Bolehkah CCTV camera dipasang di dalam kokpit?

Saya membaca banyak komen netizen berkenaan nahas udara pesawat Lion Air JT 610. Ramai yang menyatakan simpati dan mengirimkan titipan doa tetapi ramai juga yang berkata yang bukan-bukan. Tidak kurang, ada juga yang membawa teori dan prasangka yang tak berasas.

Namun begitu, saya tertarik kepada salah sebuah komen iaitu berkenaan dengan pemasangan kamera litar tertutup CCTV di dalam kokpit pesawat. Cadangan seorang pembaca Berita Harian Online tentang pemasangan CCTV ini telah mendapat komen balas yang pelbagai. Ada yang memandangnya sebagai suatu yang positif tetapi ramai yang menerimanya sebagai suatu yang tidak masuk akal. Termasuklah seorang pelajar kejuruteraan penerbangan di sebuah kolej milik MARA.

Komen beliau,

“Saya beri pensyarah-pensyarah saya baca komen ni. Gelak besar mereka. Lain kali sebelum komen, tingkatkan dahulu pengetahuan tentang dunia aviasi, OK?”

Saya tak tahu atas asas apakah seorang pelajar dan pensyarahnya ‘gelak besar’. Adakah idea CCTV ini terlalu ‘bodoh’ sehingga perlu ditertawakan. Mentertawakan seseorang kerana mereka tidak ‘educated’ seperti kita, adalah tindakan yang sangat tidak beretika. Lebih-lebih lagi apabila tindakan meremehkan orang itu disandarkan kepada orang-orang yang kerjanya menyampaikan maklumat, seperti guru, jurulatih dan pensyarah.

Sebenarnya, cadangan untuk memasang CCTV kepada pesawat komersial pernah dibentangkan oleh agensi National Transportation Safety Board (NTSB) kepada Federal Aviation Administration (FAA) pada tahun 2000. NTSB adalah sebuah agensi bebas di bawah kerajaan Amerika yang berfungsi untuk menyiasat sebarang kemalangan dan insiden yang melibatkan pesawat udara, manakala FAA pula adalah sebuah agensi di bawah kementerian pengangkutan Amerika Syarikat, yang berfungsi untuk mengawal selia operasi dan perundangan berkaitan penerbangan sivil.

Pihak NTSB telah membawa cadangan tersebut kerana hasil siasatan mereka terhadap insiden kemalangan pesawat EgyptAir penerbangan 990 pada tahun 1999, mereka dapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pembantu juruterbang (F/O) dalam mengelola pesawat, namun konklusi mereka telah disanggah oleh pihak berkuasa Mesir yang mana mereka berkeras bahawa kemalangan ini berpunca daripada masalah teknikal iaitu sheared rivet pada bahagian kawalan elevator. Nahas pesawat 990 ini melibatkan pesawat jenis Boeing 767-366 dan telah meragut 217 nyawa.

Disagreement pada dua hasil siasatan ini (pertama daripada NTSB, dan kedua dariapada CAA Egypt), menyebabkan NTSB menyarankan bahawa rakaman visual CCTV adalah sangat membantu di dalam proses siasatan.

Cadangan ini telah diberi perhatian serius oleh pihak FAA. Kajian telah dibuat melibatkan semua pihak. Akhirnya, pada tahun 2009, pihak FAA menolak cadangan ini kerana mendapat tentangan yang hebat daripada kumpulan juruterbang. Mereka mengangkat isu-isu berkaitan dengan aspek privasi dan kemungkinan untuk bukti rakaman visual itu disalah ertikan dan disalah guna (violate) di dalam dan luar mahkamah. Selain itu, mereka juga menegaskan bahawa rakaman visual akan menyebabkan konsentrasi mereka terganggu dan akan memberi kesan terhadap tindakan mereka.

Bahkan pihak FAA sendiri merasakan belum ada keperluan yang mendesak untuk rakaman visual dipasang di dalam pesawat komersial. Sudah tentu jugalah, pemain senior di dalam industri ini seperti Boeing lebih gembira jika sistem ini tidak dipasang kerana apabila sistem baharu diwajibkan, lebih banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh pembuat dan juga pembeli.

Justeru, jika ditanya kepada saya, adakah CCTV boleh dipasang di kokpit, maka jawabnya YA. Namun, jika ditanya adakah ia praktikal, maka jawab saya TIDAK.

Teknologi yang diguna pakai di dalam sebuah kapal terbang adalah teknologi yang menekankan faktor efficiency. Banyak sistem dan teknologi baru yang boleh diperkenalkan tetapi tidak semua benar-benar berada di pasaran kerana setiap teknologi yang dipasang, datang bersama-sama dengan extra weight dan extra work. Di dalam penerbangan, extra weight bermakna extra fuel, dan extra fuel bermakna extra loss!

Dan ya, pesawat komersial khususnya milik Boeing dan Airbus kini telah dilengkapi dengan sistem monitoring yang berasaskan ‘real-time event’. Bahkan sesetengah pesawat ada yang dilengkapi dengan peranti TAMDAR sensor bagi tujuan mengumpul data berkaitan cuaca (weather), disamping sistem ACARS yang mewujudkan pertukaran data dan maklumat di antara pesawat yang berada di udara dengan ground stations, seperti sistem Honeywell Sky Connect Tracker III yang dipasang pada helikopter dan ATSU pada pesawat Airbus.

Ini belum cerita pasal satellite navigation, weather radar detection system, TCAS system dan lain-lain. Belum juga kita bercerita tentang kesan peristiwa 11 September terhadap industri penerbangan dunia.

Untuk pengtehuan kita bersama, pada tahun 2015 lepas, pihak berkuasa Malaysia iaitu CAA Malaysia (dahulu dikenali sebagai DCA Malaysia) pernah membincangkan kemungkinan untuk perlunya ada rakaman visual CCTV di dalam kokpit.

Justeru, idea CCTV ini bukanlah sebuah idea yang bodoh dan bersifat ‘mat jenin’ yang layak untuk kita ‘gelak besar’. Maka, janganlah suka gelakkan orang lain kerana perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika tetapi juga bukan suatu akhlak yang baik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: