Hajjaj dari Iraq, Kamal dari Turki.

Saya sebenarnya terkejut ada orang masih boleh percaya dengan cerita-cerita yang terlalu mengarut sehingga terbabas daripada logik.

Antaranya, lagenda kematian Mustafa Kamal Atartuk, pengasas Negara Turki moden. Baru minggu lepas saya menonton di Televisyen, seorang penceramah (ustaz) dengan yakinnya menceritakan bahawa Mustafa Kamal adalah ‘musuh Tuhan’. Dia diazab dengan bermacam-macam jenis siksaan sebelum mati.

Antaranya, dia menderita kepanasan sehingga meminta untuk direndam di dalam laut. Bukan itu saja, bomba juga terpaksa dipanggil untuk memandikan dan menyirami rumahnya supaya sejuk. Dia juga diazab dengan sebuah penyakit misteri yang menyebabkan dia menderita. Selepas mati pula, mayat beliau dikatakan tidak diterima bumi, hinggakan apabila mahu ditanam, ia akan melompat keluar dengan sendiri!

Begitu juga dengan kisah-kisah epik tentang Hajjaj Bin Yusuf As-Saqafi, seorang tabien dan gabenor di Baghdad, Iraq semasa pemerintahan khalifah Bani Umayyah.

Hajjaj dikatakan lahir tanpa lubang dubur. Satu pembedahan telah dilakukan untuk mewujudkan saluran itu. Hajjaj juga dikatakan tidak mahu meminum susu ibunya. Perkara itu menjadikan ahli keluarganya bingung sehingga ada cerita kononnya bapanya, Yusuf Bin Hakam telah didatangi syaitan di dalam mimpi.

Di dalam mimpi itu, syaitan menjelma sebagai seorang tabib yang menyuruhnya mendapatkan seekor anjing hitam dan ular hitam dan memberikan Hajjaj minum darah anjing dan ular tersebut. Yusuf Bin Hakam pun melakukan seperti apa yang dia mimpikan, dan beberapa hari selepas itu, barulah Hajjaj mahu meminum susu ibunya.

Hajjaj bin Yusuf adalah seorang jeneral, gabenor, dan ketua yang kejam. Puluhan ribu orang kehilangan nyawa kerana tangannya. Ramai anak yang menjadi yatim dan isteri yang menjadi janda kerana kekejamannya.

Bahkan, Abdullah Bin Zubair (anak kepada Zubair Bin al-Awwam R.A dan Asma’ Binti Abu Bakar R.A), juga mati dibunuh dan disalib olehnya dalam sebuah pertempuran di Mekah.

Masa tu umat Islam berpecah kepada dua kumpulan. Ada satu kelompok yang menolak keabsahan khilafah Bani Umayyah yang dipimpin oleh Khalifah Abdul Malik Bin Marwan yang berpusat di Damascus, Syria. Mereka ini telah berbait dan mengangkat Abdullah Bin Zubair sebagai khalifah di Hijaz (Mekah dan Madinah).

Hajjaj memimpin lebih daripada 2,000 orang tentera dari Syria menyerang Mekah menggunakan manjanik (catapult). Serangan dilakukan dengan bertali arus walaupun ketika itu, mereka sedang berada di dalam musim haji sehingga menyebabkan urusan ibadah para jemaah haji terganggu.

Diringkaskan cerita, Hajjaj Bin Yusuf berjaya mencapai kemenangan. Lantaran itu, dia diberikan jawatan sebagai gabenor di Baghdad. Dia juga pernah merampas harta-harta milik Saidina Anas Bin Malik R.A, sebelum Anas Bin Malik R.A menulis surat kepada khalifah, mengadu akan sikap Hajjaj. Setelah mendapat amaran daripada khalifah, barulah Hajjaj mulai melayan sahabat Nabi S.A.W ini dengan elok.

Pada saya, kedua-dua Hajjaj bin Yusuf dan Mustafa Kamal Atartuk ini menjadi mangsa naratif kebencian yang berlebihan. Ada sekelompok manusia yang membenci mereka atas faktor politik, lalu mengada-adakan cerita-cerita buruk yang melampau.

