Perubatan Islam, alternatif atau scam?

Menghampiri wawasan 2020, tidak mustahil jika ramai antara kita yang skeptikal dan tidak percaya dengan perubatan Islam. Beberapa kali juga saya terbaca di Facebook, ada orang yang tidak teragak-agak menuduh perubatan Islam sebagai suatu bentuk ‘scam’ atau penipuan.

Bahkan ada soalan-soalan nakal yang diajukan, sebagai contoh, jika kita bacakan surah Yassin pada kolah masjid, adakah satu kolah itu akan menjadi air Yassin.

Pertama sekali, kita perlu tahu bahawa perubatan Islam adalah suatu yang pernah dilakukan di zaman Nabi S.A.W. Antara kisah yang mahsyur adalah ketika Nabi S.A.W menderita penyakit misteri akibat disihir oleh seorang lelaki Yahudi. Jibril A.S telah datang kepada Baginda S.A.W dan menceritakan tentang sihir tersebut. Jibril A.S mengajarkan kepada Baginda S.A.W surah al-Falaq dan surah an-Nas, lalu terurailah sihir tersebut.

Selain itu, terdapat juga kisah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim tentang sekumpulan sahabat Nabi S.A.W yang bermusafir di pinggir sebuah kampung. Malam itu, ketua kampung tersebut telah disengat oleh kala jengking dan menderita kesakitan yang amat sangat. Salah seorang sahabat Nabi S.A.W menawarkan diri untuk merawatnya dengan membacakan surah al-Fatihah sehingga sembuh. Sebagai balasan, ketua kampung itu telah menghadiahkan beberapa ekor kambing sebagai upah.

Dua peristiwa di atas menjadi bukti bahawa perubatan Islam itu wujud. Namun persoalannya sekarang, adakah perubatan Islam di zaman kita sekarang masih berada atas landasan wahyu?

Saya mengambil contoh daripada pengalaman sendiri. Semasa arwah ayah saya menderita penyakit strok yang menyebabkan beliau tidak sedar, ada segelintir tetamu-tetamu yang datang melawat membawa cerita-cerita yang kurang enak didengar oleh kami. Antaranya, ada yang mengatakan ayah kami ada membela atau memiliki ‘makhluk belaan’ yang diwarisi daripada nenek moyang kami.

Pernah juga ada orang yang menawarkan diri untuk mengadakan rawatan tradisional bagi membantu arwah ayah. Orang itu nampak ikhlas, baik, dan dikenali. Jadi ibu pun mengizinkan. Tiba hari yang dijanjikan, kami tertanya-tanya di mana perawat itu, tak datang-datang lagi. Selepas ditelefon, katanya tadi dia sudah datang. Rupa-rupanya dia telah menghantar “khadamnya”.

Aduh. Tertipu lagi kami.

Sebenarnya orang yang kononnya ‘sakti’ dan boleh nampak macam-macam ini sering kali membuat fitnah. Yang terbaru, dalam kes kematian pelatih UPM Allayarham Zulfarhan itu pun, bapa kepada salah seorang OKT lah yang menghasut dengan cara mendakwa Zulfarhan mencuri.

Secara peribadi, saya percaya dengan kepelbagaian disiplin di dalam ilmu perubatan termasuklah perubatan Islam. Ilmu manusia sebenarnya sangat terbatas, umpama air yang melekat saat kita mencelup jari kita di dalam lautan. Yang basah di jari kita itulah ilmu kita, sedangkan yang terbentang luas itu adalah ilmu Allah S.W.T.

Malangnya hari ini ramai manusia yang bongkak dan merasakan jawapan bagi setiap masalah ada pada sains sahaja.

Padahal sains itu pun Allah S.W.T yang cipta.

Allah S.W.T mengajar Nabi Adam A.S nama-nama setiap ciptaan-Nya. Dia juga yang mengajar Nabi Nuh A.S cara membuat kapal besar di puncak bukit, dan Dia jugalah yang mengajar Nabi Daud A.S membuat baju besi yang mantap dan kukuh.

Kita merasakan kita telah mencapai banyak kemajuan dengan sains, tetapi sehingga kini kita masih tidak mampu menjawab soalan bagaimana struktur mega seperti piramid dapat dibina pada zaman itu.

Artikel ini bertujuan membetulkan persepsi kita tentang perubatan Islam. Perubatan Islam adalah benar, tetapi persoalan adakah ia benar-benar dilakukan dengan benar, itu persoalan susulan yang perlu kita teliti.

Jika ragu-ragu, adalah lebih elok jika kita mengggunakan khidmat perawat yang diyakini seperti daripada pertubuhan yayasan darussyifa’.

Saya telah dua mendapatkan nasihat dan rawatan daripada seorang ustaz daripada darussyifa’. Saya dapati ustaz tersebut memang menggunakan ayat al-Quran dan bukannya jampi mentera. Bahan-bahan rawatan juga adalah barang yang biasa. Tidak ada pulut kuning, ayam jantan, atau kain hitam.

Saya akhiri artikel kali ini dengan sebuah kisah israiliyat yang saya pernah dengar suatu ketika dahulu semasa saya keluar tabligh, tentang Nabi Musa A.S. Satu keistimewaan Nabi Musa A.S yang kita tahu adalah, Baginda boleh bercakap secara langsung dengan Allah S.W.T.

Suatu hari, Nabi Musa A.S menderita sakit perut. Baginda mengadu kepada Allah S.W.T tentangnya lalu Allah S.W.T berfirman memerintahkan Baginda supaya memakan suatu jenis daun.

Nabi Musa A.S pun mencari daun tersebut dan dimakan. Serta merta sakit perut Baginda pun hilang. Beberapa masa berlalu, sakit itu pun kembali datang. Kali ini, Nabi Musa A.S terus mencari daun yang sama dan memakannya. Kali ini, tiada perubahan yang berlaku. Lalu Nabi Musa A.S pun mengadu kepada Allah, lalu Allah S.W.T menempelak, “Sesungguhnya bukan daun itu yang memberikanmu ketsembuhan tetapi Aku lah yang memberikanmu kesembuhan. Daun itu cuma asbab. Sedangkan Aku lah matlamat”

Seperti ‘daun’ itu, perubatan Islam juga sekadar asbab.

Namun bukanlah suatu kebijaksanaan bagi seorang hamba untuk meninggalkan asbab.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s