Arak Dalam Masyarakat Melayu

Setiap kali berlaku kematian yang berpunca daripada alkohol dan arak, kita boleh lihat di mana-mana sahaja orang bercakap dan menyuarakan bantahan ke atas penjualan alkohol. Namun perlu diingat bahawa bantahan seperti ini bukan bermula hari ini sahaja. Sebaliknya, ia bersifat bermusim dan seringkali, bermotifkan politik. Bila ada tragedi, barulah kita nampak bahayanya minuman ini.

Sejak zaman YB Khalid Samad mula-mula memenangi kerusi Parlimen Shah Alam lagi, sudah kedengaran desas-desus yang kilang Carlsberg di Seksyen 15 Shah Alam bakal ‘gulung tikar’. Namun, tak semudah itu untuk sebuah syarikat yang bernilai berbillion ringgit untuk jatuh menyembah bumi. Kilang Carlsberg itu telah dibuka sejak tahun 1972. Lagi 3 tahun, mereka akan menyambut ‘jubli emas’.

Data daripada CMBB (Confideration of Malaysian Brewer Berhad), iaitu sebuah badan konfiderasi yang dianggotai oleh syarikat pengeluar arak Heineken dan Carlsberg, dianggarkan bahawa lebih 61,000 orang rakyat tempatan bekerja di dalam sektor ini. Ini termasuklah sebahagian kecil orang melayu yang beragama Islam. Lebih menarik, di Kilang Carlsberg di Shah Alam, mereka mempunyai kemudahan surau dan kesatuan pekerja bagi pekerja-pekerja Muslim.

Rata-rata yang bekerja di kilang arak itu bukannya tak tahu keharamannya. Namun, setiap mereka pasti ada jawapannya jika ditanyakan mengapa mereka masih mahu bekerja di situ. Ada sahaja pihak yang boleh dipersalahkan nanti. Biarlah, bukan di sini tempatnya untuk kita menghukum.

Sebaliknya, kita perlu lebih fokus tentang satu kerisauan yang makin meruncing. Selama berabad-abad lamanya, arak adalah tabu di dalam masyarakat, namun tidak bagi sekumpulan anak muda urban kelas elit bandar yang digelar “Bangsar-wan” ini. Mereka tidak lagi malu untuk merakam aksi mereka meneguk arak secara terbuka di insta story mereka. Mereka sudah berani mencabar nilai konservatif kerana mereka tahu, mereka mempunyai ‘abang long’ yang berselindung di sebalik sepanduk ‘hak asasi’.

Industri minuman alkohol di Malaysia pernah menyumbang sebanyak RM 3.7 billion kepada pendapatan kasar negara pada tahun 2016. Setiap liter arak yang dihasilkan dianggarkan menyumbang sebanyak RM 13 kepada ekonomi tempatan (local economy) dan RM 10.50 untuk kutipan cukai kepada kerajaan.

Guiness telah 50 tahun dibrew di Malaysia

Melihat kepada betapa besarnya ‘sumbangan’ arak kepada kerancakan ekonomi di negara kita, adakah kita rasa bahawa kerajaan akan menutup kilang arak, atau setidak-tidaknya mengantung produktivitinya dan menyekat penjualannya di pasaran tempatan?

Saya rasa tidak.

PAS di bawah Y.B Khalid Samad sejak tahun 2008 lagi pun tidak mampu melakukan apa-apa. Jadi saya tak rasa PAS yang dikuatkan oleh UMNO boleh melakukan sesuatu jika sekiranya gabungan dua parti utama Melayu dan Muslim ini berjaya membentuk kerajaan sekalipun. Bahkan kita semua pun tahu yang kilang itu dirasmikan bukannya oleh orang luar, sebaliknya daripada Perdana Menteri Ke-2 kita, iaitu Tun Abdul Razak.

Cita-cita untuk menguburkan kilang arak terbesar di Asia Tenggara ini bukan sahaja impian umum kita seorang. Pada tahun 2000, kumpulan militan Al-Maunna pernah menceroboh Pangkalan Tentera di Gerik, Perak dan mencuri bekalan senjatanya dalam usaha mereka mahu meletupkan kilang tersebut. Mujurlah komplot mereka gagal. Begitu juga pada tahun 2014, polis bahagian counter-terrorism telah menangkap 19 orang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan ISIS yang juga merancang melakukan serangan yang serupa kepada premis kilang arak di Shah Alam itu.

Pada hemat saya, krisis arak ini tak akan selesai dengan segera. Mengenakan duti, cukai, dan penalti kepada minuman beralkohol ini ternyata tidak banyak membantu. Sebagai rekod, Malaysia adalah negara yang cukai araknya paling tinggi di dunia selepas Norway. Ini bermakna sekalipun mahal, orang masih meminumnya.

Justeru, pendekatan yang lebih realistik adalah diperlukan untuk menghalang masalah ini menjadi semakin teruk.

Saya pernah menulis tentang arak suatu masa dahulu di sini. Boleh baca lebih lanjut tentang 10 kelompok yang dikecam dan dilaknat oleh Allah S.W.T kerana arak, dan mengapa adik yang bekerja di kedai serbaneka 7 Eleven itu sebenarnya sangat terpuji.