Kritikan sosial kepada anti-PAS

Salah satu nikmat terbesar dalam hidup adalah nikmat keamanan. Ada sebuah kajian dibuat oleh dua orang penyelidik dari Universiti George Washington pada tahun 2010 tentang negara yang paling ‘islamik’ di dunia. Salah sebuah kayu ukur yang diguna pakai adalah penilaian melalui prinsip walayyah (masyarakat madani yang matang dan adil), karamah (kebebasan hak manusiawi), meethaq (prinsip teologi dan agama) dan khilafah (perasaan bertanggungjawab kepada makhluk di sekeliling).

Menariknya, daripada 208 negara yang dikaji, New Zealand adalah negara yang paling “islamik”. Manakala dalam kalangan negara-negara Islam pula, yang paling baik kedudukannya di dalam indeks ranking adalah Malaysia, iaitu di tangga ke 38.

Negara-negara Islam yang lain bahkan lebih teruk. Setakat menang slogan, tetapi jauh daripada penghayatan. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharunya berbangga dan dalam masa yang sama, berusaha mengekalkan dan menambah baik negara kita. Rombakan di peringkat nasional adalah perlu, seiring dengan perlunya pembaikkan masyarakat, keluarga, dan individu.

Salah sebuah proses penambah baikan itu adalah melalui perubahan iklim pentadbiran negara, daripada warna ‘biru tua’ kepada ‘biru yang lebih muda’.

Transisi yang lancar ini juga adalah suatu kejayaan. Sifar rusuhan dan kekerasan yang berlaku adalah bukti kematangan kita semua.

Namun begitu, di sebalik sorakan dan tepuk tangan kita, kita sering terbawa-bawa dengan keterujaan hinggakan kita terlupa cara sebenar merayakan kemenangan ini.

Semasa berlakunya fathul makkah dahulu, Allah S.W.T mengajar Nabi S.A.W dan para pengikut Baginda bagaimana mahu meraikan kemenangan, dengan menurunkan surah An-Nasr, فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ

Bertasbih dan beristighfar.

Bukannya berlagak dan mengunjing.

Walau bagaimanapun, perkara yang sudah berlalu, biarkanlah ia berlalu. Lain kali, jangan buat lagi.

Yang paling penting sekarang adalah bagaimana kita mahu mencorak dan merencana negara supaya perjuangan kita selaman ini tidak terbantut dan menjadi sia-sia.

Jika sebelum ini saya ada mengkritik para penyokong dan pemimpin PAS, maka izinkan pula untuk saya membalas pukulan bulu tangkis ke gelanggang lawan.

Di dalam Islam, keadilan adalah suatu yang sangat penting. Berbicara tentang keadilan, Rasulullah S.A.W pernah bersumpah, “…Jika anakku, Fatimah Binti Muhammad mencuri, akan aku adili dan hudud dia…”

Dengan prisip keadilan inilah, SPRM ‘berani’ menggempur rumah-rumah ketua kerajaan, pemimpin masyarakat, dan golongan aristokrat dan bangsawan.

Maka prinsip yang sama jugalah kita perlu pakai di dalam menapis setiap ujian yang disajikan untuk kita.

Saya teringat kepada sebuah peristiwa yang berlaku kepada Abu Hurairah R.A. Suatu hari, beliau diperintahkan untuk menjaga harta kutipan zakat di baitul mal. Tiba-tiba, ada kelibat orang menusup dan menjatuhkan makanan serta mengambilnya. Kejadian ini disedari oleh Abu Hurairah R.A lalu dia menangkap orang itu seraya berkata,

“Demi Allah, aku akan mengadukan hal ini kepada Rasulullah”.

Orang tadi lantas membalas, “Aku benar-benar di dalam keadaan terdesak. Aku mempunya keluarga dan kami sangat memerlukan makanan ini”.

Lalu, Abu Hurairah R.A pun melepaskan orang itu.

Keesokan paginya, Rasulullah S.A.W bertanya tentang peristiwa itu kepada Abu Huarairah, lalu beliau menceritakannya. Rasulullah S.A.W berkata, “Orang itu berdusta. Dia akan datang lagi malam ini”.

Malam itu, peristiwa yang sama berulang. Dia datang mengambil makanan lalu ditangkap oleh Abu Hurairah R.A sebelum dilepaskan selepas dia merayu dan berjanji.

Malam ketiga, orang yang sama datang lagi. Kali ini, Abu Hurairah R.A nekad. “Sungguh, aku benar-benar akan memberitahu hal ini kepada Rasulullah S.A.W. Sudah tiga kali engkau berjanji tetapi tetap juga kau datang”.

Orang itu berkata, “Lepaskan aku. Aku akan mengajar sebuah kalimat yang bermanfaat kepadamu”.

Abu Hurairah R.A bertanya, “Apakah kalimat itu?”

“Kau bacakan ayat kursi sebelum tidur. Nescaya Allah akan melindungi dan syaitan tidak akan menganggumu sehingga pagi”.

Lalu Abu Hurairah R.A pun melepaskannya. Pagi itu, beliau berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan bercerita tentang kejadian malam tadi.

Rasulullah S.A.W memberitahu, “Orang itu adalah pendusta, tetapi apa yang diperkatakan olehnya kepadamu malam tadi adalah benar”.

Abu Hurairah dan sahabat-sahabat yang lain mendengar dengan penuh minat.

“Tahukah kau siapa sebenarnya orang itu? Dia adalah syaitan yang menjelma sebagai manusia”.

Kisah ini boleh kita jumpa dalam Sahih Bukhari.

Apa pengajarannya?

Sesebuah kebenaran itu boleh datang daripada sesiapa sahaja. Dalam contoh di atas, kebenaran itu datang daripada makhluk yang paling kuat menipu, iaitu syaitan. Lihat kepada respond Rasulullah S.A.W. Baginda tidak menolak bahkan baginda membenarkan perkara yang benar, sekalipun datang daripada makhluk yang paling terkutuk.

Rasanya dalam kalangan kita, tidak ada manusia yang lebih baik daripada Rasulullah S.A.W dan tidak ada pula yang lebih jahat daripada syaitan.

Hari ini, kita lebih mudah menerima sangkaan dan persepsi berbanding fakta dan kebenaran. Ini adalah kerana hati kita terlalu kuat diikat kepada tiang-tiang politik.

Kita bersikap selektif. Bahkan, assabiyah. Kita menerima kepalsuan sebagai kebenaran, hanya kerana ia keluar daripada lidah orang-orang yang sama warna politiknya dengan kita.

Dan kita menolak kebenaran, hanya kerana kebenaran itu datang daripada musuh.

Kita terlalu jauh daripada keadilan yang kita canang-canangkan.

Kita cuma mahu melihat orang lain dihukum dan mentertawakannya, tetapi kita tidak suka jika orang menghukum diri kita.

Saya juga perhatikan, kita ini terlalu suka untuk share dan copy paste berita-berita palsu dan tidak berasas. Jari jemari kita laju mencari butang ‘share’. Kita terlalu bernafsu dan ghairah untuk berkongsi apa sahaja sehingga kita hampir-hampir sahaja menggadaikan maruah dan kewarasan.

Kegopohan kita berkongsi cerita palsu, fiksyen dan mengarut ini, menimbulkan kebimbangan saya. Gejala dan simptom ini adalah serupa dengan naratif kemunculan hadis-hadis palsu.

Dahulu, orang mencipta hadis palsu kerana mahu mengangkat sebuah pihak dan menolak pihak yang lain. Begitulah halnya orang yang menulis ‘kisah kereta roti john’ dan ‘kisah Tun M menangis nak beri BRIM’ itu.

Sejujurnya, saya gembira wujudnya Akta Anti Berita Tidak Benar. Di mata orang lain, akta ini adalah lubang terakhir untuk BN meloloskan diri daripada jenayah mereka. Kononnya setiap orang yang mengkritik kerajaan akan ditangkap dan dipenjara.

Setelah diteliti, jelas sekali apa yang cuba ditegakkan ini punya asas yang kukuh di dalam agama. Padanlah ahli parlimen PAS bersetuju dengan akta ini, kerana seorang muslim yang benar-benar beriman tidak sepatutnya begitu mudah hilang kawalannya kepada jari dan lidahnya.

