Dakwah dalam marah, umpama membunuh orang yang hampir mati.

Seorang lelaki datang berjumpa Nabi S.A.W untuk meminta nasihat. Sebanyak 3 kali Baginda mengulang,

“Jangan marah!”

Marah adalah api. Jika dikawal, boleh memberi kebaikan. Sebaliknya jika tidak, boleh menghancurkan diri sendiri, keluarga, dan masyarakat.

Rasulullah S.A.W menyuruh kita supaya mengalihkan tumpuan kita daripada memikirkan perkara yang membuatkan kita marah. Dalam masa yang sama, Baginda juga meminta kita supaya berwuduk. Mudah-mudahan kedinginan air mampu meredakan kepanasan bara amarah.

Banyak masalah yang timbul di dunia ini berpunca dengan marah. Antaranya, peperangan, genocide, kemusnahan, pengusiran, pemerkosaan, dan bermacam-macam lagi jenayah antarabangsa.

Mengingatkan kita kepada nenek-moyang manusia, Qabil dan Habil. Berang kerana korbannya tidak diterima oleh Allah S.W.T, Qabil akhirnya nekad memukul saudaranya sehingga mati.

Selain daripada kemusnahan-kemusnahan besar, kemarahan juga akan menyebabkan kecederaan kepada hati dan jiwa manusia.

Betapa ramai anggota masyarakat yang menjadi benci, menyampah, dan tidak suka kepada agamawan yang bengis dan pemarah.

Saya pernah menegur sikap sesetengah ustaz yang suka menjerit, menyindir, dan melepaskan kemarahan di pentas ceramahnya. Dia memarahi orang yang meninggalkan solat, tetapi yang dimarahinya adalah ahli masjid, yang menjaga solatnya!

Lain yang disasarkan, lain pula yang menjadi mangsa.

Ini mengingatkan saya kepada kisah-kisah para sahabat radiallahuanhuma di dalam siri peperangan bersama Rasulullah S.A.W.

Ada seorang sahabat yang bergelut di dalam sebuah pertarungan satu lawan satu dengan musuh. Agak lama mereka berasakan, akhirnya sahabat R.A ini berjaya mengatasi lawannya. Dia berjaya menumbangkan lawannya. Ketika dia sudah sedia untuk mencantas leher musuh, mukanya telah diludah oleh musuh yang sudah tidak mampu melawan itu.

Lantas dia tidak jadi melepaskan ‘killer blow’. Sebaliknya musuh itu dilepaskan.

Perbuatan sahabat itu disaksikan oleh kaum muslimin yang lain. Lalu beliau ditanya, “Mengapa kamu tidak jadi membunuhnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi melawan?”

Jawab beliau, “Aku bimbang jika aku membunuhnya kerana marah dan dendam akibat diludah, dan bukannya kerana Allah S.W.T! Kerana itulah aku membiarkan dan melepaskannya”.

Dalam sebuah peperangan yang lain pula, seorang sahabat bernama Usamah Bin Zaid R.A telah bertembung dengan seorang musuh. Mereka bertempur dengan sengit. Akhirnya, musuh itu tumpas. Ketika Usamah R.A mengangkat pedangnya, lelaki itu lantas mengucapkan syahadah.

Namun begitu, Usamah R.A tetap membunuh lelaki itu. Hal ini disampaikan kepada Rasulullah S.A.W , lalu Baginda pun memanggil Usamah R.A untuk meminta penjelasan.

“Adakah engkau membunuhnya walaupun selepas dia mengucapkan syahadah?”, soal Rasullullah S.A.W.

“Lalu bagaimana yang engkau akan lakukan terhadap kalimah لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله kelak di hari kiamat?”, tambah Baginda lagi.

Usamah R.A membela diri, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia hanya mengucapkan ucapan itu semata-mata kerana mahu menyelamatkan dirinya sahaja”.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah engkau membelah dadanya untuk mengetahui isi hatinya? Sungguh, siapalah yang akan membelamu terhadap kalimah لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله kelak di hari kiamat?”

Mendengarkannya, Usamah R.A dirundum dengan rasa bersalah yang sangat berat hinggakan dia berharap sangat alangkah baiknya jika dia baru sahaja masuk Islam pada hari itu.

Wallahua’lam.

Hari ini, kita boleh lihat kemunculan ustaz-ustaz dan segelintir mufti yang menyulam nas-nas dan dalil agama bagi mempertahankan figur-figur politik dan menjatuhkan pihak yang tak sebulu dengan mereka.

Saya pernah memberikan kritikan kepada orang yang selektif dan bersikap kritikal dengan soal hijab.

Rasulullah S.A.W diutuskan dengan membawa dua berita. Berita baik dan berita buruk (peringatan).

Keghairahan kita menunding kepada kesalahan orang, dan membawa ancaman-ancaman azab, telah membuatkan kita menjadi manusia yang keras, ditakuti, ditolak, dan tidak diterima.

Semasa Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S menyampaikan dakwah kepada Firaun, Allah S.W.T menyuruh kedua-dua orang Rasul-Nya supaya bercakap dengan sopan dan lemah-lembut.

Padahal musuh yang mereka berhadapan itu bukan sekadar seorang monarki, tetapi juga seorang yang mengaku dirinya Tuhan!

Saya percaya kepada hukuman di dalam agama. Jika tidak, tak adalah saya nak sentuh dan tegaskan tentang hudud.

Undang-undang dan hukuman mungkin mampu menjadikan kita seperti Iran dan Arab Saudi, tetapi kasih sayang dan empati, akan menjadikan kita rahmatan lil a’lamin (rahmat bagi seluruh alam).

Ada garis halus di antara kemarahan dan ketegasan.

Bezakannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: