Adakah Ambiga, Maria Chin, Siti Kasim, Marina Mahathir, Mariam Lee, COMANGO, G25, IFC, dan rakan-rakan, hanya ‘main-main’?

Islam adalah islam, liberal adalah liberal. Walaupun Islam sentiasa boleh memposisikan kedudukannya di setiap zaman dan tempat, Islam tidak mungkin boleh berasimilasi dengan idea-idea yang bertentangan dengannya.

Biarlah Indonesia sahaja yang menanggung azab liberalisme melalui Jaringan Islam Liberal (JIL), kita di Malaysia perlu mencegah sebelum parah.

Sister In Islam (SIS) sejak penghujung tahun 80-an lagi sudah ‘menunggang’ agama, tapi kita butakan sahaja mata dan pekakkan sahaja telinga. Kita lebih sukakan fantasi yang manis berbanding realiti yang pahit.

Kita bukan lagi berada dalam situasi ‘menang sorak kampung tergadai’, tetapi kita sedang mengejar kemenangan yang lebih tidak bermoral,

Menang takbir, akidah tergadai.

Elok rasanya kita berkenalan dengan idealogi liberal ini. Barulah kita tahu siapa sebenarnya kawan, siapa lawan, dan siapa pula kawan yang menikam di belakang kawan.

Fahaman liberaslisme muncul seawal abad ke-14 dan mulai diterima oleh masyarakat Barat seawal abad ke-18, selepas Revolusi Perindustrian. Antara negara yang paling awal memeluk fahaman ini adalah Negara England, berpunca daripada perang saudara yang tercetus akibat ketidak puasan hati ahli parlimen dengan pemusatan kuasa Raja Charles. Rentetan daripada itu, berlakulah Revolusi Inggeris 1688M yang membawa kepada terbentuknya negara England yang baharu, yang menggunakan fahaman politik liberalisme.

Di Amerika Syarikat, Revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776M telah berjaya menghalau dan menumpaskan penjajahan Inggeris terhadap mereka, lalu sebagai sebuah negara baharu, mereka juga mencedok idea politik liberalisma ini.

Ini diikuti oleh negara Perancis pada tahun 1789M melalui Revolusi Perancis, seterusnya negara-negara Barat yang lain.

Apakah itu liberalisme dan ciri-cirinya?

Secara asasnya, liberalisme bermaksud ‘pembebasan’ atau ‘kebebasan’.

Bila bercakap tentang kebebasan, saya teringat kepada seorang panglima Islam yang berpakaian kasar dan lusuh, bernama Rabi’ah Bin Amir, dengan Palima Rustum dari Kerajaan Parsi.

Kata Rabi’ah Bin Amir kepada Panglima Rustum,

“Kami datang untuk membebaskan kalian daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah S.W.T semata-mata”.

Perhatikan penggunaan perkataan ‘membebaskan’. Perkataan yang serupa jugalah yang menjadi tiang asas kepada idea liberalisme. Bezanya, Islam membebaskan manusia kepada Allah, sebaliknya liberalisma membebaskan manusia ‘daripada’ Allah.

Beberapa komponen utama di dalam Liberalisme adalah,

1. Sekularisme

2. Kebebasan mutlak

3. Rasionalisme

4. Demokrasi Liberal

5. Feminisme

6. Hermeneutik

7. Pluralisme

Secara ringkasnya (kalau panjang, akan jadi thesis bukannya artikel),

Sekularisme bermaksud memisahkan hal-hal dunia daripada nilai-nilai agama. Agama tidak harus menjadi kayu ukur kepada baik atau buruk, salah atau betul, dalam setiap urusan di dunia ini.

Sekularisme tidak menolak agama sepenuhnya, tetapi agama cuma terpakai untuk urusan-urusan terpencil. Jika di Malaysia, agama cuma tinggal kepada ritual sahaja, seperti kelahiran, ibadah, pernikahan, penceraian, dan kematian. Dalam masyarakat sekular, agama tidak ditolak secara total, sebaliknya agama diuli, diadun, dan dibentuk mengikut selera dan keselesaan individu. Mungkin mereka inilah golongan yang disebut, ‘islam pada kad pengenalan sahaja’.

Kebebasan mutlak yang dikemukakan oleh fahaman liberalisma ini adalah kebebasan yang tidak mempunyai apa-apa ikatan dan limit. Laungan kebebasan ini menjalar sehingga kepada aspek ekonomi, sosial, hak asasi, moral, politik, dan juga hak memilih agama.

Rasionalisme pula bermaksud, menggunakan logik akal secara maksimum dan menolak setiap perkara (termasuklah agama), jika ianya berlawanan dengan logik akal. Padahal terlalu banyak perkara di dalam agama ini yang tidak mampu dicapai dengan akal. Contohnya, peristiwa israk dan mikraj. Pada sisi akal, ‘mustahil’ Nabi Muhammad S.A.W boleh berjalan dari Masjidil Haram di Mekah, ke Masjidil Aqsa di Palestin. Tetapi dari sisi keimanan, Allah S.A.W berupaya melakukannya bukan sahaja dalam satu malam, tetapi satu minit bahkan satu saat pun boleh.

Tak hairanlah hari ini ramai orang yang menolak al-Quran dan menolak hadis.

Tapi kita masih merasakan liberalisma ini sebagai ‘fearmongering’, bukannya ‘real threat’.

Demokrasi Liberal pula adalah sebuah sistem ‘double-edge sword’. Sistem ini ada kebaikannya tetapi dalam masa yang sama, ada keburukannya. Kebaikannya adalah kerana setiap keputusan yang dibuat adalah dengan mengambil kira suara majoriti rakyat, tetapi keburukannya pula, suara majoriti itu lebih bernilai dan berharga daripada nilai moral dan kemanusiaan.

Kita meletakkan kebenaran itu kepada suara majoriti. Sekiranya majoriti rakyat mahukan zina menjadi sah (legal) atau dadah menjadi barang yang boleh diniagakan, maka kemahuan dan kehendak rakyat ini terpaksa dipenuhi walaupun terpaksa membelakangkan prisip moral dan dalil agama.

Agak menghairankan apabila kita yang menyambah Allah S.W.T, turut ‘menyembah’ demokrasi. Padahal pejuang demokrasi itu sendiri pun ‘tidak yakin’ dengan keberkesanan demokrasi. Lihatlah kepada struktur PBB sendiri. Sejak awal penubuhannya pada 24 Oktober 1945 lagi, mereka menyerahkan kekuasaan PBB hanya kepada lima kuasa besar (The Big Five) iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Inggeris dan China.

Feminisme bagi saya, adalah komponen liberalisma yang paling ‘menarik’ untuk dibincangkan. Mungkin saya memerlukan satu artikel khas bagi menjawab segala tuntutan Ambiga, Maria Chin, Datin Paduka Marina Mahathir, Siti Kassim, dan lain-lain tokoh femenisme acuan Barat ini.

Hermeneutik pula merujuk kepada pentafsiran kitab suci (al-Quran dan juga Bibble) dengan kaedah yang baharu, yang tidak terikat dengan mana-mana elemen. Dalam konteks umat Islam di Malaysia, para pendokong liberal ini sentiasa mengajak masyarakat supaya meninggalkan penafsiran alim-ulama dan menggalakkan tafsiran al-Quran itu dibuat atas kapasiti individu dan personal. Antara kata-kata Siti Kasim yang terkenal, “Why should i follow your Islam?”, sambil merujuk kepada autoriti agama.

Akhir sekali, pluralisme. Masyarakat diajak untuk ‘beriman’ bahawa setiap agama adalah sama dan serupa. Setiap agama menyeru kepada kebaikan dan menolak kekejian, jadi apa bezanya jika kita menjadi muslim, kristian, hindu, buddha, dan pagan. Fahaman pluralisme ini diperkenalkan oleh W.C Smith dengan nama universal theology of religion, dan mendapat sambutan yang maha hebat di Barat.

Dan kita pun meniru Barat bulat-bulat.

Teringat saya kepada Buya HAMKA yang tidak teragak-agak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI) kerana bertegas tidak mahu menggugurkan fatwa ‘keharaman merayakan perayaan agama lain’.

Kita pula hari ini, sudah hilang izzah (bangga, maruah) dengan Islam, dan kita sendiri mempersoalkan, “lebih baik non-muslim yang adil, daripada muslim yang zalim”, padahal ada sahaja premis, “lebih baik muslim yang adil berbanding non-muslim yang adil”.

Kita sudah tidak bangga dengan agama kita.

Saya bersetuju yang majoriti umat Islam di Malaysia, tidak benar-benar mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya (termasuklah saya). Tetapi adakah ini hujah dan alasan untuk kita menguburkan kedaulatan agama kita?

Adakah Islam yang autentik, malap, kasar, dan suram, manakala Islam acuan liberal pula terang, licin dan berkilat.

Mungkin begitulah yang dirasai oleh Syeikh Said Ramadhan al-Buthi. As-syahid telah dicemuh, dituduh dan difitnah sebagai proksi, macai, dan tali barut kerajaan, sebelum akhirnya beliau dibunuh oleh kelompok radikal semasa sedang mengajar di masjid, hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan perang saudara di Syria.

Nasi dah menjadi bubur. Tapi bubur pun masih boleh dimakan. Jangan tunggu sampai ia ‘basi’ baru kita mahu menyesal lalu mati akibat kebuluran.

2 thoughts on “Adakah Ambiga, Maria Chin, Siti Kasim, Marina Mahathir, Mariam Lee, COMANGO, G25, IFC, dan rakan-rakan, hanya ‘main-main’?

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: