Larangan Politikkan Agama, Agamakan Politik

Jangan salah faham. Politik atau siasah wujud di dalam Islam. Nabi Muhammad S.A.W juga adalah seorang ahli politik. Baginda adalah manusia yang versatil. Baginda menjadi ahli ekonomi, suami, bapa, guru, pemimpin, Imam, panglima perang, dan juga hamba kepada Allah.

[Trivia]: Allah S.W.T mengiktiraf Nabi S.A.W sebagai hamba-NYA melalui ayat pertama surah al-Isra’.

Bahkan Nabi S.A.W berhijrah ke Madinah juga kerana di Madinah lah Baginda mendapat mandat untuk memimpin.

Menariknya, tawaran untuk menjadi pemimpin pernah juga dibentangkan oleh bangsawan-bangsawan Arab Quraish, dengan syarat Baginda S.A.W perlu berhenti menyeru mereka kepada Tauhid.

Kata mereka, “Jika kamu (Muhammad) mahukan wanita, pasti kami akan memberimu siapa sahaja perempuan yang kamu mahu untuk kamu peristerikan. Jika kamu mahukan harta, kami akan berikan kepadamu harta sehingga kamu puas, dan jika kamu mahukan kekuasaan, kami akan melantik kamu sebagai ketua”

Tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Baginda S.A.W.

“Sekalipun diberikan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, pasti aku masih tidak akan melepaskan dakwahku, hinggalah sama ada nanti Allah S.W.T akan memenangkan agama ini, atau aku akan mati bersamanya”.

Jika di Mekah, Baginda S.A.W menolak tawaran itu mentah-mentah, mengapa apabila tawaran yang sama dikemukakan oleh penduduk Madinah, Baginda S.A.W menyambutnya dengan tangan yang terbuka.

Jawapannya adalah prinsip. Islam adalah agama yang memimpin, bukan dipimpin.

Justeru, ada benarnya klaim-klaim supaya kita tidak mempolitikkan agama, lebih-lebih lagi dalam kerangka politik di negara kita. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan, sudah tentu model negara Islam bagi Malaysia, tidak serupa seperti negara-negara Islam yang lain.

Islam ialah agama dan politik dalam masa yang sama. Memisahkan salah satu daripadanya akan mendatangkan masalah sebagaimana yang pernah berlaku di dalam kantung sejarah.

Agama Kristian.

Agama Kristian muncul atas faktor politik. Jesus (juga dipanggil Jesus of Nazareth, kerana baginda lahir di suatu tempat bernama Nazareth di Galilee, Israel) menyedari akan wujudnya penyelewengan, korupsi dan pemalsuan ajaran daripada para rabi Yahudi, lantas berusaha untuk melawan penyelewengan tersebut.

Dari sisi kita (Muslim), Jesus adalah Nabi Isa A.S, dan Baginda disokong oleh golongan hawariyyun atau 12 orang anak murid terdekat dan utama.

Perjuangan Jesus membasmi penyeleweng dan korupsi pendeta Yahudi, mendatangkan kebimbangan pemerintah pada masa itu. Lebih-lebih lagi, Jesus memiliki kesaktian (mukjizat) yang menyebabkan sokongan dan bilangan pengikut beliau bertambah. Takut dan bimbang dengan pengaruh politik Jesus, akhirnya penduduk, baron serta golongan bangsawan di Jerusalem merangka pelan jahat, menangkap dan membunuh Jesus.

Meskipun mati disalib, Jesus tetap dilihat sebagai mesiah (penyelamat) dan wira. Ajaran Jesus pada awalnya hanya tersebar dari mulut ke mulut sehinggalah Raja Rom ketika itu, Constantine The Great mengisytiharkan dirinya secara rasmi sebagai seorang Kristian lalu berpusu-pusulah rakyatnya menganut agama Kristian.

Kemunculan Syiah.

Syiah merupakan fahaman yang dipegang oleh sekitar 10% daripada penganut agama Islam di seluruh dunia.

Syiah dinisbahkan kepada golongan yang memuja ahlu bayt (ahli keluarga Nabi S.A.W), mengkafirkan ramai sahabat Baginda, dan menolak kepimpinan khulafa Ar Rasyidin selain Saidina Ali R.A.

Mereka jugalah dalang kepada perang saudara di antara Saidina Ali R.A dengan Saidina Muawiyah R.A, bertitik tolak daripada perbezaan pandangan dalam soal politik (satu pihak mahu supaya pembunuh Saidina Uthman R.A diburu dan dibalas, satu pihak lagi tidak).

Pengaruh Syiah juga menjadi semakin kuat selepas kematian Saidina Hussein R.A di Karbala. Di sini wujud dua naratif dengan motif yang paradoks. Ada sumber menyatakan bahawa cucu Nabi Muhammad S.A.W dibunuh oleh Yazid Bin Muawiyah (khalifah yang sah daripada khalifah Bani Umayyah). Ini adalah naratif yang dicipta oleh orang syiah sendiri untuk menimbulkan kebencian kepada khalifah Bani Umayyah, sekalipun tiada bukti yang boleh membawa kepada penglibatan Yazid dan Bani Umayyah.

Satu lagi naratif adalah, Saidina Hussein R.A telah dikhianati oleh penduduk Iraq (syiah) dan dibunuh di sana dan inilah yang disepakati oleh majoriti ahli sejarah dan ulama ASWJ.

Namun begitu, kita tidak boleh terburu-buru menghukum semua penduduk Iraq (pada zaman itu) sebagai Syiah kerana walaupun ramai di antara mereka tidak meredhai dan tertekan dengan pemerintahan khalifah Bani Umayyah, mereka masih ASWJ dari sudut akidah dan tidak berlepas diri daripada kekhalifahan. Sahabat dan pelayan Nabi S.A.W, Anas Bin Malik R.A juga mendiami Baghdad, begitu juga dengan penghulu para tabien Imam Hassan Bin Basri.

Mungkin di sinilah datangnya hikmah mengapa manusia kejam seperti Hajjaj Bin Yusuf as-Saqafi dilantik menjadi gabenor di Baghdad. Walaupun beliau keji dan kejam, beliau berjaya menyekat penularan fahaman Syiah dan mengelakkan fitnah yang lebih besar pada zaman itu.

Syiah hanya menjadi pegangan rasmi semasa pemerintahan dinasti Safavid pada abad ke-15. Mereka menakluk Parsi (Iran) dan menyebar luaskan fahaman syiah sebagai suatu instrumen untuk menyaingi pengaruh kerajaan Turki Uthmaniyah dari sebelah barat dan empayar Islam Mughal di sebelah Timur India.

Kesimpulan.

Saya jarang bersetuju dengan ustaz-ustaz Parti AMANAH, tetapi jika ada pihak yang menyuruh supaya kita tidak menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan politik, maka saya akan bersetuju dengan orang itu.

Perbezaan politik perlu dilihat sebagai perbezaan politik, bukannya perbezaan akidah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s