Bujang Atau Bernikah

Tak lama dahulu, saya ada bersembang dengan seorang sahabat ni pasal perkahwinan. Memandangkan dia bakal melansungkan pernikahan dengan gadis pilihannya tak lama lagi, maka saya kongsikan dengannya beberapa perkara daripada pengalaman peribadi.

Sejujurnya, nikah itu best, salah satu nikmat terbesar di dunia. Nabi Adam A.S yang sudah berad di dalam syurga pun masih merasa sunyi dan bosan tanpa teman. Kerana itulah Baginda meminta untuk diberikan Hawa.

Banyak isu yang sentiasa evergreen dalam alam pernikahan. Antaranya ialah soal calon, wang hantaran, majlis pernikahan, tinggal bersama, PJJ dan beberapa isu serpihan yang lain.

Saya sebenarnya bukanlah orang yang paling tepat untuk memberi nasihat rumah tanggga. Orang yang paling tepat tentulah kaunselor bertauliah. Cuma ada beberapa perkara yang kita perlu beri perhatian.

1. Cinta

Saya adalah seorang konservatif. Seperti orang dulu-dulu, saya percaya dengan bercinta selepas nikah. Boleh baca lebih di sini. Cinta itu seperti warna-warni pada sayap rama-rama. Keunikan corak dan keindahan warnanya adalah untuk kita pandang, tetapi sekali kita cuba memegang sayapnya, sayap itu akan hancur. Keindahannya akan tercemar, kecantikannya akan luntur.

Sebab itulah kalau betul sayang, nikah. Bukan tunggu, bukan pendam.

2. Hantaran kahwin

Saya perhatikan ini adalah penghalang terbesar antara pasangan bercinta dengan gerbang perkahwinan. Hantaran setinggi RM 15,000 adalah suatu yang tidak masuk akal. Isu hantaran ini bukan hanya hari ini diperkatakan. Sudah lama orang merungut, tetapi nilainya tidak pernah susut bahkan meningkat.

Adakah saya tidak bersetuju dengan wang hantaran?

Malangnya, saya bersetuju. Meletakkan nilai yang tinggi adalah hak individu selagi mana kadarnya masih munasabah. Di sinilah perlu ada hikmah, diplomasi, perbincangan, dan toleransi. Jika pihak lelaki pun bekerja dengan gaji minimum atau berada dalam kategori miskin bandar, maka di mana hati perut kita jika kita meminta wang hantaran melebihi RM 5,000 ?

Antara salah faham tentang wang hantaran adalah, wang itu nanti akan digunakan untuk walimah seperti menempah dewan, katering, jurufoto, busana pengantin, cendera hati, dan lain-lain. Padahal itu bukan sebahagian daripada tanggungjawab pengantin lelaki. Wang hantaran itu seharusnya dilebur kepada hal-hal yang lebih mustahak seperti rumah untuk tinggal berdua dan simpanan selepas berkahwin.

Sebaliknya, jika kita sebagai ibu bapa tidak mampu untuk mengajurkan kenduri dan majlis yang gilang gemilang, cukuplah jika kita bersederhana. Bayangkan jutawan seperti Saidina Abdul Rahman Bin Auf R.A itu pun Nabi S.A.W hanya menyuruhnya untuk membuat kenduri dengan menyembelih (sekurang-kurangnya) seekor kambing.

Kita ini kambing mahu, lembu mahu, ayam pun mahu. Makannya cuma separuh pinggan, separuh lagi ke bakul sampah.

Konsep wang hantaran pada saya tidak lebih daripada cagaran daripada seseorang pemuda itu untuk menunjukkan komitmen, kesungguhan dan kemampuannya untuk memikul tugasan sebagai ketua keluarga. Bayangkan jika hanya untuk menabung pun dia belum bersedia, bagaimana dia boleh bersedia untuk memenuhkan keperluan isteri dan bakal anak-anaknya nanti.

Panjang lagi nak cerita, tapi kalau ada orang nak baca lagi pasal hantara ini, saya boleh tulis dalam artikel lain.

3. Keluarga Mertua

Kita perlu ingat bahawa kita tidak hanya berkahwin dengan pasangan kita, tetapi juga dengan keluarganya. Ini adalah salah satu sebab mengapa Nabi S.A.W amat menitik beratkan soal nasab. Antaranya supaya tidak timbul masalah kekeluargaan selepas pernikahan.

Penting juga bagi kita untuk mengambil kira faktor tinggal bersama. Adalah penting bagi pasangan yang berkahw untuk tidak tinggal bersama ibu bapanya lagi kerana ia akan memberi banyak masalah di dalam komunikasi dan bakal mempengaruhi setiap keputusan yang kita buat di dalam hidup. Kita mudah bias dan tidak adil. Namun begitu dalam beberapa situasi, tinggal bersama adalah lebih baik seperti jika ibu dan bapa kita sakit atau sebatang kara.

4. Isteri bekerjaya atau isteri tidak bekerja

Ini pun isu yang besar dan bukannya ranting. Namun secara ringkasnya, ia adalah pilihan individu dan ada kesan baik dan buruk (pro and cons). Bagi yang bekerja pula, perlu diperhatkan adakah dia bekerja dalam sektor awam atau dalam sektor swasta. Apakah risiko-risikonya pula. Jika bekerja dalam sektor awam, instrumen-instrumen seperti pinjaman bank bagi penjawat awam dan kemudahan perubatan di hospital kerajaan juga patut diambil kira.

Jika tidak bekerja pula, kita perlu mengambil kira faktor pendapatan isi rumah. Jika hanya suami yang menjadi ‘breadwinner‘ dalam keluarga, apakah gajinya mencukupi untuk perbelajaan bersama.

Yang lebih penting, simpanan tabung kecemasan dan bencana wajib ada. Kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Bayangkan (nauzubillah) jika suatu hari, kita ditimpa kemalangan, hilang keupayaan motor, atau hilang pekerjaan. Adakah nanti isteri dan anak-anak kita perlu mengetuk pintu jiran-jiran untuk mendapatkan makanan.

5. Faktor perhubungan jarak jauh (PJJ)

Minta maaf saya cakap; lelaki yang melayari perkahwinan dengan niat mahu ‘meninggalkan’ isterinya, mereka bukan suami yang terbaik. Mungkin dia penyayang dan bertanggungjawab tetapi dia bukanlah lelaki terbaik.

Kasihan isteri yang ditinggalkan untuk menjaga anak-anak sendirian. Memanglah dia tinggalkan wang saku, kereta dan rumah, namun seorang isteri dan anak memerlukan lebih daripada itu. Apa akan terjadi sekiranya isteri ditimpa kecelakaaan, seperti pengsan di dalam bilik air. Siapa yang boleh menjamin keselamatan anak anda yang masih bayi. Bagaimana juga dalam situasi ibu dan anak sama-sama sakit, lalu siapa yang boleh diharap untuk membawa mereka ke klinik. Paling menakutkan, jika isteri sedang sarat mengandung dan perlu segera dikejarkan ke hospital.

Selain itu, faktor keselamatan seperti pencuri, perompak dan penyamun bersenjata juga merupakan suatu yang menakutkan. Penjahat juga pandai. Mereka hanya akan target mangsa-mangsa yang mudah dan terdedah (vulnerable). Antaranya ialah ibu yang tinggal bersendirian.

Bagi lelaki pula, jika anda mampu untuk mencari pekerjaan lain, maka usahakanlah. Mungkin kita akan dapati gaji kita kurang, tetapi setidak-tidaknya kita tak akan berputih mata. Percayalah, dapat melihat anak membesar di depan mata adalah suatu nikmat yang besar dan bukan semua orang berpeluang menyaksiannya.

6. Minat yang bebeza

Perbezaan minat boleh menjadi halangan untuk kita mencapai kesepakatan. Sebagai contoh, suami meminati sukan lasak, isteri pula suka melancong. Nak buat dua-dua, perlu kepada sumber ekonomi yang kukuh dan perancangan yang rapi. Justeru, perlu wujud perbincangan dalam keadaan yang harmoni, siapa yang perlu beralah dan siapa yang perlu berpada-pada. Tolak ansur ini sangat penting. Terlalu banyak mengalah juga boleh merosakkan hati. Kekecewaan jika dipendam terlalu lama, bakal merosakkan perhubungan.

Suatu perkara yang perlu diingat, bahawa kita semua perlu menyimpan kehidupan bujang kita ke dalam almari kenangan. Jika dahulu kita kerap melepak dan keluar malam, kini tidak lagi. Setiap orang perlu memberi komitmen kepada perkahwinan. Kita perlu korbankan beberapa perkara yang remeh temeh, untuk mencapai sesuatu yang lebih besar di dalam hidup.

Kesimpulan.

Pernikahan adalah ibadah. Kita boleh memiliki seribu apa pun alasan untuk berkahwin. Ada yang mahu untuk ‘menghalalkan’ zina, menambah jaringan politik, mengembangkan harta dan lain-lain sebab. Tetapi jangan sesekal kita berhenti berusaha untuk mencapai 3 perkara ini, iaitu rahmah, sakinah, dan mawaddah.

Rahmat adalah sumber yang mencukupi dalam hidup. Sakinah, ketenangan jiwa dan fikiran manakala mawaddah pula ialah kasih sayang yang akan sentiasa mengalir ke muara syurga.

Untuk pengetahuan anda, saya berkahwin pada usia 24 tahun. Adakah saya mempunyai kekesalan?

Tunggu next article… Ha ha.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s