Pembunuhan-pembunuhan Kejam Dan Tragis Di Malaysia

Saya membaca kes pembunuhan kejam seorang wanita dan anaknya dengan sayu. Mayat mereka dikerat-kerat dan dibuang di dalam semak. Di Amerika Syarikat, kejadian kejam dan menyayat hati seumpama ini akan di adaptasikan kepada filem dan drama. Contohnya drama bersiri The Criminal Minds yang diterbitkan sejak tahun 2005 yang kini sudah memasuki musim ke-14.

Drama bersiri itu tidak sekadar hiburan semata-mata sebaliknya banyak aspek teknikal dan psikologi yang dikupas. Sebagai sebuah negara yang memiliki undang-undang yang longgar berkenaan senjata api, tidak hairanlah di sana ada sahaja kes tembakan dan serangan yang dilaporkan. Namun di Malaysia, senjata api adalah sangat sukar untuk didapati. Penjahat-penjahat perlu ke sempadan Thailand bagi mendapatkan bekalan senjata api di ‘pasaran gelap’.

Dalam mengulas satu-satu kes pembunuhan, kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan “victim blaming” atau kecenderungan untuk menyalahkan mangsa. Dalam kes wanita dan anaknya yang dibunuh dengan kejam ini, saya ada terbaca catatan-catatan orang kononnya punca awal kepada pembunuhan kejam ini adalah kerana mangsa bertegang urat dengan suspek. Dikatakan bahawa mangsa membuang hadiah hari lahir yang diberikan suspek dan beberapa kali meminta suspek untuk menceraikannya.

Walau apapun alasannya, semua itu langsung tidak boleh menjadi justifikasi kepada pembunuhan. Kejadian ini mengingatkan saya kepada kata-kata Margaret Atwood di dalam novelnya , The Handmaid’s Tale,

“Men are afraid that women will laugh at them and women are afraid that men will kill them”.

Margaret Atwood telah meramalkan wujudnya keberangkalian untuk suami-suami membunuh isteri mereka dek kerana ego mereka yang menggunung.

Selain daripada kes ini, terdapat banyak lagi kejadian pembunuhan yang kejam yang mengejutkan negara kita. Kebayakan mangsa adalah kanak-kanak dan kebanyakan pelakunya adalah orang yang mempunyai penyakit mental.

Antara yang saya boleh ingat kembali adalah;

1. Kes pembunuhan ahli politik, Datuk Mazlan Idris ditangan seorang bomoh wanita bernama Mona Fendi. Mona Fendi atau nama sebenarnya Maznah Ismail dikatakan melakukan pembunuhan kejam itu di sebuah rumah miliknya bersama-sama dengan suaminya dan seorang pembantu mereka.

Kes ini berlaku pada bulan Julai 1993. Datuk Mazlan yang juga ADUN Batu Talam, telah datang berjumpa dengan Mona Fendy untuk mengikuti sebuah ritual mistik kononnya untuk meningkatkan pengaruhnya di dalam karier politik. Dia diminta untuk berbaring dan memejamkan matanya sebelum sebilah kapak dihayun ke lehernya. Mayatnya lalu dikerat sebanyak 18 bahagian dan ditanam di sekitar rumah tersebut.

2. Pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin yang telah dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya. Mayat adik Nurin ditemui di dalam sebuah beg sukan di hadapan sebuah rumah kedai di Petaling Jaya. Mayatnya ditemukan dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Rektum Nurin telah pecah kerana disumbat dengan timun dan terung. Ibu bapa Nurin tidak dapat mengenal pasti anak mereka kerana keadaan fizikal mayat itu yang sangat teruk namun ujian DNA telah membuktikan bahawa mayat tersebut adalah Nurin.

3. Pada bulan Ogos 2010, ahli perniagaan Dato’ Sosilawati Lawiya bersama-sama tiga orang rakannya telah dibunuh kejam dengan cara dipukul hingga mati dan mayat mereka telah dibakar berdekatan sebuah ladang ternakan ayam di Morib, Selangor. 9 orang telah ditahan kerana didakwa telibat di dalam pembunuhan kejam ini namun hanya 3 orang suspek sahaja yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Mac 2017.

4. Kevin Morais adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara dan SPRM. Kali terakhir beliau dilihat adalah semasa beliau meninggalkan kondominium milikinya di Segambut, untuk ke Jabatan Peguam Negara Putrajaya, tempatnya bekerja. Rakaman CCTV menunjukkan Kevin Morais telah ditahan dan dilarikan oleh lima orang lelaki. Mayat beliau ditemui di dalam sebuah tong drum yang berisi konkrit.

5. Pada 18 Oktober 2006, seorang wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaaribu telah dibunuh dan mayatnya telah diletupkan dengan bom jenis C-4. Kes ini adalah antara jenayah yang paling teruk pernah berlaku di Malaysia kerana kononnya dalang disebalik pembunuhan ini adalah seseorang yang rapat dengan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Saya tak berhajat untuk mengulas kes ini kerana semua orang pun mempunyai pandangan mereka tersendiri. Saya cuma mahu menarik perhatian kita kepada penggunaan peledak C-4 untuk menghancurkan badan mangsa. Bom C-4 ini adalah kategori bahan letupan berat yang ledakannya boleh mencapai velocity 8,092 meter per saat!

6. Awal tahun ini, teka-teki tentang kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terjawab selepas mayatnya ditemui tanpa organ dalaman. Kejadian di Pekan, Pahang itu telah menimbulkan kegusaran kepada ibubapa akan kewujudan sindiket yang penjualan organ. Mujurlah siasatan mendapati tiada elemen pemerdagangan organ sebaliknya pembunuhnya adalah seorang kenalan keluarga mangsa dan dia bertindak kejam kerana marahkan ibu kanak-kanak perempuan tersebut.

7. Pada 3 Julai tahun lepas, seorang bayi berusia lima bulan bernama Adam Rayqal telah mati akibat kecederaan dipukul pengasuhnya. Lebih menyayat hati, bayi itu dilaporkan kononnya diculik, sedangkan mayatnya disimpan di dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya. Ini bukan kejadian terakhir yang melibatkan pengasuh dan anak asuhan. Pada awal tahun ini juga, seorang kanak-kanak perempuan ditemui telah mati dan mayatnya dibuang di kawasan bukit di Pulau Langkawi oleh sepasang suami isteri yang menjaganya. Ibu kepada kanak-kanak malang tersebut bekerja di sebuah kedai makan dan meninggalkan anaknya kepada sepasang suami isteri. Kes ini sangat rumit sebenarnya kerana banyak persoalan-persoalan yang tidak masuk akal timbul. Antaranya bagaimana ibu mangsa boleh berlapang dada dan membiarkan anaknya dibawah jagaan orang lain tanpa dia bertanya khabar akan anaknya itu, setiap hari. Bahkan si ibu ini juga pernah berkata yang dia pernah melihat anaknya itu dipukul oleh suami kepada penjaga anaknya. Namun, dia tidak mengambil apa-apa tindakan hinggalah kelalaiannya menyebabkan nyawa anaknya melayang.

Sebenarnya ada banyak lagi kes seperti ini. Jika disimpulkan, semua kejadian bunuh ini bermula daripada nafsu amarah sama ada kerana dendam, ketamakan, gila harta, marah, dan juga hilang kewarasan.

Justeru sebagai individu, penting bagi kita untuk mengawal kemarahan kita di samping menjadi lebih berwaspada dengan persekitaran kita terutamanya terhadap orang-orang yang kita tidak kenal.

Kita sedang berada di zaman manusia semakin menjadi seperti binatang. Mintalah perlindungan daripada Allah S.W.T semoga zuriat keturunan kita sentiasa berada di dalam jagaan-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s