Tiada bezanya di antara orang yang menyebarkan berita palsu dengan orang yang sedang menyucuk racun ke dalam tubuh isteri dan anak-anaknya.

Kita sedang membunuh generasi kita dengan sebuah penyakit yang tidak boleh diubati, melainkan dengan menjadi manusia berakal.

Sayang sekali, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh telahpun menegaskan yang akta ini akan dihapuskan dalam tempoh 100 hari.

Saya menjangkakan tindakan ini akan dikesali kelak.

Selain itu, saya juga hairan bagaimana kita boleh mengutuk orang UMNO sebagai samseng, ganas, barbarik dan gangster, tetapi dalam masa yang sama, kita juga begitu.

Masih terngiang-ngiang di kotak minda saya, video “imam bazar Ramadhan” di sebuah daerah di Johor yang dirakam beberapa tahun lepas.

Rata-rata orang menyelar tindakan beliau tidak memberi laluan kepada ahli DAP untuk ‘beramah mesra’ dengan rakyat di sana sebagai perbuatan tidak bermoral dan mengotorkan kesucian bulan Ramadhan.

Habis, provokasi kita kepada lawan pula bagaimana?

Kita menggelar orang dengan bermacam-macam gelaran. Bahkan lebih teruk, kita menghina pula ulama.

Antara sosok yang tidak pernah sepi daripada dihina adalah Tuan Guru Haji Hadi (TGHH).

Siapalah kita ini jika mahu dibanding dengan beliau. Dari bucu dunia pun kita dah kalah, dari spektrum akhirat, tercirit kita mahu mengejar. Tidak bersetuju dengan beliau, bukan bermakna kita boleh berkata semahu kita. Benar, sebagai manusia, beliau juga mungkin tersilap membuat percaturan dan keputusan. Tetapi berpada-padalah dalam berbeza.

Sudah tentu kita juga tidak suka jika orang mengutuk Tun M tanpa asas dan ihsan.

Mengapa kita buat pada orang, boleh. Tetapi orang buat perkara yang sama kepada kita, tak boleh.

Saya juga perasan wujudnya fenomena Mahathism dalam kalangan kita. Kita telah mengangkat Tun Mahathir ke sebuah tempat yang terlalu tinggi, yang kalis daripada teguran, kritikan, dan kesilapan.

Seperti Nicollo Machiavelli, Tun Mahathir juga punyai ‘cunning’ beliau sendiri. Dia adalah pemimpin yang hebat dan disegani oleh kawan dan juga lawan. Tetapi dari sudut keislaman, beliau kalah.

Saya terkilan kerana beliau dengan yakinnya, mengkritik TGHH sebagai ustaz kampung dan menyuruhnya ‘balik mengaji’. Padahal dalam masa yang serupa, beliau di usia 93 tahun ini telah menulis di dalam blog beliau, pandangan yang sangat keliru tentang sunnah dan sunat.

Jika dahulu, selepas isu ‘mati katak’, beliau ada membuat permohonan maaf atas keterlajuran bicaranya.

Kali ini, saya juga merasakan dia perlu meminta maaf. Bimbang-bimbang nasib yang telah berlaku kepada Allayarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) juga berlaku kepada TGHH. Semasa ada, dihalau. Bila dah tiada, tercari-cari.

Gejala taksub kepada sosok pemimpin perlu segera diberhentikan. Kita tak mahu masyarakat ‘menyembah’ berhala-berhala baharu bernama TGHH, Tun Mahathir, bahkan juga DS Najib.

Saya mengimpikan sebuah negara yang aman. Bukan sekadar tiada peperangan, tetapi juga tiada ketaksuban dan assabiyah.

Kita mengeluh harga barang naik. Tetapi tiada siapa yang peduli suara kita naik, menengking orang yang sepatutnya kita panggil sebagai saudara.

Negara ini tidak akan hancur dengan demokrasi. Tetapi masyarakatnya akan hancur, jika beragama dengannya.

One thought on “Kritikan sosial kepada anti-PAS

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: