Tinggalkan Mengumpat

Mengumpat ni, semua orang tahu keharamannya. Semua orang juga tahu yang mengumpat itu umpama memakan mayat orang yang diumpat. Namun, meninggalkan mengumpat bukanlah suatu yang mudah.

Kadang-kadang, sedang seronok berbual bersama kawan-kawan pun boleh ‘ter’ mengumpat. Ia macam kata-kata yang bila-bila masa sahaja boleh tergelincir daripada lidah.

Perbuatan ini bukan hanya dilakukan oleh kita sahaja, sebaliknya pernah berlaku juga dalam kalangan ulama dan sahabat Nabi S.A.W.

Suatu ketika, Nabi S.A.W pernah memarahi Aisyah R.A kerana Aisyah R.A pernah menggelar madunya Safiyah R.A, dengan gelaran ‘wanita yang pendek’.

Di dalam kitab hadis Fadhilat Amal, ada suatu hadis yang cukup menarik menjelaskan tentang mengumpat, iaitu semasa Nabi S.A.W menjelaskan bahawa perbuatan memfitnah adalah bilamana kita bercakap perkara buruk yang tidak ada pada orang itu. Para sahabat bertanya, bagaimana jika perkara buruk itu benar-benar dimiliki oleh orang itu, dan dijawab oleh Nabi S.A.W, maka itu adalah mengumpat.

Bercakap buruk tentang orang lain memang memuaskan. Kita berjaya ‘mengangkat’ diri kita dengan cara kita ‘menjatuhkan’ maruah orang lain. Kita bersorak seakan-akan kita baru sahaja memenangi sesuatu, sedangkan kita sebenarnya sedang merugikan diri kita.

Tidak ada cara yang paling efektif untuk meninggalkan kelazatan mengumpat selain daripada kesungguhan melawan nafsu. Namun, mungkin ada beberapa tips yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan daripada mengumpat.

1. Elakkan bersama dengan kawan-kawan yang memang terkenal suka bercakap buruk tentang orang lain. Manusia toksik sebegini sangat bahaya. Di depan kita, dia mengumpat orang. Di depan orang, dia mengumpat kita pula.

2. Hukum diri jika mengumpat. Ada seorang ulama pernah berkata, beliau akan berpuasa sunat jika beliau mengumpat. Namun, pelan itu tidak efektif buatnya jadi beliau menukarkan hukuman itu kepada bersedekah. Kerana keperluan menjaga hartanya, akhirnya dia boleh berhenti daripada tabiat buruk itu.

3. Ingat kepada ancaman-ancaman Allah S.W.T khusus kepada pengumpat. Antara yang paling ditakuti adalah, jika orang yang diumpat itu enggan memaafkan kita. Maka, kita terpaksa berurusan dengan mereka di hari kiamat nanti di hadapan Allah S.W.T. Pahala-pahala kita akan diberikan kepada mangsa-mangsa kita sehinggalah habis, dan dosa-dosa mereka akan dipikulkan kepada diri kita pula.

4. Ingat jika kita menutup aib saudara kita di dunia, Allah S.W.T akan menutup aib kita di dunia dan di akhirat. Di akhirat nanti lebih merisaukan kita. Aib kita yang tidak kelihatan seperti apa yang kita lakukan ketika bersendirian, di dalam tandas, di atas katil, bahkan di dalam hati, akan dibongkar dan disaksikan oleh semua orang.

5. Empati. Seringkali saya tekankan pentingnya empati ini. Semua kita tidak suka jika maruah kita dirobek, aib kita dibongkar, kecacatan kita ditertawa, dan kegagalan kita disebut-sebut orang. Justeru, janganlah kita lakukan sebegitu kepada orang.

Walaupun mengumpat ialah jenayah berat, Islam masih membenarkan mengumpat dalam beberapa hal. Namun, kita tak akan bercakap hal itu dalam artikel ini.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk menjauhi mengumpat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s