Operasi ‘cekup’ khalwat. Perlu atau tidak?

Seperti kebanyakan orang, saya juga terkejut dengan kenyataan YB Mujahid tentang isu khalwat. Pada saya, kenyataan ini keluar pada masa yang tidak sesuai dan terlalu terburu-buru.

Tidak salah jika saya katakan bahawa saya juga tidak bersetuju dengan ucapan beliau. Walau bagaimanapun keputusan dan pendirian beliau sentiasa boleh dicabar dengan hujah dan fakta. Namun begitu, saya tidak mahu menyalahkan beliau kerana apa yang beliau sebutkan itu masih ada asasnya.

Larangan mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain adalah larangan yang juga datang daripada agama. Cuma, dimana dan bagaimana kita mahu memposisikan diri kita di dalam hukum itu.

YB Mujahid di dalam kenyataannya ada menyebutkan,

“Sebagai contoh, pengambilan alkohol adalah satu kesalahan bagi seorang Muslim, tetapi jika anda melakukan perbuatan itu di dalam kawasan anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan,”

Beliau juga ada menyebutkan tentang morale policing dengan menafikan bahawa beliau dan agensi yang terlibat bertindak sebagai ‘polis moral’, sebaliknya di dalam temu ramah beliau dengan wartawan The Star, beliau dengan serius menyatakan bahawa setiap individu seharusnya mempunya standard moral yang tinggi serta mapan.

YB Dr Mujahid yang kita kenal, sejak dari hari pertama beliau memegang portfolio agama, beliau sentiasa segar dengan konsep rahmatan lil a’lamin yang beliau perjuangkan. Jika dahulu, kita pernah ada Islam Hadari diikuti oleh Islam Wasatiyyah, dan kini, Islam-Rahmatan Lil A’lamin.

Persamaan ketiga-tiga ‘jenama’ Islam diatas adalah, kesemuanya pernah dicabar, dikritik, diperlekeh dan dikaitkan dengan motif politik. Manakala perbezaannya pula hanyalah kerana kumpulan yang dahulunya mengkritik, kini sudah membentuk kem kerajaan.

Sesiapa pun yang berada di takhta, saya belum nampak perubahan yang terlalu signifikan. Yang pasti, cabarannya masih serupa. Cuma fokusnya sahaja nampak lebih kepada senaman ‘tai-ci’, menyalahkan kerajaan yang lama atas masalah-masalah yang tersisa.

Saya membaca kenyataan seorang kaunselor sekolah berkenaan isu zina dalam kalangan pelajar sekolah. Beliau menyimpulkan, yang masih menjadi thin barrier kepada zina (walaupun sudah tidak terkawal sekarang) adalah kerana adik-adik kita ini masih memiliki rasa cuak jika ditangkap penguatkuasa. Bayangkan jika wujud unspoken rules, bahawa dosa di belakang pintu adalah dosa privasi. Sudah tentu kita akan menyaksikan sebuah lagi ‘outbreak’ dalam kantung sosial.

Tidak salah jika saya mengingatkan bahawa pada sisi agama, zina dan khalwat adalah perbuatan dosa besar. Manakala dari sudut kenegaraan pula, ia adalah perbuatan yang melanggar rukun negara kelima- kesopanan dan kesusilaan.

Perlu diingatkan, YB Mujahid bukanlah budak-budak untuk kita sekolahkan. Bukan juga seekor tikus, akur dan tunduk sewenang-wenangnya kepada tuntutan Datuk Noor Farida daripada kumpulan ultra-liberal G25.

Sebagai seorang muslim, kita wajib menjalankan amar makruf nahi mungkar. Ajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Untuk melakukannya, kita perlu mengetuk salah satu daripada dua pintu. Mengetuk pintu bilik, atau mengetuk pintu hatinya.

Terlalu malang jika tiada satu pun kita buat kononnya bagi menjaga privasi, maruah, ketenteraman, dan bimbang dilabel sebagai polis moral.

Jika menghentikan operasi mencegah khalwat ini menjadi agenda masa hadapan, saya rasa saya akan bersetuju. Setidak-tidaknya, kita mempunyai masa untuk melaksanakan dakwah yang bersifat lebih khusus, centric, dan progresif.

Kita perlu membentuk sebuah unspoken rules yang semua orang akan faham dan abide, dan ia bermula dengan kempen dan iklan yang meluas di media massa, media sosial, dan media cetak.

Setakat hari ini, sejauh manakah platform media seperti akhbar, siaran televisyen, stesen radio, ASTRO, HyppTv, majalah, dan lain-lain membantu menyampaikan pesanan-pesanan dan peringatan-peringatan sebegini?

Hampir tiada. Siaran televisyen dan radio di sini seakan-akan ada garis dan tembok yang terlalu tinggi yang memisahkan mereka daripada tugasan menghibur dan tanggungjawab menegur.

Pada masa hadapan, serbuan khalwat ini mungkin mempunyai locus standi untuk ditamatkan. Mungkin YB Dr Mujahid melihat usaha ini sebagai langkah bagi memulihkan imej Islam sebagai agama yang bukan semata-mata bersifat menghukum.

Namun, buat masa sekarang, saya lebih cenderung kepada usaha untuk memperkemaskini dan menyemak semula SOP penguatkuasaan agama. Saya tidak mahu cerita-cerita kurang elok seperti penguat kuasa menceroboh rumah dan bilik hotel, memecahkan pintu, dan paling teruk, hinggakan ada suspek yang mati kerana terjatuh dari bangunan tinggi semata-mata mahu lari daripada dicekup.

On the side note, saya telah membaca dan cuba memahami pendapat Imam Al-Ghazali dan ulama-ulama rabbani kita yang lain berkenaan perbuatan mengintip pelaku maksiat. Kisah Saidina Umar R.A yang popular itu juga telah saya cuba perhalusi. Justeru, saya menyarankan seruan ‘nahi mungkar‘ ini dibuat dalam kapasiti seorang saudara dan bukannya seorang penguat kuasa.

Jika bercakap tentang mengukum, seorang anak kecil pun boleh menghukum. Cukup jika dia mampu membaca, dia boleh membaca apa yang tertulis dihadapannya. Tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu menimbulkan kesedaran dan mendatangkan perasaan gerun kepada Allah S.W.T supaya kita tidak memandang orang lain dengan mata yang bengis, tetapi dengan mata yang sarat dengan simpati.

Zaman ini, kekerasan lebih berkesan bagi menjauhkan manusia berbanding mendekatkan mereka kepada agama.

Akhir sekali, saya serahkan kepada para mufti untuk membuat keputusan dan fatwa. Pendapat-pendapat kita dan ahli politik ini terlalu bias, cetek, bersifat populis, dan mempunyai agenda lain, hinggakan kebenaran pun kita boleh niagakan.

Semoga Allah S.W.T menjaga keturunan kita daripada masalah sosial yang sedang meruncing ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: