Salah Faham Terhadap Orang Melayu-Malaysia Yang Mengagungkan Nabi Muhammad Dan Sahabat Baginda

Antara salah faham terbesar non-muslim adalah, mereka merasakan orang Islam menyembah Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda.

1. Muhammad adalah Nabi, bukan Tuhan.

Islam adalah agama monotheism iaitu agama yang percaya hanya kepada satu Tuhan sahaja. Agama Islam mempunyai hubungan yang erat dengan agama Kristian dan Yahudi kerana pertaliannya di dalam sejarah. Agama Islam muncul sekitar tahun 610, iaitu semasa Nabi Muhammad S.A.W berusia 40 tahun.

2. Tugas Nabi adalah mengajak manusia kepada Tuhan.

Nabi juga adalah manusia biasa. Berhajat untuk makan, minum, ke tandas, berkawan, dan berkeluarga. Nabi tidak memiliki unsur-unsur ketuhanan seperti kuasa ghaib dan kesaktian. Mereka bukannya dewa. Namun begitu, setiap Nabi dikurniakan keistimewaan yang dipanggil mukjizat.

Tujuan keistimewaan ini adalah untuk menanamkan keyakinan para pengikutnya kepada kebenaran Tuhan. Buktinya adalah mukjizat ini hanya terjadi dengan kehendak Tuhan dan bukannya atas kemampuan mereka.

3. Para sahabat tidak memuja Nabi.

Nabi Muhammad S.A.W wafat (meninggal dunia) sekitar tahun 632. Ketika itu, bilangan orang Islam dan sahabatnya adalah sekitar 124,000 orang. Semua orang sahabat Baginda sedih, terkejut dan patah hati. Kemuncaknya adalah apabila salah seorang sahabat Baginda yang paling utama bernama Saidina Umar al-Khattab (khalifah kedua selepas Nabi Muhamad) tidak dapat menahan perasaannya dan berkata, “Siapa yang berkata Nabi Muhammad telah mati, aku akan membunuhnya”.

Beliau hanya tenang selepas seorang lagi sahabat Nabi bernama Abu Bakar (Khalifah pertama selepas kematian Nabi) membacakan sepotong ayat al-Quran daripada surah Ali Imran ayat 144;

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

4. Larangan di dalam hadis

• “Jauhilah kalian daripada sikap ghuluw (melampau) di dalam agama, kerana sikap ghuluw ini telah membinasakan ramai orang sebelum kalian”, [Riwayat Imam Ahmad]

• “Janganlah kalian berlebih-lebihan memujiku, seperti mana orang-orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji Isa putera Maryam. Aku ini hanyalah hamba-NYA, maka katakanlah, ‘Abdullah wa Rasuluhu (hamba Allah dan rasul-Nya)”, [Riwayat Imam Baihaqi]

5. Negara Arab sebelum kedatangan Islam.

Nabi Muhammad S.A.W lahir di Mekah. Ketika itu, wilayah Arab adalah sebuah kawasan yang bersifat autonomi dan diperintah secara berpuak-puak, nomad, dan tinggal secara kelompok. Mereka tidak mempunyai sistem pemerintahan, raja, dan struktur sosial yang baik. Mereka mempunyai banyak kepercayaan karut, amalan yang mengarut dan mereka menyembah berhala.

Antara amalan buruk mereka adalah suka berjudi, menilik nasib, berperang antara kabilah (puak), merompak pedagang-pedagang yang melalui kawasan mereka, mabuk, dan berzina. Mereka juga percaya bahawa wanita adalah sial atau pembawa malang dalam keluarga hinggakan mengikut adat, mereka akan menanam anak-anak perempuan mereka hidup-hidup kerana bimbang akan kemiskinan.

Amalan mereka yang terlalu barbarik menyebabkan mereka ‘terselamat’ daripada dijajah oleh kuasa-kuasa besar di sekeliling mereka seperti Empayar Byzantine (Rom) dan Empayar Parsi. Dikatakan bahawa dua kuasa besar ini tidak mahu menjajah jazirah Arab kerana tidak mahu budaya masyarakat arab Jahiliyah ini meracuni peradaban mereka.

Namun, segala-galanya berubah dalam tempoh yang sangat singkat. Nabi Muhamad S.A.W bukan sahaja membina masyarakat yang moden, bertamadun, bijak dan berdaya saing, Baginda juga berjaya membentuk asas (foundation) sebuah kerajaan Islam yang kuat. Semasa pemerintahan Saidina Umar R.A sekitar tahun 651, Empayar Parsi telah jatuh sepenuhnya kepada umat Islam, manakala Byzantine Timur (wilayah Mesir dan Anatolia) jatuh kepada umat Islam lebih awal, iaitu pada tahun 641. Empayar Byzantine walau bagaimanapun, hanya jatuh sepenuhnya selepas beberapa sisi penaklukan yang dimenangi oleh Sultan Muhammad al-Fateh, pada tahun 1453.

6. Nabi Muhamad ikon femenisme.

Antara perkara yang paling signifikan yang Nabi Muhammad lakukan adalah, Baginda mengangkat martabat kaum wanita. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, peranan wanita hanya terhad kepada tugas-tugas domestik. Bahkan lebih buruk lagi, wanita sering menjadi bahan dagangan bagi tujuan perhambaan dan seks. Namun, selepas kedatangan Islam, wanita mula diberi kemuliaan. Kaum wanita mula diberikan hak untuk belajar dan mendapat pendidikan.

Dalam masa yang sama, Nabi Muhammad S.A.W juga sangat sensitif dan menjaga kemuliaan kaum wanita. Baginda pernah memerangi kaum Yahudi suku qainuqa dan menghalau mereka kerana mereka telah melakukan pengkhianatan, memungkiri perjanjian, dan menggangu seorang wanita di pasar sehingga terselak tudungnya. Bahkan di dalam khutbah terakhir Baginda sebelum wafat pun, Baginda ada berpesan dan berwasiat supaya kaum wanita dijaga dan dilindungi.

Selain itu, salah seorang isteri Nabi Muhammad S.A.W yang bernama Aisyah telah menjadi salah seorang sumber primer ilmu dan hukum kerana dalamnya ilmu yang diwariskan oleh Baginda kepadanya. Seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang bernama Atha’ R.A pernah memberikan kredit tentang Aisyah R.A. dengan katanya, “Aisyah adalah orang yang faqih, paling tahu tentang sesuatu, dan paling baik dalam memberikan pendapat”.

7. Dicintai bukan dipuja.

Sanjungan yang diberikan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah semata-mata kerana cinta. Orang Islam meneladani Nabi Muhammad S.A.W kerana perintah-perintah Allah:

• “Jika kamu benar-benar mencitai Allah, maka ikutilah aku (Nabi Muhammad). Nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”, [Surah Ali Imran ayat 31]

• Seseorang pernah kepada Nabi Muhammad S.A.W tarikh berlakunya kiamat, tetapi dibalas dengan Bagind dengan soalan, apa yang telah orang itu persiapkan bagi menghadapinya. Orang tadi menjawab, “Saya tidak banyak amalan, tetapi saya sangat-sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya”. Sebagai balasan, Nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Jika begitu, kamu akan bersama dengan orang kamu cintai (di akhirat nanti)” [Hadis Riwayat Bukhari]

• Habib Ali Zainal Abidin pernah berkata bahawa kisah dan hadis di atas merupakan hadis yang paling disukai dan paling mengembirakan para Sahabat kerana mereka optimis mahu bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W lagi.

8. Nabi Muhammad berjasa kepada ketamadunan.

Islam adalah agama ilmu. Ayat al-Quran pertama yang disampaikan kepada Baginda adalah sebuah seruan untuk membaca. Ini dikuatan dengan beberapa perintah daripada Allah S.W.T kepada manusia supaya berfikir dan membuat kajian. Semua ini membawa maksud yang sama, iaitu supaya kita belajar.

Pada zaman Baginda, salah satu syarat yang ditetapkan oleh Baginda kepada tawanan-tawanan perang untuk dibebaskan adalah dengan mengajar anak-anak orang Islam menulis dan membaca. Legasi keilmuan ini diteruskan oleh khalifah-khalifah selepas Baginda. Contohnya semasa zaman khalifah Umayyah, Damascus telah menjadi pusat ilmu. Ramai sarjana-sarjana agung dilahirkan.

Begitu juga apa yang berlaku di Baghdad semasa pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah. Ketika Eropah berada dalam zaman kegelapan (the dark age) dari tahun 476 hingga sekitar tahun 800, orang-orang Islam telah membukukan kajian-kajian dan penemuan-penemuan mereka. Buku-buku mereka ini dikongsikan bersama dengan ‘pendatang’ dari Barat, kemudiannya dikaji dan dikembangkan lagi oleh mereka.

9. Penutup.

Kekaguman dan penghormatan orang Islam kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah semata-mata kerana rasa terhutang budi kepada Baginda. Nabi Muhammad S.A.W tidak diutuskan untuk menjadi rahmat (blessing) hanya kepada orang Islam sahaja, sebaliknya kepada seluruh alam.

Obsesi umat Islam kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah kerana agama dan bukannya kerana pengaruh bangsa atau nasionalisma. Nabi Muhammad S.A.W juga adalah ikon perpaduan. Baginda telah membuktikan bahawa tiada kemuliaan di dalam ras, warna kulit, dan pecahan demografik, sebaliknya kemuliaan adalah hanya dengan jalan agama.

Islam mengajar banyak perkara, dan tiada satu pun yang buruk.

10. Glosari

• Hadis = kata-kata Nabi Muhammad.

• Sunnah = apa-apa yang Nabi Muhammad buat termasuklah kata-katanya, perbuatannya, apa yang dipersetujuinya, dan apa yang ditinggalkan olehnya.

• Khalifah = sistem pemerintahan Islam oleh seorang ketua dan dibantu oleh suatu majlis penasihat bernama syura‘.

• Sahabat nabi = orang-orang Islam yang sempat melihat dan berjumpa Nabi Muhammad S.A.W semasa Baginda masih hidup.

• Mukjizat = perkara ajaib seperti tangan Nabi Isa bertukar menjadi putih bercahaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s