 20. Kata mereka, ini ialah bid’ah. Nabi tak pernah buat.

Masya-Allah. Nakal sekali tuduhan ini. Memang tak wajib belajar sifat 20, tapi yang wajib ialah kenal Allah. Silibus sifat 20 cuma wasilah, perantaraan, metodologi dan salah satu cara yang memudahkan masyarakat. Ia bukan rekaan tapi ia diekstrak daripada sumber primer al-Quran dan Hadis juga.

Justeru tak perlulah kita nak membid’ahkan orang …apatah lagi mengkafirkannya. Jika benarlah kita mengenali Allah S.W.T, kita tidak akan berani untuk mengkafirkan sesiapapun.

Kerana itu saya pilih tajuk “Allah sebagaimana yang saya kenal” kerana saya bukan pelajar khusus bidang usul dan saya juga perlahan-lahan sedang belajar. Ini hanya sedikit perkongsian dengan harapan jika ada yang saya salah boleh dibetulkan dan jika ada yang saya betul boleh dipanjangkan.

Allah S.W.T pada saya, ialah pemilik.

Allah memiliki segalanya. Sedangkan manusia hanya peminjam. Apa yang ada pada kita hari ini contohnya harta, anak pinak, tanah ladang, kesihatan, pancaindera, dan banyak lagi, semua itu ialah benda yang Allah beri pinjaman kepada kita.

Bila-bila masa sahaja Allah S.W.T boleh tarik.

Justeru itulah apabila berlakunya musibah, kita dianjurkan mengungkap Innalillahi wa inna ilaihi raajiun, supaya tenang diri kita mengingati bahawa kita ini tidak memiliki apa-apa pun. Adat meminjam, apabila pemiliknya mahu ambil semula, maka kita kenalah pasrah dan redha.

Adapun orang yang akidahnya tak betul, sukar untuknya redha dengan takdir, akan menyalahkan takdir, dan akan bersangka buruk dengan Allah.

Padahal Allah S.W.T yang saya kenal adalah Tuhan yang sangat-sangat Pemurah dan Penyayang.

Cubalah kita menyenaraikan satu per satu nikmat-Nya, nescaya tak terhitung. Bahkan, jika mahu membanding, apa yang Allah beri adalah jauh lebih banyak daripada apa yang Allah belum beri.

Kita tak perasan kerana nikmat itu belum diambil daripada kita.

Berapa ramai orang yang cacat; bisu, buta, kudung, padahal kita sempurna. Berapa ramai pula yang tiada ibu ayah padahal kita membesar cukup dengan kasih sayang daripada keduanya. Berapa ramai yang hanya makan sekali sehari sedangkan kita membuang-buang sisa makanan.

Allah yang saya kenal, Maha melihat, mendengar, dan mengetahui.

Sebab itulah kita perlu rasa gerun. Allah Maha Melihat. Dia nampak setiap perbuatan kita baik yang dilakukan secara terang-terangan mahupun sembunyi. Tak ada satu saat pun Allah lalai dan tak ada satu saat pun perbuatan kita terlepas daripada pengetahuan-Nya. Sebab itu kita perlu rasa diperhatikan (muroqobah). Patut rasa malu, takut, dan risau jika Allah marah.

Selain itu, kita juga perlu banyakkan mengadu dan merayu kepadanya kerana Dia maha mendengar. Nak minta, mintalah dengan Allah. Nak menangis, meraung, dan meluahkan rasa, luahkan kepada Allah S.W.T.

Allah Maha Melihat, sebab itu kita kena cantik di depanNya. Ada orang yang cantik depan manusia tapi hodoh di sisi Allah. Kenapa? Kerana Allah bukan memandang kepada fizikal kita, tapi Allah memandang hati dan amal perbuatan kita. Jadi, jangan rasa rendah diri dengan manusia. Manusia tak ada syurga-neraka. Allah, ada.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha adil.

Sebab itulah perkara yang sekecil-kecilnya pun akan dihisab dan timbang, baik amal soleh mahupun amal buruk. Jadi sebagai hamba, kita dilarang daripada memandang kebaikan itu suatu yang kecil. Benda yang kecil seperti sebaris senyum, mengutip sampah atau membuang mudharat dari jalan, mungkin adalah amalan yang boleh membuatkan manusia masuk ke syurga.

Begitu juga dengan perbuatan jahat seperti buang sampah merata-rata, balik kerja awal, memandu kereta secara merbahaya dan lain-lain. Semua itu mungkin boleh menjadi punca Allah S.W.T murka dengan kita.

Maka, kita perlu sentiasa termotivasi untuk melaksanakan pahala dan menjauhi dosa.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha mulia.

