PRK Tanjung Piai : Undilah Calon __ Berwibawa

Saya mengikuti perkembangan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai dengan separuh-perhatian sahaja. Bukan sahaja saya kurang berminat, saya juga jemu dengan episod sama yang diulang tayang dalam drama politik kita. Bagi yang belum tahu, saya sebenarnya adalah penyokong PAS. Namun begitu, saya juga antara yang paling banyak mengkritik PAS dalam tulisan-tulisan saya. Kritikan dengan tujuan mulia itu seringkali dijadikan bahan jenaka kepada pihak lawan, dan pandangan skeptikal daripada kawan-kawan.

Bahaya rupa-rupanya jika mengaku penyokong PAS tetapi tidak wala‘ kepada parti. Nanti akan adalah yang komen, meminta nombor keahlian parti, tak percaya kita ni menyokong dia.

Jika dahulu, saya antara yang pesimis dengan agenda penyatuan di antara PAS dan UMNO (baca sini), namun lama kelamaan, saya mula positif dan menyambut permuafakatan ini dengan tangan dan hati yang terbuka. (Baca di sini pula)

Jemaah-ala-Islam tidak boleh bersendirian jika mahu pergi jauh. Lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai agenda dakwah dan bukan semata-mata mahu berkuasa sahaja. Jika jemaah begini ekskusif hanya kepada suatu kelompok sahaja, maka selama-lamanyalah kemenangan itu akan tertangguh.

Di dalam PRK Tanjung Piai yang bakal lanjut, saya melihat ada beberapa perkara yang sangat menarik perhatian.

1. BN meletakkan calon daripada MCA.

Pada saya, ini adalah risiko yang besar. Namun, risiko besar juga bermakna pulangan besar. Jika BN menang, maka kemenangan ini akan menjadi sebuah isyarat yang jelas bahawa MCA masih releven dan bukannya melukut di tepi gantang semata-mata. Ini juga boleh menjadi kayu ukur kepada sokongan kaum cina.

2. PAS tidak meletakkan calon

PAS katanya menghormati deklarasi muafakat nasional dan akan memberikan sokongan penuh kepada calon daripada BN. Ini bukan kali pertama PAS memberi laluan kepada calon daripada BN. Dalam beberapa siri PRK yang lalu pun PAS sudah menjadi tukang sorak.

Keputusan PAS untuk tidak bertanding sebenarnya signifikan. Lebih-lebih lagi, calon PAS hanya mendapat lebih 2,000 lebih sahaja undi dalam PRU lepas. Namun, keputusan ini menjadi ‘kontroversi’ kerana faktor calon yang dikemukan oleh BN ialah berbangsa cina hinggakan Naib Presiden Parti AMANAH naik hairan. Saya pun hairan kenapa beliau hendak hairan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata PAS cuma mengambil kesempatan demi kepentingan politik parti itu – MalaysiaKini

3. BERJASA meletakkan “calon muslim berwibawa”.

Setakat hari ini, sudah ada 4 orang calon yang sudah pasti bakal bertanding iaitu Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham (BERJASA), Dato’ Sri Wee Jeck Seng (BN), Haji Karmaine Sardini (PH-BERSATU) dan Puan Wendy Subramaniam (GERAKAN).

Keputusan BERJASA untuk meletakkan calon adalah mengejutkan. Sejak dahulu lagi mereka konsisten memperjuangkan calon muslim yang berwibawa. Cuma kali ini, mereka nampak lebih agresif, lebih-lebih lagi kerana presiden mereka sendiri yang bertanding. Bahkan jika dinilai kepada pencapaian akademik dan khidmat sosial, calon daripada BERJASA ini telah berbatu-batu jauhnya meninggalkan calon-calon lain.

4. Undi orang melayu bakal berpecah

Beberapa jam lepas, PAS ‘menasihati’ BERJASA supaya menarik diri daripada bertanding. Kata Pesuruhjaya PAS Johor itu lagi, BERJASA seharusnya menghormati GAGASAN SEJAHTERA yang dimaterai olehnya bersama PAS dan IKATAN.

Sebenarnya tak susah pun nak baca mesej yang tersirat. Tujuan PAS tidak bertanding adalah supaya pengundi tak perlu pening kepala nak undi siapa. Mereka beranggapan, PH boleh kalah tanpa melawan. Mentang-mentanglah sokongan di peringkat nasional kepada pakatan itu sudah merosot. Namun, dengan adanya calon muslim terkemuka, sudah pastilah hati orang melayu akan berbelah bahagi.

Sebagai majoriti kecil, para pengundi perlu mengenepikan sentimen bangsa dan agama. Jika mahu memilih kerana bangsa, sudah tentu calon PH lebih melayu. Jika mahu memilih yang lebih warak dan baik pula, sudah pasti calon BERJASA lebih islamik.

Maka saya meramalkan kaum cina yang merupakan 41.64% inilah yang akan menjadi “kingmaker“.

Bukan orang melayu sahaja pening. Orang cina pun pening. Mereka bukannya tak tahu hubungan yang renggang di antara DAP dengan BERSATU. Pemimpin kedua-dua parti bukan sekali dua berbalas sepak-terajang. Justeru orang cina pun perlu berfikir panjang sebelum melorek di atas kertas undi.

5. Faktor demokrasi liberal

Demokrasi ini umpama serampang dua mata. Ia tidak berfungsi dengan kad tarot ‘siapa lebih baik-dia akan menang’. Sebaliknya ia adalah permainan ‘siapa lebih popular-dialah pemenang‘. Sebab itulah jika majoriti orang mahu sesuatu yang tak elok, maka yang tak elok itulah yang akan diterima.

Kerana itu, tidak penting berapa banyak sokongan yang diberikan kepada calon muslim berwibawa kita, kerana jika sekiranya Dato’ Ir Badhrulhisham kita kalah dengan 1 undi sekalipun, suara beliau sudah tidak ada kekuatan di dalam parlimen.

Kesimpulannya, saya bersyukur kerana saya bukan salah seorang pengundi di PRK Tanjung Piai. Kalau tidak, saya rasa istikharah 3 malam sekalipun, saya masih tidak tahu mahu mengundi siapa. Modal kempen Islam dan Melayu terancam di bawah PH rasanya bukan semua orang akan ‘beli’. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita kembali kepada argumen yang lebih realistik seperti betapa tidak kompetennya kerajaan hari ini, berbanding dengan bermain dengan sentimen bangsa dan agama semata-mata.

Orang lebih suka mendengar ‘cerita dunia’ untuk membuat pilihan dunia.