Mustafa Kamal Atartuk meninggal dunia kerana penyakit sirrosis hati (cirrhosis of the liver). Perlu diingat bahawa pada tahun 1938 (tahun beliau meninggal dunia), teknologi perubatan tidak sehebat sekarang. Diagnosis penyakit juga tidak sepantas dan setepat sekarang.

Tentang lagenda mayatnya tidak diterima bumi itu, saya rasa itu cuma suatu ‘millage politik‘ golongan Kemalis. Mustafa Kamal mati di usia muda iaitu 57 tahun. Beliau memerintah Turki lebih kurang 11 tahun sahaja. Ketika itu populariti ‘Bapa Turki moden’ ini masih terlalu besar. Rakyat Turki rata-ratanya masih menganggap beliau sebagai wira dan merasa terhutang budi dengannya kerana mengusir anasir luar daripada menjarah tanah air mereka.

Justeru, pihak kerajaan mahu menyediakan sebuah tempat istimewa buatnya. Malangnya, segala pelan dan pembinaannya belum dimulakan. Mayat Mustafa Kamal diawet dan disimpan di Muzium Etnografi Ankara dengan kawalan tentera bersenjata selama 15 tahun sebelum ditanam di makamnya (mousoleum Anitkabir) di Ankara pada tahun 1953.

Perihal Hajjaj Bin Yusuf pula, benar, dia seorang yang sangat kejam. Tetapi seperti Mustafa Kamal, mereka bertindak berdasarkan apa yang mereka fikir penting untuk survival politik rakyat, kaum, dan bangsa mereka.

Saya pun tak tahu Mustafa Kamal ini sebenarnya baik ataupun jahat. Banyak keputusan dan tindakannya yang kontroversi. Bahkan fahaman sekular dan ‘enam panah fahaman Kemalism’ (Six Arrow of Kemalism) yang diperkenalkan olehnya juga tidak selari dengan ajaran Islam yang sebenar.

[The Six Arrow of Kemalism]

Namun, sudah tentu kita tidak boleh membuat kesimpulan sendiri. Dengan faktor geografi negara Turki yang dihimpit oleh barbarian-barbarian Eropah dan berjiran pula dengan negara-negara Islam yang berdendam dengan mereka sejak dahulu, saya rasa tidak adil sekiranya kita menggunakan kaca mata kita, untuk merawat rabun orang lain.

Apa yang ideal bagi kita tidak semestinya ideal bagi orang lain.

Dalam situasi Hajjaj Bin Yusuf, ulama-ulama besar seperti Imam Hassan al-Basri pernah menjawab saat ditanya sah atau tidak solat yang diimamkan oleh Hajjaj Bin Yusuf kerana kejahatannya, lalu dijawab oleh Imam Hassan Bin Basri, “Solat kamu adalah untuk kamu, manakala kejahatan Hajjaj adalah untuk dirinya”.

Bahkan kerap kali beliau dan ulama-ulama besar lain berpesan agar bersabar.

“Sabarlah dengan Hajjaj, kerana dia adalah ujian daripada Allah buat kita”.

Hajjaj Bin Yusuf juga terkenal sebagai pembenci Saidina Ali kerana ketaksubannya terhadap Saidina Muawiyah dan keturunannya. Justeru tidak mustahil segala bentuk mitos, lagenda dan cerita-cerita yang tidak masuk akal itu direka oleh kelompok Syiah kerana Syiah sangat membenci Hajjaj Bin Yusuf.

Walaupun begitu, Hajjaj Bin Yusuf adalah seorang penghafaz dan pencinta al-Quran. Bahkan dialah orang yang mula-mula meletakkan baris dalam al-Quran.

Paradoks kan.

Namun, bukanlah niat saya mahu menyatakan siapa betul dan siapa salah. Bukan juga tujuan saya mahu menghukumi mereka. Sebaliknya, sebagaimana kita beriman dengan kisah-kisah ‘israliyat‘, begitulah seharusnya kita apabila membaca sejarah-sejarah orang yang sudah mati ini.

Berpada-padalah dalam ‘menyampaikan cerita’. Jika ada satu sahaja cerita yang tidak benar tentang orang yang sudah mati, bagaimana kita mahu meminta maaf kepada mereka?

Nak gali kubur mereka?

One thought on “Hajjaj dari Iraq, Kamal dari Turki.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s