3 Tips Mahu Berubah

Ramai orang yang mahu berubah tetapi tidak ada kekuatan. Dia tak tahu dari mana dia harus bermula, apa yang dia perlu buat dan apa yang dia mesti tinggalkan.

1. Niat.

Pertama sekali, kita perlu selalu membersihkan niat. Aku berubah ni hanya semata-mata kerana Allah S.W.T. Niat adalah perkara pertama yang akan syaitan cuba gagalkan. Syaitan akan tukarkan niat kerana Allah S.W.T tadi, kepada berniat mahu dipandang baik, dikatakan soleh, dipuji orang, dan dihargai orang.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menegaskan bahawa syaitan mampu menyesatkan semua orang, kecuali golongan yang ikhlas (mukhlisin).

Kita boleh berubah kerana desakan ibubapa, kerana faktor kesihatan, kerana ujian, kerana kegagalan, kerugian dan bermacam-macam lagi. Namun, ia tidak akan bertahan lama. Pada zaman Nabi S.A.W, ada seorang lelaki dan wanita yang dilamun cinta. Wanita itu memeluk Islam dan berhijrah meninggalkan bumi Mekah menuju Madinah. Lelaki itu akhirnya turut berhijrah meninggalkan Mekah, tetapi hijrahnya disebut di dalam hadis,

“…barangsiapa yang berhijrah kerana wanita yang dia mahu nikahi, maka hijrahnya adalah untuk wanita itu...”.

2. Kawan

Kawan adalah circle yang membentuk diri kita. Mereka adalah cerminan kita. Kawan yang baik akan menjadikan kita baik. Kawan yang tidak baik akan menjadikan kita tidak baik.

Ingat lagi tak kita kepada kisah seorang lelaki bani Israel yang telah membunuh 100 orang. Selepas bertemu dengan seorang pendeta, pendeta itu menasihatinya supaya bertaubat dengan cara pergi meningggalkan tempat tinggalnya sekarang dan menuju ke sebuah perkampungan lain, iaitu perkampungan orang soleh. Pembunuh tadi pun mengikut nasihat pendeta dan di dalam perjalanan, dia telah meninggal dunia.

Berlakulah perbalahan di antara Malaikat Azab dengan Malaikat Rahmat mengenai roh lelaki pembunuh itu.

Kata Malaikat Azab, “Dia telah melakukan 100 pembunuhan. Dia perlu diazab”, tetapi dibantah pula oleh Malaikat Rahmat, “Tidak, dia sudah pun bertaubat”.

Lalu Allah S.W.T memerintahkan agar diukur jarak tempatnya meninggal dunia, sama ada lebih dekat dengan perkampungan orang soleh atau lebih dekat dengan tempat asalnya. Ternyata jaraknya ke perkampungan orang soleh lebih dekat. Dalam riwayat yang lain, Allah S.W.T telah memendekkan jarak tersebut. Akhirnya, pembunuh bersiri itu diampunkan Allah S.W.T dan rohnya diuruskan oleh Malaikat Rahmat.

Kisah ini mengajarkan kita bahawa jika mahu berubah, kita perlu menjauhi rakan-rakan, daya tarikan, godaan, dan suasana yang boleh menyebabkan kita kembali melakukan dosa yang sama. Dalam kes pembunuh bersiri tersebut, dia telah meninggalkan kampungnya kerana suasana di kampungnya tidak membantunya berubah. Mungkin di sana, ada musuh yang mahu membunuhnya. Jika dia bertarung, dia mungkin akan membunuh lawannya lagi. Mungkin di kampungnya juga ada orang yang sentiasa mencabar, menjadi batu api, dan memprovokasinya untuk terus saling berbunuhan.

Hal yang serupa juga pernah berlaku kepada Safiey Ilyas. Dia pernah insaf dan bertaubat, tetapi kembali menjadi pondan kerana gagal untuk meninggalkan kehidupan lamanya, masih bergaul dengan rakan-rakan pondannya, masih ‘bertepuk tampar’ dengan mereka sehinggalah akhirnya, dia tergelincir ke dalam lubang yang sama buat kali kedua.

Menjauhi kawan-kawan yang tidak baik bukan bermakna memutuskan persahabatan dengan mereka, sebaliknya kita perlu berhati-hati agar kita tidak terikut-ikut dengan mereka. Dalam masa yang sama, cari, berkawan dan ikutlah kawan-kawan yang baik, soleh dan boleh membimbing kita.

3. Masjid

Salah satu sunnah Nabi S.A.W apabila Baginda S.A.W tiba di suatu tempat adalah, Baginda S.A.W akan membina masjid di tempat tersebut. Masjid adalah tempat pertemuan sesama Muslim, pusat budaya, pusat Ilmu, pusat tarbiyah dan juga pusat ekonomi.

Masjid pada zaman Nabi S.A.W penuh dengan liqo‘ atau kumpulan para sahabat. Ada yang membaca al-Quran, ada yang berzikir, dan ada yang saling memberikan tazkirah.

Suatu ketika, Nabi S.A.W melihat ada satu kumpulan kecil para sahabat di dalam masjid. Baginda S.A.W bertanya apakah yang para sahabat buat ketika itu. Dua kali Baginda S.A.W mengulang soalan yang sama. Baginda S.A.W menunjukkan keseriusan dan keterujaan dalam masa yang sama. Para sahabat menjawab, “Kami cuma duduk berzikir, bertahmid dan mengenang kembali waktu kami di dalam jahiliyah dan bersyukur atas petunjuk Islam”. Rupa-rupanya Jibril A.S telah datang memberitahu Baginda S.A.W bahawa Allah S.W.T telah menurunkan malaikat di sekeliling mereka.

Selain itu, orang yang suka dan sering ke masjid juga dijanjikan perlindungan arasy pada hari akhirat nanti.

Orang yang mahu berubah perlu menjadikan masjid sebagai ‘rumah keduanya’. Jika tidak melakukan ibadat pun, kita masih boleh mendapat pahala dengan niat iktikaf sekalipun kita tidur, berbaring atau sekadar berehat sahaja. Tidak logiklah jika kita masih tergamak untuk membuat dosa dan perkata-perkara yang jahat di dalam masjid.

Kesimpulan.

Hidup ini adalah sebuah perjuangan. Dalam surah al-Mulk, dinyatakan bahawa kehidupan ini adalah ujian, bukannya untuk menilai amal siapa yang lebih banyak, tetapi amal siapakah yang lebih baik.

Orang-orang yang mengecam, menghina, mengejek dan mengatakan kita bukan-bukan, mereka sebenarnya tidak tahu apa yang berada di dalam hati kita. Mereka tak nampak struggle kita. Mereka tak nampak keinginan, kesungguhan, dan usaha kita. Tidak seperti manusia yang ‘rabun’, Allah S.W.T memahami dan menilai usaha kita.

Nasib baiklah Allah S.W.T bukan jenis ‘result oriented’!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s