Perkara Yang Anda Perlu Tahu Jika Bekerja Syif Malam

Bayangkan jika hospital ditutup pada waktu malam atau tiada polis yang membuat rondaan selepas jam 9 malam. Sudah tentu banyak masalah akan timbul. Orang yang sakit akan meninggal dunia kerana tidak segera dirawat dan kegiatan jenayah pula akan berleluasa.

Oleh itu kita seharusnya berterima kasih kepada wira-wira tidak didendang yang sanggup bersengkang mata bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan harian kita.

Sebenarnya, berkerja pada syif malam bukanlah suatu perkara yang mudah. Ramai orang beranggapan berjaga sepanjang malam adalah perkara biasa walhal bekerja syif malam mempunyai banyak risiko kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat.

Bukan sekali dua kita membaca kisah doktor atau jururawat yang terlibat dalam kemalangan kerana terlalu penat selepas tamat syif kerja mereka. Lebih menyayat hati, ada yang menemui ajal.

Sesungguhnya, orang tidak nampak kepenatan dan kelesuan kita. Mereka yang tak pernah bekerja malam ini beranggapan, “Nanti balik rumah, tidurlah. Bukannya orang tak bagi dia tidur pun”.

Ah, tak semudah itu.

Lima tahun bekerja syif, saya rasa terpanggil untuk menafikan dakwaan simplistik dan sambil lewa sebegitu.

Allah S.W.T menciptakan malam untuk manusia berehat. Beberapa kali Allah S.W.T menyebutkan di dalam al-Quran bahawa malam diciptakan untuk manusia berehat, manakala siang untuk kita bekerja.

Sunnatullah ini sudah menjadi terbalik kepada orang yang bekerja syif. Tidak hairanlah jika mereka berdepan dengan banyak risiko dan masalah.

Profesor Matthew Walker daripada Universiti California pernah membuat kajian tentang apa yang akan berlaku kepada badan kita jika kita tidak tidur. Apa yang ditemui oleh beliau adalah amat menakutkan.

Boleh tonton video pendek dibawah.

Secara ringkasnya, kita akan terdedah kepada bermacam-macam jenis risiko penyakit yang merbahaya termasuklah kanser dan kegagalan organ. Bagi lelaki pula, tahap kesuburan mereka boleh merosot.

Kita perlu faham bahawa walaupun kita masih boleh tidur pada waktu siang, kualiti tidur kita tidak mampu menyamai kualiti tidur pada waktu malam. Tubuh kita akan menghasilkan hormon melatonin semasa tidur dan ia hanya akan dihasilkan sekiranya retina mata kita tidak menangkap sebarang cahaya atau jika persekitaran sekeliling kita gelap.

Hormon melatonin ini berperanan sebagai ajen anti oksidan dan juga berperanan untuk menguatkan sistem imuniti badan.

Selain itu, kesan kepada psikologi dan emosi orang yang bekerja syif malam adalah, kita cepat untuk marah. Ini bukan masalah besar jika kita masih bujang tetapi jika kita sudah bekeluarga, kita akan dapati bahawa kita mudah tersinggung dengan isteri dan anak-anak, terutamanya jika kita mahu tidur tetapi isteri kita mahu mengajak ke pasar, atau anak kita mahu mengajak kita bermain.

Sebab itulah jika kita sebagai isteri, kita seharusnya boleh meneka apakah keperluan utama suami kita ketika itu. Sekiranya mampu, bawalah anak-anak kita ke tempat lain seperti ke taman permainan atau ke pasaraya supaya suami anda boleh mendapat rehat yang sangat-sangat diperlukannya.

Sebagai seorang Muslim pula, salah satu cabaran terbesar kita jika bekerja malam adalah untuk menjaga solat fardu terutamanya solat fardu jumaat. Kita perlu membuat pelan dan merancang waktu tidur supaya kita boleh bangun untuk solat jumaat.

Ramai kawan saya yang mengadu tentang kesukaran mereka untuk bangun bagi menunaikan solat jumaat. Iyalah, tidur baru 3 atau 4 jam, sudah tentulah sukar untuk bangun kerana selepas 3 jam, tidur kita baru sahaja hendak memasuki tahap rapid eye movement (REM), iaitu tahap kerehatan yang paling optimum.

Ada segelintir kawan-kawan saya yang mencadangkan supaya jangan tidur sebelum daripada solat jumaat. Mereka akan melakukan aktiviti lain seperti bermain game. Memanglah mereka tidak telepas solat jumaat, tetapi badan mereka akan menjadi terlalu letih dan stress sehingga sukar untuk tidur. Akhirnya, hampir jam 3 petang baru terlena. Lepas tu jam 6.30 petang sudah perlu bangun untuk solat asar dan bersiap-siap untuk bekerja.

Itulah, orang yang tak pernah kerja malam ni memang tak akan faham.

Jika kita sering jatuh sakit pun, ada orang yang akan sinis dan berprasangka dengan kita. Konon-kononnya kita malas nak masuk kerja. Padahal badan kita meronta-ronta mahu berehat, cuma kita yang sering menafikannya kerana tuntutan kerja.

Sesungguhnya orang yang kerja syif ni tidak minta dihargai pun!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s