Memahami flight delay

Kelewatan penerbangan adalah suatu masalah yang perlu berikan perhatian. Banyak urusan yang terganggu jika jadual penerbangan sesebuah pesawat itu tertangguh. Walau bagaimanapun, penting bagi kita untuk mengetahui apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah penerbangan itu lewat dan tertangguh, supaya kita boleh bersikap rasional dan adil.

Ada banyak faktor utama yang menentukan ketepatan waktu penerbangan. Ada yang kita boleh dikawal tetapi ada juga yang tidak.

Faktor keselamatan.

Rata-rata kapal terbang penumpang yang beroperasi pada hari ini mengguna pakai sistem fly by wire (FBW). Sistem FBW ini adalah revolusi di dalam industri penerbangan yang menggantikan kaedah konvensional dan kawalan manual oleh juruterbang. FBW menggunakan beberapa set komputer dan mikrocip yang berfungsi serentak untuk mengawal pesawat.

Teknologi ini bukan sahaja memudahkan juruterbang tetapi juga jurutera. Sistem diagnosis yang reliable memudahkan tugas jurutera untuk mencari punca kerosakan dan membaikinya.

Saya pernah menulis di dalam artikel ini tentang aspek keselamatan. Jadi saya tidak berhajat untuk memanjangkan isi ini lagi.

Faktor krew penerbangan.

Setiap set krew penerbangan terdiri daripada seorang juruterbang (captain) dan pembantu juruterbang (first offficer atau F/O). Mereka berdua akan bertukar-tukar fungsi sebagai pilot flying (PF) dan pilot monitoring (PM). Ringkasnya, seorang mengemudi pesawat dan seorang lagi akan berfungsi untuk menyokong PF dan berperanan untuk mengawal komunikasi radio, flight management, dan menyemak senarai arahan sepanjang penerbangan (check list readings).

Oleh kerana mereka perlu memberikan tumpuan 100% kepada penerbangan, maka pihak berkuasa telah memperkenalkan suatu skim bernama Flight Time Limitation Scheme (FTL) bagi mengelakkan krew penerbangan daripada kepenatan kerana masa kerja mereka yang lama dan bagi memastikan mereka mendapat waktu rehat yang secukupnya. Perkara ini digariskan dalam ICAO annex 6, perenggan 4.2.10.

Setiap krew penerbangan memiliki flight duty period (FDP) bermula daripada tempoh mereka mendaftar masuk untuk tugasan (report for duty). Skim ini bertujuan untuk memastikan keselamatan sesebuah penerbangan tetapi masalah sering timbul apabila FDP bagi krew itu telah melebihi had yang sepatutnya (burst). Ini kerap terjadi dalam kes delayed flight sama ada kerana masalah teknikal, cuaca, clearance daripada air traffic controller (ATC), continuing flight dan lain-lain.

Jika ini berlaku, set krew yang sekarang sudah tidak boleh lagi mengemudi penerbangan. Mereka perlu digantikan dengan krew yang baharu.

Faktor cuaca.

Yang ini paling kerap berlaku. Jika cuaca terlalu buruk dan menyukarkan pesawat untuk melakukan pendaratan, maka mereka akan meminta untuk mendarat di lapangan terbang yang lain dahulu (divert to closest airport). Contohnya, jika cuaca buruk di KLIA, banyak pesawat yang akan dilencongkan ke Johor dan Pulau Pinang.

Begitu juga dengan fenomena letusan gunung berapi dan ribut petir. Abu dan asap daripada letusan volkano adalah sangat merbahaya. Biasanya ruang udara kawasan terjejas itu akan ditutup menyebabkan pesawat terpaksa dilencongkan melalui laluan yang lebih selamat dan ini juga berkemungkinan menyebabkan penerbangan menjadi lebih lama dan jauh.

Faktor aliran trafik dan ATC.

Dalam situasi lapangan terbang yang terlalu sibuk, kelewatan juga boleh berpunca daripada ATC. KLIA sebagai contoh, mempunyai tiga landasan yang paralel. Jika hanya satu landasan sahaja yang beroperasi, maka akan berlaku kesesakan aliran trafik. Pesawat yang mahu berlepas dan mendarat perlu mengambil giliran masing-masing.

Faktor Keselamatan.

Sebagai contoh, dalam insiden berprofil tinggi, ‘Tenerife Airport Disaster’. Ini adalah kemalangan udara yang paling buruk di dalam sejarah, melibat dua buah pesawat Jumbo Boeing 747 yang berlanggar di landasan dan mengakibatkan korban seramai 538 orang.

Kedua-dua pesawat itu sedang menuju ke Pulau Canary, Sepanyol. Namun, mereka diarahkan supaya mendarat ke Lapangan Terbang Tenerife kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Gran Canaria di Pulau Canary ditutup oleh pihak berkuasa Sepanyol kerana berlaku serangan bom daripada pihak pemisah.

Contoh lain adalah semasa India dan Pakistan ‘bergaduh’ beberapa bulan lepas, pihak berkuasa India telah menutup ruang udara milik mereka. Justeru, setiap penerbangan yang menyeberangi India perlu terbang di luar zon larangan, menyebabkan penerbangan menjadi lebih jauh dan lama.

Faktor-faktor lain.

Antaranya adalah apabila ada penumpang yang sudah ‘check-in’ bagasi, tetapi tidak jadi menaiki penerbangan. Beg-beg mereka yang dimasukkan ke dalam perut kargo perlu dikeluarkan semula. Ini juga bukan tugas yang mudah kerana petugas ramp perlu memeriksa satu per satu tag pada beg untuk memastikan beg yang betul dibawa keluar.

Selain itu, ada juga kes terpencil yang melibatkan penumpang seperti penumpang bertindak agresif, merokok dalam pesawat, membuat ugutan bom, dan lain-lain. Ada juga kes di mana penumpang membuang air besar di atas kerusi yang menyebabkan karpet pesawat terpaksa ditukar.

Kesimpulan.

Flight delay adalah perkara biasa di dalam industri penerbangan. Qatar Airways yang memenangi anugerah syarikat penerbangan terbaik dunia tahun 2019 pun memiliki rating OTP sebanyak 82.5 %, hanya 5% sahaja lebih baik berbanding rating OTP syarikat penerbangan nasional kita, MAS.

Namun, sebelum kita menyalahkan sesebuah pihak, kita wajar untuk bersikap rasional dan professional. Tiada siapa yang sengaja mahu melambat-lambatkan sesebuah penerbangan. Jadi tidak wajar untuk kita menghaburkan kemarahan kita atas sesuatu yang diluar kawalan kita.

Semua orang nak cepat sampai, tapi keselamatan adalah jauh lebih penting daripada itu. Dan lebih penting, kita tahu bahawa selain daripada faktor teknikal, ada banyak lagi faktor lain yang menjurus kepada flight delay. Justeru, tak adalah sikit-sikit kita nak menyalahkan “safety”.

Kesian kepada abang-abang dan kakak-kakak engineer kita. Seolah-olah mereka tidak menjalan tugas-tugas penyelenggaraan dengan baik pula.

2 thoughts on “Memahami flight delay

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s