Piagam Meragam, YB-lah Yang Banyak Ragam

Desas-desus penyatuan PAS dan UMNO ini dah lama. Sebelum PRU 14 lagi sudah ada yang bercerita. Bahkan saya terpaksa pekakkan telinga apabila ada orang tua yang menghasut, “Undi PAS, samalah macam undi BN”.

Nasi sudah menjadi bubur. Di luar gelanggang, PH nampak seperti seorang jaguh, tetapi rupa-rupanya sudah tewas dalam pusingan pertama. Terlalu banyak janji yang ‘dicapati’, terlalu banyak alasan yang dijadikan mantra hinggakan setiap hari, sokongan rakyat nampaknya semakin berkurangan.

Siapa yang paling untung?

Sudah tentulah PAS dan UMNO. Kerana itulah, mereka memperbaiki hubungan di antara mereka. Pemimpin UMNO dilihat menghadiri muktamar PAS dan pimimpin PAS juga sudah berjumpa jalan ke PWTC. Kemuncaknya adalah tanggal 14 September ini, dua parti terbesar orang Melayu dan Islam, akan mematerai Piagam Muafakat Nasional, sebagai tanda simbiosis dan kerjasama antara kedua-dua parti politik ini.

Saya tak pasti adakah ini yang dinanti-nantikan oleh penyokong kedua-dua buah parti. Bukannya kita tidak tahu, kedua-dua parti ini mempunyai kisah silam. Luka yang berbekas masih lagi berdarah. Orang PAS masih rasa sakitnya dikhianiti dan ditendang keluar daripada perikatan tahun 1978, manakala orang UMNO pula masih berduka kerana dituduh sebagai kafir.

Saya pasti ramai penyokong PAS yang akan defensif, menafikan kewujudan ‘amanat Haji Hadi’. Saya pun ragu-ragu tentang kewujudannya, cuma ia menjadi salah satu modal kempen orang UMNO sendiri semasa PAS dan UMNO masih lagi musuh ketat dalam PRU lepas. Namun, jika ‘amanat’ ini benar-benar asli, saya turut bersetuju juga sebenarnya.

Dalam konteks umum, sesiapa sahaja yang menolak hukum hudud, maka dia dalam bahaya. Hudud bukan ciptaan manusia, sebaliknya ia adalah perintah Allah S.W.T. Tidak wujud sebenarnya ‘hudud PAS’ seperti yang heboh diperkatakan. Perintah Allah S.W.T banyak, jika kita cuai menunaikannya, maka kita cuma berdosa. Namun, jika kita lancang menafikan, menolak, memperlekeh dan mempersendakan hukum syariat dan agama, maka sepakat ulama menghukum akidah orang itu telah rosak.

Seperti halnya orang yang mendakwa hudud itu hukuman rimba, ciptaan ahli fiqah, wanita tidak perlu bertudung dan menghina perwatakan Nabi Muhammad S.A.W yang berjambang kerana pada zaman baginda, tidak ada ‘gillet’ (pisau cukur). Kesemua kenyataan itu bernada kontroversi dan tak semua orang berani meluahkannya secara terbuka.

Entah-entah orang yang cakap begitu pun sudah lama keluar UMNO.

Dr Mujahid Rawa (menteri kegemaran semua) pernah kata yang piagam ini adalah ‘piagam yang meragam’. Entah mengapa, selepas membaca tulisannya yang panjang lebar itu, saya rasa seperti saya sedang mengambil ‘gam’. Hujah berulangan, PAS- parti ajaran sesat dan UMNO-kafir, adalah hujah pra matang.

PKR, DAP, dan parti beliau sendiri, AMANAH telah lebih awal melakukan kerjasama yang pada mata kasarnya bersifat ‘diluar tabi’e’, namun kerjasama itu sah dan berjaya. BN tumbang, PH bangkit, dan paling penting, Tun Mahathir kembali menjadi jeneral. Bukankah dulu Tun Mahathir sangat dimusuhi oleh mereka, dan sekarang, menjadi ketua mereka pula?

Begitulah dinamiknya politik. PAS pernah berkawan dengan DAP. Pernah gembira sama-sama, pernah menangis sama-sama. DAP pun pernah berkempen dan mempromosikan hudud, dengan kata-kata YB Anthony Loke, “Kalau kita tak buat salah, buat apa kita nak takut”.

Sebagai rakyat biasa, kita perlu melihat percaturan politik ini secara objektif. Kerjasama antara PAS dan UMNO tidak seharusnya terhad kepada survival bangsa melayu dan kelestarian agama Islam sahaja, kerana jika semata-mata mahu menjaga melayu dan Islam, pakatan ini tidak akan dapat bertahan seperti kata Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, “Berapa sen sangatlah nilai melayu di hari kiamat nanti”.

Sebaliknya, UMNO dan PAS perlu berwawasan seperti kerajaan Islam lampau yang progresif, maju, adil, dan aman. Malaysia pernah menjadi sebuah rumah besar yang mempunyai banyak bilik, menerima tetamu dan memanggil mereka saudara, serta memberikan makanan dan perlindungan daripada hujan dan ribut.

Malaysia yang sebegitu sebenarnya lebih tepat dengan konsep rahmatan lil a’lamin.

Saya ucapkan selamat kepada mereka yang akan ‘berpiagam’ sabtu ini. Harapan saya, jangan membuka penyertaan ahli politik yang sudah menukar warna politiknya.

Jangan tiru kesilapan PH.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s