Newcastle United Goalkeeping Saga.

Di dalam bola sepak moden, tugas seorang penjaga gol bukan sekadar menjadi benteng terakhir di gawang atau menepis percubaan pihak lawan sahaja, tetapi penjaga gol juga harus versatil. Mereka perlu tangkas, mempunyai refleks yang pantas dan bijak membaca ruang untuk melakukan hantaran.

Ada ramai penjaga gol yang hebat di dalam dunia ini. Nama-nama seperti Ederson, David De Gea, Hugo Lloris, Kasper Schemeichel, dan Allison adalah beberapa nama penjaga gol moden yang berkualiti. Namun, ada seorang lagi penjaga gawang yang handal yang kurang mendapat perhatian dan publisiti. Salah satu sebabnya adalah kerana beliau bermain dengan kelab Inggeris yang ‘biasa’ sahaja dan bukannya kelab gergasi Eropah.

Penjaga gol yang saya maksudkan adalah Martin Dubravka yang merupakan penjaga gol utama bagi kelab Newcastle United dan pasukan kebangsaan Slovenia.

Setiap kelab bola sepak Inggeris sebenarnya ada keunikan masing-masing. Bagi Newcastle United, keunikan dan ‘rahmat’ itu mungkin berasal daripada lambakan penjaga gol yang handal dan berkualiti yang pernah dilatih dan dihasilkan oleh kelab ini.

Shay Given.

“I think beating Barcelona in ’97 was probably the highlight. It was such a special night. They were just going to turn up, win and go back to Barcelona with their sombreros on but Tino was phenomenal and Keith Gillespie was probably even better. The atmosphere in there, what 36,000, you’d think it was 136,000, you couldn’t hear yourself think. It was unbelievable.

Penulisan kali ini hanya akan fokus bermula daripada zaman Shay Given, iaitu pada tahun 1997. Shay Given adalah pemain yang ditandatangani dari kelab jiran, Blackburn Rovers oleh pengurus ketika itu, Kenny Danglish. Ketika itu, kelab ini telahpun mempunyai barisan penjaga gol profesional yang hebat-hebat, seperti Pavel Srnicek dan Shaka Hislop. Tidak lupa juga kepada Steve Harper, yang mana Steve adalah penjaga gol gantian yang sentiasa menjadi bayang-bayang Given sehinggalah Given berpindah ke Manchester City.

Shay Given juga adalah penjaga gol utama Newcastle United semasa kelab yang berpangkalan di Timur Laut England ini menewaskan gergasi dunia, FC Barcelona dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 1997.

Shay Given kekal di Newcastle United selama lebih daripada 12 tahun dan telah membuat lebih daripada 354 penambilan di dalam jersi hitam-putih sebelum beliau berpindah ke Manchester City dengan tag bernilai 6 million £. Pemergian Given ke kelab pak arab kaya itu tidak ditangisi dengan begitu teruk kerana penggantinya, Steve Harper dapat mengisi posisi beliau dengan baik.

Steve Harper.

“I’ve been here 20 years and that’s more than half my life. It does take over your life. Football is this city and so is Newcastle United.”

Steve Harper adalah salah seorang pemain yang paling lama bermain dengn Newcastle United. Dia telah bersama-sama dengan kelab ini selama 20 tahun sejak beliau berusia 17 tahun. Steve mempunyai reputasi sebagai seorang yang penyabar dan bekerja keras mencari peluang. Beliau sentiasa dianggap pilihan kedua dan ketiga dan jarang-jarang diberikan masa bermain. Ini dapat dilihat melalui statistik penampilan beliau yang sederhana, iaitu hanya 157 penampilan untuk kelab di dalam tempoh 20 tahun.

Harper juga merupakan penjaga gol utama semasa kelab ini tergelincir ke liga championships (divisyen 2) sepanjang musim 2009/2010. Pada tahun 2013, Harper dilamar oleh kelab Hull City sebelum akhirnya menjadi duri dalam daging kepada penyokong The Magpies kerana menjadi pemain kepada musuh tradisi Newcastle United, iaitu Sunderland pada tahun 2016. Walau bagaimana pun, Harper tidak pernah bermain di dalam perlawanan kompetitif di Sunderland. Beliau bersara selepas tamat kontrak semusimnya.

