Dilema Budak Tahfiz

Saya tahu, besar cabarannya menjadi pentadbir, guru bahkan pelajar tahfiz. Terlalu banyak kekangan dan sekatan yang perlu dilalui antaranya beban kewangan, stigma masyarakat, infrastruktur yang uzur serta sumber yang terhad.

Ini diburukkan pula dengan ragam segelintir pelajar-pelajar tahfiz yang mungkin nakal dan bermasalah.

Masih ingatkah lagi kita akan peristiwa hitam yang telah meragut nyawa 21 orang pelajar tahfiz bersama-sama dengan 2 orang guru mereka. Insiden ini berlaku pada tahun 2017, di Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur.

Anak-anak syurga ini telah dikunci di asrama mereka sebelum bangunan itu dibakar oleh sekumpulan remaja yang berusia di antara 11 hingga 18 tahun. Mereka telah mengunci, menahan pintu utama dengan tilam buruk, dan membakar sebiji tong gas supaya api marak dan merebak dengan cepat dan tak mampu dikawal. Enam orang yang ditangkap itu didapati positif ganja. Jadi tak hairanlah mereka tegar untuk merancang jenayah sekejam itu.

Siasatan awal mendapati telah berlaku ejek-mengejek di antara kumpulan remaja terbabit dengan mangsa. Mereka mendakwa yang mereka telah diejek. Sudah tentulah dakwaan itu tidak boleh disangkal atau dinafikan kerana mangsa-mangsa itu kesemuanya sudah meninggal dunia dijilat api.

Banyak sebenarnya kontroversi yang timbul. Antara persoalan besar yang ditanyakan adalah tentang permit dan juga pelan kebakaran bagi bangunan asrama. Sayangnya, apabila aspek teknikal dan keselamatan cuba dikenal pasti, ramailah yang menjadi defensif dan beranggapan seolah-olah soalan-soalan tadi adalah suatu percubaan untuk menjatuhkan moral dan nama baik institusi tahfiz.

Nama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ini menjadi sebutan serta-merta. Berpusu-pusu badan korporat dan pihak persendirian yang tampil mahu menawarkan bantuan. Akhirnya, selepas beberapa ketika, nama mereka mula dilupakan sehinggalah beberapa hari lepas, salah seorang pelajar pusat tahfiz itu terpaksa dikejarkan ke dalam wad bagi merawat kesan lecur pada tubuhnya akibat disimbah air panas oleh rakannya semasa dia sedang tidur.

Suspek yang bertangggungjawab menyimbah air panas kepada mangsa telah ‘direhatkan’ daripada sekolah. Yang mencuit hati saya adalah apabila pengusaha pusat tahfiz ini memberikan komen lucu, “Mungkin beginilah caranya supaya masyarakat kembali ingat kepada kami”.

Pertama, ini adalah kejadian buli. Tidak ada yang okey dan biasa dengan buli.

Kedua, mengapa kita mahu ‘terkenal’ dan dikenang orang atas perkara-perkara yang tidak elok?

Saya mempunyai kebimbangan yang serupa terhadap kes liwat yang melibatkan pusat tahfiz yang diusahakan oleh seorang ‘ustaz selebriti’. Kes itu lebih mengharukan kerana pengadu dinafikan keadilan dan haknya untuk membawa kes ini ke muka pengadilan oleh kerana campur tangan politik dalaman, walaupun bukti-buktinya sudah ada.

Kes-kes begini adalah terpencil sebenarnya. Ada beribu pusat tahfiz dan madrasah di seluruh negara namun hanya satu atau dua sahaja yang bermasalah. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita membutakan mata dan memekakkan telinga. Kita perlu faham bahawa sebagai anggota masyarakat, kita mempunyai beban, tanggungjawab dan tugas untuk membantu institusi ini untuk terus bernafas dengan bebas, dan bukannya menjadi mangsa eksploitasi.

Ibubapa yang menghantar anak-anak mereka, mereka bukan sahaja ‘memperjudikan’ masa depan anak mereka, tetapi juga keselamatan mereka. Kita tidak mahu kejadian menyayat hati seperti kematian 27 orang pelajar perempuan di Madrasah al-Khairiyah di Yan, Kedah dan kematian 21 orang anak-anak cilik di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, berulang.

Kita juga tidak mahu gejala buli dalam kalangan pelajar berleluasa di samping kengerian kita akan wujudnya ‘jembalang-jembalang’ yang melakukan serangan seksual dan tidak bermoral kepada jiwa-jiwa suci dan polos ini.

Kita mahu pusat tahfiz menjadi kilang yang mengeluarkan golongan profesional agama, dan bukannya menjadi seperti sarang bagi kegiatan pencabulan atas nama agama seperti yang dilakukan oleh paderi-paderi jahat di Eropah.

Sudah sampai masanya kita berhenti meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru-guru dan pengusaha pusat tahfiz. Sedikit prasangka yang berasas adalah perlu supaya anak kita tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s