Kemuliaan itu hak Allah. Dikurniakan oleh-Nya kepada hamba-hamba yang Dia mahu. Kemuliaan yang paling asas ialah kemuliaan kerana dapat menjadi manusia. Kemudian, kemuliaan menjadi orang islam. Hinggakan al-Quran sebutkan bahawa yang paling mulia antara kita ialah yang paling tinggi taqwanya.

Sedangkan Allah, kemuliaan-Nya tak tergugat. Kalaulah kita dan seluruh penduduk bumi murtad, kemuliaan Allah tidak terjejas. Sebaliknya jika kita dan seluruh penduduk bumi beriman sekalipun, kemuliaan Allah tak akan meningkat.

Cuma yang menjadi persoalan ialah nasib kita. Kalaulah kita memilih untuk jadi umat islam yang pasif, yang merasa cukup tak perlu belajar agama, tak perlu dakwah, tak perlu ikut tarbiyah, dan lain-lain, kita inilah yang rugi. Allah tak rugi apa-apa.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pedih azabnya.

Sebab itulah kita kena takut. Takut nak buat dosa. Takut nak meremeh-remehkan kebaikan. Takut untuk meninggalkan ketaatan. Takut kalau dimasukkan ke dalam neraka, kerana nereka Allah itu pedih. Siksaannya keras hinggakan siksaan yang paling ringan pun sampai mendidih otak. Option itu pun bukannya untuk kita.

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha pengampun lagi penerima taubat.

Sebab itu saya tak pernah berputus asa dengan hidup. Melakukan kesilapan, adalah biasa. Cuma ia jangan diperbiasakan. Agama sentiasa menawarkan harapan. Yang berputus asa cuma orang yang kafir sahaja.

Maka, wajib kita untuk sentiasa memperbaiki diri kita. Allah memberi harapan, maka kita jangan putus harapan. Allah bukan mahu melihat kita ni berjaya atau tidak membebaskan diri kita daripada rantai-rantai maksiat, tapi Allah cuma menilai usaha kita. Bila kita bersungguh-sungguh mahu dekatkan diri dengan Allah, maka Allah lebih-lebih lagi mahu bersungguh.

Umpama jika kita berjalan, Allah S.W.T berlari kepada kita. (Berlari di atas hanya pada laras bahasa, menunjukkan betapa Dia sukakan usaha kita)

Allah yang saya kenal ialah Tuhan yang Maha Bijaksana.

Kita perlu yakin dengan takdir. Ada perkara yang kita fikirkan baik kepada kita, tapi rupanya ia buruk kepada kita. Ada juga hal yang kita rasakan buruk kepada kita tapi sebenarnya ia baik buat kita. Sebab itulah kita dianjurkan untuk selalu melakukan istikharah. Bukan sahaja dalam hal jodoh, tapi dalam segala hal dan urusan.

Kita juga perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dalam setiap musibah, pasti ada hikmahnya. Bahkan yang sebenarnya bukan hanya dalam musibah, tapi dalam nikmat juga ada hikmahnya. Oleh itu wajib untuk kita bersyukur ketika dalam nikmat dan bersabar bila diuji.

Nikmat bukan petanda rahmat dan musibah juga bukan pentanda bala. Penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Allah ialah penulis skrip kehidupan. Kita cuma pelakonnya. Kita perlu ingat bahawa takdir, qada’ dan qadar kita, semuanya sudahpun ditentukan sejak 40 hari kita di alam rahim.

Namun begitu, takdir juga boleh diubah melalui beberapa amalan seperti bersilatur rahim, bersedekah dan berdoa. (Tsabit dengan hadis sahih). Selain itu, kita juga wajib beriman dengan konsep usaha (tadbir). Allah memberikan sesuatu sesuai dengan usaha hamba-Nya. Kita wajib berusaha bersungguh-sungguh kerana kesungguhan kita akan membuahkan pahala.

Allah pemberi mudharat dan manfaat.

Makhluk tidak boleh beri manfaat tanpa izin Allah. Makhluk juga tak boleh memudharatkan tanpa izin Allah. Makhluk tidak berkuasa. Yang berkuasa cuma Allah sahaja. Makhluk hanyalah perantara. Allah jadikan perantara-perantara ini untuk memudahkan kita. Contohnya, makanan. Bukan makanan yang beri kita kenyang, tetapi Allah. Makanan ialah makhluk dan makhluk tidak berkuasa.

Begitulah kita dalam urusan harian kita. Tidak ada kebaikan walaupun satu, yang berlaku melainkan semuanya dengan izin Allah. Dan tak akan ada mudharat walaupun satu, berlaku melainkan dengan izin Allah juga.

Apapun, sebenarnya banyak lagi yang saya boleh tulis. Pun begitu, saya merasakan cukup dengan begini sahaja. Ni pun dah cukup panjang, takut orang pun tak sanggup nak baca.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s