Tim Krul

Krul to United Fans: “I’ve always had a great relationship with them. They knew as well the way I left wasn’t really meant to be like that.”

Penjaga gol kebangsaan Belanda ini pernah mengejutkn dunia dengan dua aksi penyelamatan di dalam pusingan sepakan penalti dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia 2014 di antara Belanda dengan Costa Rica. Beliau dibawa masuk pada minit ke 120 perlawanan dan terus memberi impak segera.

Tim Krul telah dibawa masuk dari kelab Belada, ADO Den Haag pada tahun 2005. Pengurus Newcastle United ketika itu, Graeme Souness melihat Krul sebagai prospek masa depan kelab. Krul membuat penampilan sulung beliau pada umur 17 tahun di dalam Kejohanan Piala UEFA menentang kelab Itali, Palermo. Tim Krul mula menjadi pemain utama selepas penjaga gol utama ketika itu, Steve Harper cedera. Aksinya yang cemerlang telah menyebabkan Harper sekali lagi telah kehilangan tempat sebagai penjaga gol utama pasukan.

Krul beraksi dengan cukup baik hinggakan pengurus ketika itu, Alan Pardew ‘terpaksa’ meminjamkan Steve Harper kepada Brighton & Hove Albion yang ketika itu sedang beraksi di liga championships pada musim 2010/2011 kerana mahu memberi Harper peluang untuk bermain. Krul juga pernah mendapat perhatian media kerana melakukan 14 kali aksi penyelamatan di dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur, iaitu yang terbanyak di dalam satu perlawanan.

Selepas beberapa episod kecederaan yang panjang dan berulang, Krul akhirnya terpaksa dipinjamkan ke Ajax dan AZ Alkmaar di negara asalnya kerana persaingan sengit di Newcastle United bagi mendapatkan kembali posisi utama. Semusim di Belanda, Krul kembali ke England bersama kelab Brighton & Hove Albion. Krul disatukan semula dengan bekas pengurus, Chris Houghton. Pada tahun 2018, Krul telah disambar oleh Norwich City yang ketika itu sedang bekerja keras untuk menduduki takhta liga championships. Krul berjaya membantu kelab The Cannaries itu untuk menjuarai tangga liga seterusnya memimpin pasukannya ke EPL. Kini, pada usia 31 tahun, Krul ialah penjaga gol utama Norwich City.

Fraser Forster

“Newcastle took me on – I was 17 when they signed me – but they really helped me to progress. They were a fantastic club to be at when I was young.”

Fraser Forster adalah contoh pemain yang mempunyai karier yang “roller coaster”. Penjaga gol tinggi lampai ini sebaya dengan Tim Krul. Ketika Krul dipinjamkan ke Falkirk, Forster adalah penjaga gol pilihan ketiga kelab dan sering bermain dengan pasukan simpanan. Forster adalah pemain yang sangat berpotensi tinggi. Kerana itulah beliau dipinjamkan ke kelab-kelab seperti Stockport Country, Bristol Rovers, dan Norwich City untuk menimba pengalaman beraksi di atas padang. Beliau menampilkan persembahan yang cukup cemerlang hingga membuatkan pihak pengurusan Newcastle United ‘pening kepala’. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk sekali lagi meminjamkan Forster kepada kelab luar. Kali ini, kepada Celtic pula.

Forster dipinjamkan ke Celtic sebanyak dua kali iaitu pada musim 2010/2011 dan musim 2011/2012 sebelum menjadi pemain rasmi mereka dengan yuran perpindahan 2 million £ pada bulan jun 2012. Tidak seperti penjaga gol yang lain, Forster cuma pernah bermain untuk Newcastle United di dalam perlawanan pemanas badan pra musim. Beliau hanya pernah disenaraikan di dalam barisan simpanan di dalam perlawanan kompetitif liga sebenar.

Di Celtic, Forster pernah bermain bersama-sama dengan Virgil Van Dijk. Kecemerlangan Forster menyebabkan khidmat beliau diintai oleh kelab EPL. Akhirnya, pada bulan Ogos 2014, Forster telah berpindah ke Southampton dengan yuran sebanyak 10 million £. Tahun berikutnya, pengurus Ronald Koeman telah membeli Virgil Van Dijk pula lalu duo ini terus menjadi tonggak terpenting The Saints yang menyaksikan kelab ini hanya bolos sebanyak 41 gol daripada 38 perlawanan liga.

Pada musim 2017/2018, Forster telah kehilangan tempatnya selaku penjaga gol utama pasukan kepada pesaingnya, Alex McCarthy berikutan prestasi Forster yang hambar dan kesilapan-kesilapan yang mudah. Pada musim 2018/2019, Southampton membeli pemain sensasi remaja, Anguss Gunn. Ini menjadikan Forster penjaga gol pilihan yang ketiga. Akhirnya pada bulan Ogos tahun ini, Forster telah kembali ke Celtic secara pinjaman dalam usahanya untuk memulihkan kembali prestasi dan mendapatkan semula keyakinannya.

Dan sekali lagi dia beraksi dengan cemerlang di Celtic.

Rob Elliott.

“I just want to get back, game after game, get strong and see where I am. It’s great to be out on the pitch, but obviously I don’t want to take that for granted.”

Penjaga gol antarabangsa Ireland ini dibeli oleh Alan Pardew dari kelab Charlton Athletic pada tahun 2011. Penampilan sulung Elliot adalah di dalam Piala Liga menentang Nottingham Forest. Manakala penampilan pertama beliau di dalam EPL adalah pada tahun 2013, menggantikan Tim Krul yang cedera. Elliot sebenarnya lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Ini bukan kerana beliau tidak kompeten, tetapi kerana beliau sering tidak mendapat kepercayaan pengurus.

Kemasukan Karl Darlow, menyebabkan peluang untuk beliau beraksi semakin tipis hinggalah ketika kedua-dua penjaga utama dan gantian, Krul dan Darlow cedera pada penghujung musim 2015/2016. Elliot telah mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan dirinya. Ternyata beliau tidak mensia-siakannya dengan persembahannya yang bertenaga di samping membolot anugerah ‘man of the match’ ketika kemenangan 1-0 menentang Bournemouth. Elliot juga seorang yang mempunyai karisma dan pemimpin semulajadi di atas padang. Beliau pernah dipakaikan lilitan kapten semasa kemenangan 2-0 ke atas Cardiff City di dalam liga championships, tahun yang sama.

Pada usia 33 tahun, Elliot masih setia dengan kelab sambil menunggu peluangnya dengan sabar.

Karl Darlow

“We’ve got to concentrate and focus on every single game, which is what we do at the moment, which is brilliant.”

Darlow dibeli bersama-sama dengan kapten, Jamal Lascelles pada hari yang sama, dan dari kelab yang sama. Kedua-dua mereka lalu dipinjamkan semula kepada Nottingham Forest untuk baki musim 2014-2015.

Darlow adalah pemain yang biasa namun sangat kompeten apabila diberi peluang untuk beraksi. Antara momen-momen heroic beliau adalah ketika Newcastle United menentang Crystal Palace. Perlawanan itu adalah perlawanan yang sangat penting kerana Newcastle United memerlukan kemenangan bagi mengelakkan tersingkir daripada liga EPL. Newcastle United berjaya mendapatkan gol melalui jaringan sepakan percuma daripada Andres Townsend. Namun, sebelum tamat permainan, Crystal Palace telah dihadiahkan dengan sepakan penalti yang diambil oleh bekas pemain kontroversi Newcastle United, Yohan Cabaye. Darlow berjaya menyelamatkan sepakan penalti Cabaye.

Newcastle United menang, namun masih tersingkir ke liga championships kerana pesaingnya Sunderland juga telah menang ketika menentang Everton. Pada permulaan musim 2016/2017, pengurus lagenda Rafael Benitez telah membeli seorang lagi penjaga gol dari Belgium, iaitu Metz Sels.

Sels masuk dengan reputasi yang besar, namun selepas beberapa perlawanan liga, Rafael Benitez memberikan kepercayaannya kepada Darlow. Darlow telah membuat 34 penampilan musim itu. 17 daripadanya adalah ‘clean sheet‘. Pada umur 29 tahun, Darlow adalah pemain gantian kepada penjaga gol utama, Martin Dubravka dan telah pun tampil beberapa kali musim ini dalam perlawanan piala liga dan piala EFL.

Hebatnya Darlow ni, beliau tidak pernah ‘mengugut kelab’ dengan cara menghantar permohonan rasmi untuk dijual (transfer request) atau merungut kerana tidak menjadi penjaga gol utama. Sebaliknya, dia cuma bekerja keras dan menunggu peluang bagi membuktikan keupayaannya.

Metz Sels

Selz pernah menjadi mangsa buli siber kerana prestasinya yang hambar

Sels ini boleh diibaratkan seperti Claudio Bravo di Manchester City. Beli mahal-mahal (harga Sels 6.5 million £) namun ‘tidak menjadi’. Yang menjadi tanda tanya adalah, semasa Sels dibeli, Newcastle United sudah pun mempunyai barisan penjaga gol yang berkualiti dengan dibarisi Rob Elliott, Karl Darlow, dan juga Freddy Woodman.

Jodoh Sels dengan Newcastle United tidak panjang. Selepas 9 penampilan yang tidak memberansangkan, Sels dipinjamkan ke Anderlecht selama semusim sebelum dijual kepada kelab Perancis, RC Strasbourg dengan harga 3.5 million £ pada bulan Julai tahun lepas.

Sels adalah penjaga gol pilihan ketiga Belgium selepas Simon Mignolet dan Thibaut Courtois.

Freddie Woodman.

“I am realistic, Martin Dubravka was number 1, I loved working with him every day. He pushed me to be the best.”

Pemain ini adalah penjaga gol utama bagi pasukan England bawah 21 tahun. Beliau pernah memenangi anugerah ‘sarung tangan emas’ di dalam Kejohanan Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun. Sebenarnya banyak sangat pencapaian beliau bersama pasukan remaja England.

Pemain ini kini berusia 22 tahun dan sedang bermain secara pinjaman dengan Swansea City. Woodman adalah pemain yang penuh dengan potensi dan bersemangat tinggi. Minggu lepas, beliau telah memberikan temuramah dengan media tempatan dengan ikrar dan kesungguhan beliau untuk mencontohi adik-beradik Longstaff dengan menjadi pemain utama pasukan.

Namun, secara jujurnya, Woodman rasanya tidak akan mendapat peluang yang besar jika dia mahu setia bersama kelab. Prestasi Martin Dubravka yang menakjubkan menjadikan kemungkinan untuk Dudravka direhatkan daripada skuad utama seakan-akan mustahil. Tambahan pula pemain yang elastik itu baru sahaja menandatangani kontrak baharu dengan kelab.

Saya meramalkan cerita Woodman akan menjadi seperti Fraser Forsters. Kedua-dua mereka mempunyai keupayaan dan potensi yang menggalakkan, namun kedua-duanya juga mempunyai peluang yang terhad.

Sebagai penyokong Newcastle United, saya sedikit pun tidak gentar dengan keupayaan benteng pertahanan dan penjaga gawang. Namun, yang lebih dirisaukan dan ditakuti adalah ketumpulan bahagian serangan untuk mencetak gol. Usahkan untuk menjaringkan gol, nak menyerang pun susah.

Adakah Newcastle United bakal tersingkir buat kali yang ketiga dalam tempoh 10 tahun? Sama-sama kita tunggu.

Edisi Khas : Jack Alnwick

Jack Alnwick pernah bermain sebanyak 8 kali untuk Newcastle United pada musim 2014/2015 dan juga pasukan kebangsaan England bawah 17 dan bawah 18. Pada penghujung musim, Jack Alnwick telah dilepaskan. Kontraknya telah tamat dan beliau telah menyertai Port Vale sebelum dibeli oleh Rangers sebelum terbaharu, dipinjamkan oleh Rangers ke Blackpool di liga 1 (dua divisyen bawah EPL).