Perutusan khas buat orang sakit.

Aidiliftri tahun ini adalah yang paling sibuk buat kami adik beradik. Tetamu datang tidak putus-putus dari pagi ke malam. Semua orang datang mahu menziarahi ayahanda kami yang terlantar sakit sejak hujung tahun lepas lagi.

Serangan stroke yang mengejut telah meragut kewarasannya. Kawalannya keatas anggota badannya juga sudah tiada. Yang masih setia hanyalah jantung yang menyerap oksigen dan hati yang mengepam darah. Hendak makan pun tiada upaya apatah lagi hendak mencuci najis sendiri.

Bercakap soal menziarahi orang sakit ini, saya teringat kepada Saidina Abu Bakar R.A ketika Rasulullah S.A.W bertanya kepada para sahabat Baginda di suatu pagi yang tenang.

Siapa yang telah melakukan itu dan ini.

Ternyata Abu Bakar R.A melangkau para sahabat yang lain di dalam beramal kerana sejak awal pagi lagi, semua amalan yang ditanyakan oleh Rasulullah S.A.W, telah beliau lakukan kesemuanya. Salah satunya adalah menziarahi orang yang sakit.

Sejak ayahanda sakit, saya perasan yang bonda sangat gembira menerima kunjungan rakan-rakan yang datang berziarah. Mampu berbual, berbicara, dan meluahkan perasaan kepada rakan-rakannya adalah suatu yang sangat bermakna kepada bonda. Boleh dilihat seri yang terukir tanpa paksa, dan boleh diperhati semangat yang datang tanpa diminta.

Kerana itulah Baginda S.A.W sangat-sangat menggalakkan kita untuk menziarahi orang sakit. Bahkan dijadikan pula sebagai sebuah wasiat untuk kita amalkan.

Malang sekali, dalam kita memegang sunnah berziarah orang sakit, kita tidak menggenggamnya betul-betul hingga terlepas pahala yang sepatutnya kita dapat itu.

Antaranya;

  1. Cakapkan perkara yang baik-baik sahaja. Kalau ada perkara yang ‘tidak baik’, sekali pun benar, maka elok jangan disebut di hadapan pesakit atau warisnya. Contohnya, “Saya ada sepupu yang sakit macam inilah. Tak lama, dalam 3 bulan lepas tu, dia pun meninggal dunia”.
  2. Tenangkan emosi pesakit dan waris. Jangan hanya mengingatkan mereka tentang ‘sabar’ kerana mereka lebih faham sabar berbanding kita. Sebaliknya ingatkan mereka tentang pahala, penghapusan dosa, dan juga syurga yang dijanjikan buat orang yang mampu bersabar dan tabah.
  3. Bersangka baik dengan pesakit dan waris. Jika ada keluhan yang terbit daripada lidah mereka, bukanlah bermakna mereka putus asa, lemah, lembik, dan menyalahkan takdir. Sebaliknya mereka cuma manusia biasa yang seperti cawan yang jika sentiasa dituang dengan air, akhirnya sesekali akan melimpah juga.
  4. Mudahkan keluarga pesakit. Jika membawa bersama anak kecil, maka jaga, kawal, dan perhatikan gelagat mereka. Bukan sedikit ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka bermaharajalela di rumah tetamu hingga merosakkan suasana, hanya kerana alasan, “dia masih budak lagi”.
  5. Tidak menyusahkan tuan rumah dengan urusan kita seperti makan, minum, tandas, dan lain-lain.
  6. Jangan terlalu lama di rumah mereka kerana mereka mungkin perlukan masa untuk berbuat sesuatu atau berehat.
  7. Bantu pesakit dan waris. Jika pesakit tak larat hendak membersihkan rumah, maka kitalah tolong sapukan dan buangkan sampah.
  8. Dan lain-lain.

Saya tahu, kerana sakit, kita telah ‘menyusahkan’ ramai orang. Ibu, ayah, suami, isteri, anak-anak, rakan-rakan, dan juga majikan kita.

Hingga sampai kepada suatu saat, kita rasakan yang kita ini liabiliti. Kita hanya menyusahkan orang lain, lebih baik tidak ada, dan macam-macam lagi lintasan hati yang tidak elok.

Sejujurnya, saya tidak boleh berkata ‘saya faham derita awak’, kerana orang yang menanggung dengan orang yang memerhati, sesekali tidak akan sama.

Orang boleh berkata macam-macam.

Boleh mencadangkan itu-ini.

Boleh berkata ‘kenapa tak buat begitu tetapi buat begini’.

Boleh menyenaraikan sejuta ubat-ubatan, teori, herba, suplimen, dan rawatan.

Tapi tiada seorang pun yang boleh masuk ke dalam hati, merasai sendiri, dan memahami dengan jelas segala yang samar-samar ini.

Yang pada akhirnya, hanya Allah S.W.T sebagai tempat bergantung harapan, tempat bersandar keletihan, tempat menapak maju, tempat melepaskan kekesalan, dan tempat merawat kekecewaan.

Mungkin anda terlalu biasa mendengar slogan, “mengadulah kepada Allah”,

Tetapi ayat itu ada sambungannya.

“…bukan hanya kerana Allah adalah Tuhan kepada kesakitan dan kesembuhan, tetapi kerana Dia juga adalah Tuhan yang akan menyambut hambaNya yang redha, dengan pelukan penuh kasih dan sayang”.

Redha mungkin bukan ubat yang akan menyembuhkan sakit kita, tapi redha lah yang akan membezakan siapa yang akan sembuh, dan siapa yang akan terlantar tanpa katil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: