Tips Untuk Jaga Solat

Sepanjang tempoh saya bergelar ‘student’, saya tak pernah jumpa orang yang meninggalkan solat. Jadi bila melangkah ke alam pekerjaan, saya masih terbawa-bawa dengan sangka baik ini. Lebih-lebih lagi, saya ini produk MAS Subang. Di sana, waktu rehat pagi yang 30 minit itu pun, orang berasak-asak menunaikan solat dhuha. Waktu solat berjemaah, lagilah.

Bagi saya, suasana itu adalah antara perkara yang saya paling rindukan di MAS. Sayangnya operasi di Subang sudah hampir lumpuh sepenuhnya selepas ‘MAS-xit’ tahun 2015.

Fitrah.

Kita semua dilahirkan baik dan tidak mewarisi dosa sesiapa. Kita sebenarnya lebih mudah untuk solat, berbanding untuk tidak bersolat. Namun, kerana ‘praktis’ dan ‘usaha yang berterusan’, akhirnya kita menjadi orang yang tidak bersolat. Setiap manusia sebenarnya mempunyai ‘guilt‘, atau rasa bersalah di dalam hatinya.

‘Soft spot’ ini dimiliki oleh semua manusia termasuklah taukeh dadah (drug lord), ketua mafia, bahkan juga firaun.

Sejahat-jahat Pablo Escobar, dia ialah seorang family man. Ibunya bermati-matian mempertahankan anaknya. Di matanya, Pablo ialah anak yang ‘soleh’.

Begitu juga Firaun. Siapa tak kenal firaun?

Firaun bukan sahaja memerintah secara kuku besi. Dia juga mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kejahatan Firaun itu sampai ke tahap dia membunuh setiap bayi lelaki yang lahir kerana percaya dengan ramalan karut ahli sihir.

Boleh kata, firaun ini adalah jelmaan Thanos dalam filem The Avengers. Thanos juga zalim, jahat dan keji tetapi dia memiliki ‘soft spot’ di dalam hatinya, iaitu ketika separuh populasi dunia telah mati, dia bukannya mahu menjadi pemerintahnya, tetapi hanya mahu ‘bersara dengan tenang’ dan hidup ‘innocent’ ala orang kampung.

‘Soft spot’ bagi Firaun pula ialah, dia sanggup melepaskan Nabi Musa (semasa bayi) dan membesarkan baginda seperti anak kandungnya, di dalam istananya.

Dengan ini, saya dapat menyimpulkan bahawa sejahat-jahat manusia, dia sebenarnya rasa bersalah jika membuat dosa dan maksiat. Tiada manusia yang ‘enjoy’ membuat dosa. ‘Fake laugh’, ‘fake smile’, mungkin ada. Namun, ketenangan, mustahil. Semua itu palsu.

Saya ada beberapa tips supaya kita boleh konsisten melakukan solat.

1. Jangan Malu.

Orang yang lama tidak bersolat, dia akan rasa malu untuk bersolat semula. Persetankan kata-kata, senyum sinis, dan sindiran orang. Sebagaimana kita tak malu meninggalkan solat, begitulah juga kita seharusnya tidak malu untuk membetulkan kesilapan-kesilapan kita.

2. Wujudkan Rasa Bersalah

Kita tidak boleh hukum orang, tetapi kita boleh hukum diri kita. Kita cuma perlu membayangkan sekiranya kita mati hari ini. Ada sejumlah hutang solat yang belum kita lunaskan kepada Allah S.W.T. Bayangkan jika kita masuk ke dalam kubur, bersendirian dan berseorangan. Isteri kita menangis. Anak kita meratap, memanggil, ‘Ayah… Ayah...’. Kita memandang mereka tetapi kita tak mampu menjawab mereka. Tiba saatnya kita dimandi, dikafan, dan dikebumikan. Tidak beberapa lama, kita ditinggalkan di dalam lubang yang sempit.

Datanglah dua malaikat berwajah bengis, bertanya soalan yang kita tahu namun tak mampu dijawab dengan lidah ini. Kita tahu Allah Tuhan kita, kita tahu Islam agama kita, kita tahu al-Quran itu kitab suci untuk kita, tetapi ketika itu untuk mengangguk sekalipun kita tak mampu.

Tiada siapa yang boleh ‘back up‘ kita. Termasuklah solat.

3. Tahu Darjat Solat.

Ada ramai orang baik. Kuat sedekah, suka tolong orang, tidak suka mengumpat, tak suka berbohong, tak pernah berzina dan minum arak dan lain-lain.

Namun, semua kebaikan itu Allah S.W.T tidak akan pandang sekiranya solat kita tidak dilakukan. Dalam banyak hadis, Nabi S.A.W bersabda yang kaki kita tidak mungkin boleh bergerak selagi tidak ditanya soalan-soalan berkenaan perbuatan kita di dunia dahulu. Begitulah juga halnya amal soleh kita. Puasa, zakat dan haji kita tidak akan dikira sekiranya kita meninggalkan solat.

4. Tahu Hukum Meninggalkan solat.

Meninggalkan satu solat fardu adalah berdosa besar dan akan diazab oleh Allah S.W.T. Namun, jika meninggal solat dengan bermaksud menolak kewajipannya, seperti berkata, “Tak perlu pun solat ni” atau “Orang macam aku tak payah solat. Ada kapal”, maka jumhur ulama menghukum kata-kata ini sebagai kufur, wajib mengucap semula.

5. Fleksibiliti Di Dalam Solat

Ramai yang meninggalkan solat kerana kerja. Termasuklah jika ada transit atau departure ketika waktu solat (tarbiyyah sentap). Kita perlu ingat bahawa solat itu ada tempoh waktunya dan tempoh itu selalunya cukup untuk kita solat. Solat kita biasanya memakan masa kurang daripada 5 minit sahaja. Jika ada majikan yang komplen katanya ada staf yang mengambil masa lebih daripada 15 minit untuk solat, bermakna sama ada majikan itu islamphobia, pekerja itu penipu, atau pekerja itu pergi buang air besar dahulu.

6. Tahu Syarat Sah Solat.

Kita meninggalkan solat kerana kita fikir solat itu leceh. Solat hanya memerlukan 1. wuduk, 2. Tutup aurat, 3. Suci daripada najis, 4. Arah kiblat.

Najis ialah kotoran, tetapi bukan semua kotoran ialah najis. Contohnya kalau seluar terkena sedikit peluh, fuel, grease, atau cat, maka itu masih boleh dibawa ke solat. Lainlah jika kuantitinya banyak.

Kerana solat itu terlampu mudah, saya pernah beberapa kali juga solat di atas tar, di dalam kabin, dan di hujung galley (dapur) pesawat. Guna apps ‘qiblat finder’, lapik lantai dengan plastik sampah (yang baru), dan voilaaa… dah boleh bersolat. Solat di atas tar paling mencabar kerana setiap kali sujud, dahi akan menekan batu-batu kerikil. Sakit.

8. Tahu Kelebihan Solat

Terlalu banyak kelebihan solat, baik secara fizikal, medikal, bahkan spiritual. Namun, lima ganjaran utama menjaga solat adalah:

1. Diangkat kesusahan dalam hidup
2. Diangkat siksa kubur
3. Kitab catatan amalan diberi dari tangan kanan
4. Melalui titian sirat sepantas kilat
5. Masuk syurga tanpa hisab

Berikut adalah sekadar contoh. Kelebihan sebenar terlalu banyak, tak mampu disenaikan satu per satu.

8. Qada’

Saya tahu dalam beberapq situasi, memang kita akan mengalami kesukaran untuk solat. Contohnya balik kerja syif malam. Kadangkala terlepas waktu zuhur. Maka, apa yang perlu dibuat ialah qada’ solat itu. Secara tidak langsung kita sedang menghantar ransangan ke dalam minda bawah sedar kita, bahawa atas alasan apa pun, kita tetap perlu bersolat.

9. Latihan

Tipulah kalau kita kata yang solat tak memerlukan latihan. Solat sudah menjadi ritual dan amalan kita sejak kecil. Justeru memanglah mudah kita melakukannya setelah dewasa. Tetapi bagaimana pula dengan orang-orang yang ibu dan ayahnya tak peduli pun anaknya bersolat atau tidak.

Orang ini perlu berlatih untuk solat. Sepertimana kita berlatih di gym, seelok-eloknya kita berlatih solat di masjid. Mengapa?

Kerana suasana masjid tidak sama dengan suasana rumah. Di masjid, tak ada TV dipasang kuat-kuat. Tak ada kawan-kawan yang melakukan perkara jahat. Tak ada wi-fi untuk kita online.

10. Buang Kemalasan

Nafsu malas sama besar dengan nafsu seksual. Bagi lelaki, cabaran terbesar kita ialah seks dan kemalasan. Bagi wanita pula, seks itu mungkin boleh ditukar dengan wang, barang berjenama, atau emas.

Hendak memukul nafsu, kita perlu lebih bersedia untuk dipukul. Nafsu telah lama hidup dan pernah juga ‘berdebat’ dengan Allah S.W.T. Namun, kita perlu tahu bahawa yang boleh mengawal nafsu kita hanyalah kita sahaja.

Penceramah, pakar motivasi, dan ustaz memanglah boleh ‘membebel’ berjam-jam lamanya. Tetapi mereka tak boleh membuat magis, mengubah orang yang malas solat tiba-tiba menjadi rajin.

Seperti pepatah inggeris, “You can lead a horse to water, but you cannot make him drink”.

11. Doa

Doa ini adalah senjata yang sangat hebat. Doa boleh melolosi semua kubu yang kebal, boleh meruntuhkan semua tembok yang tidak boleh ditembus, dan boleh mengubah setiap hati yang keras kaku.

Orang yang bersolat mudahlah untuk berdoa. Selepas solat, secara automatik kita akan berdoa. Tetapi di luar solat, kita sukar hendak berdoa. Saya sendiri pun begitu.

Doalah, minta Allah S.W.T bimbing kita, beri kita hidayah, dan beri kita kekuatan untuk menjaga solat.

Berdoa minta untuk menjada solat ini bukan hanya orang macam kita sahaja yang buat, sebaliknya Nabi Ibrahim A.S telah terlebih dahulu berdoa kepada Allah S.W.T agar Baginda dan zuriat keturunannya menjadi golongan yang menjaga solat.

12. Orang Kafir Tak Solat

Ini adalah stigma dan mindset yang salah. Orang kafir ni ramai termasuklah atheis dan agnostik. Namun, Allah S.W.T beri bermacam-macam nikmat kepada mereka.

Kalau ikut logik ini, kita sebenarnya mahu menjadi seperti orang kafir juga.

Walhal di dalam urusan dunia, memang Allah jadikan dunia ini sebagai ‘syurga’ kepada orang kafir. Mereka boleh mabuk, seks bebas, ambil dadah, dan lain-lain. Orang kafir tak perlu solat, tak perlu zakat, tak perlu bangun jam 6.30 pagi untuk solat subuh, dan lain-lain.

Mengapa?

Kerana Allah S.W.T mahu mereka bersenang-senang dahulu di dunia. Sebaliknya, kita ini Allah S.W.T uji untuk mengetahui kita ini ahli kumpulan yang mana.

Mungkin juga kita tak pernah dengar berkenaan istidraj. Tak solat, makin kaya. Tak solat, cepat naik pangkat. Jaga-jaga.

13. Belajar Bersolat.

Saya percaya, ada pecahan kecil orang yang tak reti solat. Jika dalam urusan dunia, kita sanggup masuk kursus, seminar, dan kelas, mengapa dalam urusan akhirat, kita tidak boleh menjadi begitu?

Kita sanggup bayar beribu-ribu untuk kelas FB Ads, kelas pelaburan saham, (sekadar menyebut beberapa nama), tetapi berapa ringgit kita sanggup belanjakan untuk belajar agama?

Padahal kebanyakan ilmu agama ini diajar secara percuma. Ustaz-ustaz ni 90% berkerja secara sukarela dan ikhlas (tak termasuk ustaz selebriti), namun pernahkah kita approach mereka?

Kesimpulan.

Solatlah. Bayangkan wajah arwah ibu, wajah arwah ayah, wajah isteri, dan wajah anak-anak. Jika kita tak malu dengan Allah S.W.T, kita patut malu dengan mereka. Besar harapan ibubapa kita supaya kita boleh menjadi pemberat neraca amalan soleh mereka.

Begitu juga besarnya harapan isteri yang kita nikahi, dan anak-anak yang kita sayangi, mahukan kita membimbing mereka jalan ke syurga.

Tapi kita, belum apa-apa lagi sudah tergelincir.

Solatlah. Jadilah lelaki sejati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s