Bukan Agama Sahaja Candu

Walaupun sudah bertahun-tahun saya tidak ‘keluar’ Tabligh, namun banyak kenangan dan cerita tentang tabligh yang saya masih ingat. Saya ingat lagi, saya pernah ‘keluar’ di suatu tempat bersama-sama beberapa anggota jemaah tabligh yang lain.

Salah seorang anggota jemaah kami ialah seorang pemuda di awal usia 30-an. Perwatakannya sangat lemah lembut, sentiasa tersenyum dan halus tutur katanya. Kalau berbual dengannya, pasti lidahnya akan selalu memuji dan berzikir kepada Allah.

Setengah jam sebelum masuk waktu solat, dia sudah siap berwuduk dan berzikir di dalam barisan saf. Adakalanya, dia akan membaca al-Quran. Solat malamnya juga hebat. Senang kata, memang susah jika mahu menandinginya dalam amal soleh.

Cuma setiap kali selepas selesai makan, dia pasti akan ‘menghilangkan diri’. Rupa-rupanya, dia akan mencari tempat tersorok yang jauh daripada pandangan orang untuk menghisap rokok. Suatu ketika, tanpa sengaja dia ‘terkantoi’ dengan saya. Saya buat-buat biasa sahajalah kerana pada saya, hisap rokok bukanlah suatu jenayah yang berat apatah lagi dosa besar.

Tetapi ternyata dia malu besar. Saya ingat kata-katanya, “Saya bukannya tak cuba nak berhenti, tapi tak itulah, belum mampu lagi”.

Ini membuatkan saya teringat kepada sebuah peristiwa yang berlaku di zaman Nabi S.A.W tentang seorang lelaki yang kerjanya mencuri. Suatu hari, lelaki itu menggali kubur seorang jenazah wanita untuk mencuri kain kapannya. Tiba-tiba, nafsunya telah menguasai diri, lalu dia pun menyetubuhi mayat wanita yang baru dikebumikan pada siang hari tadi. Baru sahaja mahu mengangkat kaki, mayat wanita tadi menyumpahnya, “Wahai lelaki, engkau telah meninggalkan aku dalam keadaan junub di hadapan Allah!”

Nabi S.A.W sampai bercucuran air mata, mendengar pengakuan pemuda ini. Tetapi di dalam hadis, pemuda tadi mendapat berita gembira tentang keampunan daripada Allah kerana kesungguhan taubatnya.

Tidak ada orang yang terlalu jahat,
Sebagaimana kita juga tidaklah (terlalu) baik.

Ada sebuah pepatah inggeris yang berbunyi, skeleton in the closet, iaitu setiap orang mempunyai rahsia yang mengaibkan yang kita tak mahu orang lain tahu dan kalau ada orang tahu, akan mencalarkan maruah kita.

Saya juga percaya setiap orang sedang bertarung dengan diri sendiri (fighting our own war). Ada bermacam-macam bentuk ketagihan di dalam dunia. Merokok adalah salah satunya.

Masalahnya, kita hanya menyasarkan kepada rokok dan tudung. Ketagihan kepada bahan pornografi, onani, main game, weed, serta ketagih untuk shopping online, adalah beberapa contoh.

Ketagihan tidak dapat diubati hanya dengan pengetahuan. Tahu merokok itu merbahaya tidak membuatkan kita meninggalkannya. Sebaliknya, kita cuba untuk mengawal risikonya dengan penggunaan rokok eletronik dan vape.

Tahu ia haram juga tidak membantu kita menjauhinya. Sebaliknya, kita akan mengubah sandaran hukum kepada yang paling ringan iaitu makhruh walaupun pendangan itu lemah, terasing, dan terpencil. Mengaku sahajalah, kita memang begitu.

Hendak meninggalkan ketagihan, memerlukan lebih daripada ilmu, iaitu dengan cara mengekang nafsu.

Nafsu manusia ada 3 peringkat (sesetengah ulama menggariskan lebih)

1- Nafsu Mutmain’nah.

Nafsu yang sentiasa mengajak kepada kebaikan.

2- Nafsu Lawammah.

Kadang-kadang terbuat jahat dan selepas itu, mulalah menyesal.

3. Nafsu Amarah.

Sentiasa ingin melakukan benda jahat dan apabila terbuat benda jahat, sedikit pun tak ada kesal dan bersalah.

Kebanyakan daripada kita stuck pada tahap kedua dan ketiga. Sama ada kita menyesal selepas berbuat dosa, atau memang kita tak merasa apa-apa selepas bermaksiat.

Beberapa hari ini, banyak pula timbul iklan-iklan dan poster-poster yang menyindir perokok. Antara yang paling baharu dan paling banyak ‘share’ adalah poster ‘boikot rokok kerana tiada sijil halal dan bukan produk Muslim’.

Saya tak tahu apa bezanya antara poster kali ini dengan poster-poster lain yang membawa mesej serupa. Iklan berhenti merokok bukan hanya disiarkan semalam, tetapi sudah puluhan tahun namun tidak pernah berjaya mencapai perubahan yang drastik.

Saya mungkin boleh menggali beberapa sebab mengapa orang masih merokok. Namun, saya hanya akan menulisnya dalam artikel khas lain.

Kali ini, saya cuma mahu menegaskan bahawa di dunia ini, tiada sesiapa pun yang suci daripada dosa, maksiat dan ketagihan. Yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang sedar dan berusaha untuk keluar daripada perangkap dosa dan ketagihan mereka.

Mereka sentiasa berada di dalam situasi perang. Ada ketika menang, tetapi dalam banyak situasi, kalah dengan pujukan nafsu. Mereka tidak pernah putus asa dengan rahmat Allah. Mereka tahu, Allah tidak melupakan jauh sekali mengabaikan mereka.

Cuma kita sahajalah yang melupa, mengabaikan dan terlalu menghukum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s