Hukuman Kepada Penghina Nabi, Sebuah Tulisan Penuh Kontroversi

Pembohongan di atas nama Nabi S.A.W telah lama berlaku. Daripada sekecil-kecil pembohongan untuk melariskan jualan terung (hadis tentang khasiat terung) sehinggalah kepada membunuh dengan nama Nabi S.A.W.

Nabi S.A.W adalah manusia yang paling banyak diejek dan dihina orang. Apa yang orang kafir quraish tak cakap? Semua mereka kata. Tukang sihir, orang gila, pemecah belah masyarakat, pembohong besar, semua itu adalah gelaran yang mereka pernah beri kepada Nabi S.A.W.

Ketika anak lelaki Baginda S.A.W bernama Ibrahim meninggal dunia, orang-orang kafir dan munafik ini mentertawakan dan mengejek Baginda dengan sindiran, “Muhammad seorang yang terputus (nasab)” hinggakan Allah S.W.T menurunkan surah al-Kautsar bagi memujuk Baginda S.A.W.

Ketika di Mekah (sebelum hijrah) pula, Baginda pernah dihina dengan cara dicampakkan najis dan isi perut unta keatas badan Baginda S.A.W semasa Baginda S.A.W sedang sujud. Tergopoh-gopoh Saidatina Fatimah R.A datang membersihkan bapanya daripada najis perut unta sambil menangis teresak-esak menahan sedih melihat bapanya diperlakukan sedemikian.

Sungguh pun begitu, tidak pernah sekalipun penghina-penghina Nabi ini dibunuh. Ya, memang ada, antaranya ialah Abu Jahal. Abu Jahal mati di dalam Perang Badar di tangan dua orang remaja Ansar bernama Muaz Bin Amr al-Jamuh dan Muawwiz Bin Afra. Kedua-duanya mereka hanya berusia 14 tahun dan 13 tahun.

Namun, Abu Jahal dibunuh bukannya atas arahan khusus daripada Nabi S.A.W melainkan ia hanya tindakan spontan di dalam perang.

Seorang lagi yang pernah dibunuh kerana menghina Nabi S.A.W ialah Ka’ab Bin Asyraf, seorang Yahudi dan tukang syair yang selalu melakukan provokasi. Selepas kekalahan orang kafir quraish di dalam Perang Badar, Ka’ab Bin Asyraf telah mendatangi mereka dan memberikan ucapan motivasi dan melantunkan syair-syair yang provokatif.

Sifat Ka’ab Bin Asyraf yang seperti gunting dalam lipatan ini telah mendatangkan banyak masalah dan mengancam umat Islam lalu Nabi S.A.W meminta agar Ka’ab Bin Asyraf ini dibunuh. Tugas ini diselesaikan oleh seorang sahabat bernama Muhammad Bin Maslamah R.A.

Dua kisah ini tidak boleh menjadi contoh bahawa Nabi S.A.W ‘suka’ jika penghina-penghina Baginda dibunuh. Jika begitu, mengapa ratusan dan ribuan lagi orang tidak pula dibunuh?

Antaranya ialah seorang wanita buta berbangsa Yahudi. Setiap hari Nabi S.A.W akan menziarahi wanita itu dan menyuapkannya roti. Wanita itu tidak tahu orang yang menziarahinya ialah Nabi Muhammad S.A.W jadi setiap kali itu jugalah, dia akan mencaci maki dan menghina Baginda. Nabi S.A.W hanya mendiamkan diri.

Selepas kewafatan Nabi S.A.W, Saidina Abu Bakar R.A bertanya kepada anaknya akan rutin yang dilakukan oleh Nabi S.A.W. Aisyah R.A pun menceritakan tentang wanita tua dan buta berbangsa yahudi itu lalu Saidina Abu Bakar pun menziarahi wanita tua tersebut dan memberinya makan. Namun, wanita itu tahu orang yang melayannya hari itu ialah orang lain kerana kebiasaannya Nabi S.A.W akan menghancurkan dan melebutkan dahulu roti yang akan disuapkan ke dalam mulut wanita tua itu. Lalu terpancullah soalan, “Engkau bukan orang yang biasa menziarahiku. Siapakah engkau?”

Abu Bakar R.A tak dapat menahan perasaan. Beliau menangis sebelum memperkenalkan diri dan memberitahu bahawa orang yang selama ini melayan wanita tua itu adalah Nabi Muhammad S.A.W. Wanita tua itu terkejut dan memeluk agama Islam.

Satu lagi contoh ialah apa yang berlaku kepada Abdullah Bin Ubay. Abdullah ini bukan sahaja lidah bercabang, tetapi juga seorang yang licik. Semua orang tahu dia munafik bahkan menjadi cita-cita semua orang untuk memenggal kepalanya termasuklah anaknya sendiri. Namun, Nabi S.A.W tidak pernah mengizinkan Abdullah Bin Ubay ini diapa-apakan. Biarlah kemunafikannya dibalas oleh Allah S.W.T sahaja.

Nabi S.A.W juga memandang serius soal islamphobia dan persepsi orang bukan Islam terhadap Islam dengan kata-kata Baginda S.A.W,

“…Aku tidak mahu orang berkata, Muhammad membunuh kawannya”. (Merujuk kepada Abdullah Bin Ubay)

Di atas adalah sekadar beberapa contoh yang perlu diperhalusi. Namun, kita boleh menyimpulkan:

1. Islam bukan agama keganasan.

2. Hukuman ke atas penghina Nabi hanya boleh dilancarkan oleh ketua negara bukannya individu.

3. Arab Saudi menghukum penghina Nabi dengan keras kerana itu undang-undang negara mereka.

4. Di Malaysia, penghina Nabi juga akan berdepan hukuman penjara. Mengapa penjara, kerana itu sahajalah peruntukan undang-undang yang kita ada.

5. Melihatkan berleluasanya kejadian menghina agama Islam dan nabi kebelakangan ini, mungkin sudah tiba masanya undang-undang kita diperketatkan!

6. Malaysia ada mufti. Tugas mufti adalah untuk menjadi jurubicara agama bagi negara tersebut. Mereka sangat alim, bijak, dan berhikmah. Bahkan mereka boleh menjadi ‘dalil’ kita di depan Allah.

7. Semasa Ali Bin Abi Talib R.A menjadi khalifah menggantikan Uthman Bin Affan R.A yang dibunuh, keadaan di Madinah huru-hara. Pemberontakan berlaku di sana sini. Tiba-tiba datang dua orang sahabat berjumpa Ali R.A lalu berkata, “Kami akan membai’ah kepadamu jika kamu melaksanakan hudud Allah”.

Hudud Allah yang mereka maksudkan ialah qisas terhadap pembunuh Saidina Uthman R.A.

Ali Bin Abi Talib R.A ialah kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, orang yang menggantikan Nabi dikatil Baginda semasa Baginda mahu berhijrah bersama Abu Bakar R.A ke Mekah, sepupu Nabi, menantu Nabi, suami kepada anak kesayangan Nabi, bapa kepada cucu-cucu Nabi, orang yang diiktiraf oleh Baginda kealiman dan kesolehannya, dan salah seorang daripada 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga.

Perhatikan betul-betul apa kata Ali R.A.

Aku ini tidaklah lebih jahil daripada kamu berdua. Aku tahu hukum qisas. Namun, beritahu aku bagaimana aku mahu menghukum qisas di dalam keadaan kacau bilau dan pemberontakan ini”.

8. Pada zaman Saidina Umar R.A menjadi khalifah, baginda pernah menghukum bunuh orang yang menghina Nabi S.A.W. Begitulah juga pendirian Umar Bin Abdul Aziz semasa beliau menjadi khalifah. Beliau pernah mengutus surat dengan amaran yang sama iaitu “…tidak halal darah bagi seorang manusia yang mencela manusia lain, melainkan jika yang dicela itu ialah Nabi S.A.W”

9. Sekali lagi, keputusan membunuh pencela Nabi ialah keputusan ketua negara/khalifah. Dalam konteks Malaysia, jika ada orang hina Nabi, yang terbaik adalah kita laporkannya kepada polis. Biar polis yang uruskan.

Terakhir

• Adakah saya bersetuju Nabi di hina?

Nauzubillah. Jika ya, maka kafirlah saya.

• Adakah orang yang mati kerana memerangi penghina Nabi S.A.W mati syahid?

Wallahua’lam. Kita doakan semoga Allah S.W.T mengampuninya dan memasukkannya ke dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Rujukan

1. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3208-irsyad-al-fatawa-siri-ke-297-adakah-penghina-rasulullah-saw-halal-d4r4hnya

2.
https://www.thepatriots.asia/halal-d4rah-mereka-yang-menghina-rasulullah/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s