Kajian Kes Pemandu Merempuh Sekumpulan Remaja Berbasikal Lajak

Saya membaca kes Sam Ke Ting, suspek yang menyebabkan kematian 8 orang remaja yang sedang menunggang basikal, dengan penuh perhatian dan hati-hati. Isu ini sensitif kerana ada sekam perkauman. Jika kita terbuai dengan emosi dan sentimen, kita akan membakarnya. Asap tebal inilah nanti yang akan menutup pernafasan kita daripada menghirup kebenaran, dan mengaburkan mata kita daripada melihat keadilan.

Keputusan pihak mahkamah untuk ‘melepas dan membebaskan’ defendan adalah tindakan yang ‘kontroversi’ namun, sangat rasional dan berlandaskan prinsip keadilan. Keputusan ini datang ketika kemarahan rakyat Malaysia masih memuncak berikutan kes kematian seorang penjawat awam akibat dilanggar oleh pemandu warganegara China yang mabuk.

Ini menyebabkan ramai orang menjadi tidak rasional ketika menghukum.

Pertama sekali, kita perlu ingat bahawa kedua-dua kejadian ini tidak berhubung. Tragedi yang pertama berlaku pada tahun 2017 manakala kes kematian di Pulau Pinang itu baru sahaja berlaku minggu lepas.

Kita perlu tahu bagaimana sistem mahkamah kita berfungsi. Mahkamah boleh melepaskan defendan sama ada melalui kaedah acquit and discharge (a&d) atau discharge not amounting to an acquittal (dnaa).

Yang pertama (a&d) bermaksud, tertuduh atau defenden telah dilepaskan dan dibebaskan. Defenden telah melalui proses perbicaraan di mahkamah. Pihak pembela dan pendakwaraya telah membentangkan bukti dan hujahan masing-masing di hadapan hakim dan hakim akan menilai keterangan saksi dan bukti untuk melihat sama ada ia cukup untuk melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt). Jika ya, bermakna pihak pendakwan telah berjaya menimbulkan kes prima facie dan defendan akan dituduh serta akan disabitkan ke atas pertuduhan. Seperti dalam kes pembunuhan Allayarham Zulfarhan, kesemua defendan akan dipanggil untuk membela diri.

| 18 orang tertuduh dipanggil bela diri |

Namun, jika sekiranya hakim mendapati bukti-bukti yang dibawa oleh pihak pendakwaan itu tidak cukup kuat, maka hakim akan memutuskan defenden sebagai tidak bersalah (not guilty). Tidak bersalah di sini bukanlah bermaksud innocent, sebalinya hanya merujuk kepada aspek teknikal seperti bahan bukti, saksi, dan hujah.

Jika defenden telah dilepaskan dan dibebaskan, maka kes terhadapnya akan gugur, ditutup dan dia tidak akan dipanggil semula ke mahkamah. Berbeza dengan ‘dilepaskan tetapi tidak dibebaskan’, tertuduh atau defenden dilepaskan sebelum dibicarakan kerana pihak pendakwaan masih mengumpul bahan bukti dan keterangan saksi. Pertuduhan itu akan disebut semula nanti di mahkamah. Inilah yang pernah berlaku kepada Datuk Seri Najib Razak dalam tuduhan pengubalan wang haram beliau dahulu. [Sumber]

Berbalik kepada kes Sam Ke Ting, majistrit Siti Hajar Ali telah melepaskan dan membebaskan Ke Ting kerana beberapa keterangan penting;

• Jalan berbukit yang gelap dan berselekoh

• Faktor masa iaitu jam 3 pagi

• Pemandu (Ke Ting) bukan penduduk di situ dan tidak biasa dengan laluan itu

• Pemandu memandu dengan cermat dan berjaga-jaga

• Pemandu tidak mabuk dan tidak cuai seperti bermain telefon bimbit

Sebenarnya, apa yang berlaku kepada Sam Ke Ting boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Siapa sebenarnya yang menjangka jalan yang dilalui pada jam 3 pagi, akan menjadi trek lumba. Orang yang paling cermat dan bertangggungjawab sekalipun pasti akan berdepan dengan masalah sekiranya dia berada di dalam situasi tersebut.

Apabila membaca kes ini, saya sebenarnya membayangkan jika saya berada di tempatnya. Adakah saya mempunyai tindakan refleks yang sempurna untuk mengelakkan perlanggaran seperti itu?

Entahlah.

Di dalam dunia penerbangan, kami sangat menitik beratkan faktor kemanusiaan dan ergonomik. Ia bukan sahaja terpakai di tempat kerja sahaja tetapi dalam setiap situasi. Jika insiden ini dibincang dalam kerangka ergonomik, ternyata banyak sekali lompong-lompong terbuka yang mengundang kepada berakhirnya keceriaan sekumpulan remaja tadi dengan tragedi. Begitu juga dalam teori ‘The Murphy’s Law’. Jika anak-anak ini tidur di rumah mereka jam 3 pagi, adakah kejadian ini akan berlaku. Inilah sebenarnya lapisan pertama dan yang paling kukuh. Namun, lapisan inilah yang paling longgar dan rabak.

Justeru, apa yang disebut oleh Edwards A. Murphy, seorang jurutera aeroangkasa menjadi kenyataan;

“Anything that can go wrong, will go wrong”.

Saya tahu, ramai yang tak puas hati. Namun, cuba tanya kepada diri sendiri, kenapa kita marah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s