Tidak bertudung, tidak kafir.

Agak menghairankan apabila kita menerima dan menolak seseorang, hanya dengan sebuah skrip penilaian sahaja.

Umpama menyarung sebelah sahaja kasut. Sebelah lagi dibiar berkaki ayam. Berjalan tak lama, kotorlah dan sakit-sakit tapak kaki.

Begitulah kita apabila menilai seseorang hanya dengan melihat teks fiqh sahaja. Padahal fiqh boleh berubah mengikut zaman, masa, dan situasi.

Contoh terdekat adalah apabila bonda Tun Siti Hasmah diperlekeh hanya kerana tidak berhijab. Tindakan sebegini pada pandangan saya, bukanlah suatu dakwah. Dakwah bertujuan mengajak manusia ke arah kebaikan, tetapi apabila kita menyindir, menghina dan mengutuk orang yang sebegitu, adakah mereka akan menjadi semakin baik, atau mungkinkah kita sebenarnya yang menjadi semakin angkuh dan bongkak?

Kita sering terpedaya dengan diri sendiri. Kita membalut dendam dalam nas-nas agama. Apabila timbul peluang, nas-nas agama ini akan dilepaskan seperti peluru tabur. Sasarannya tidak mengena, bahkan menapak laju tanpa sempat kita mengejarnya.

Jika sayang, maka nasihatlah elok-elok.

Saya percaya, tujuan Allah mencipta wanita bukanlah semata-mata untuk berhijab atau bertudung. Jika begitu, lebih baik Allah jadikan mereka sebagai penyangkut baju atau almari, kerana lebih banyak helaian dan susunan tudung yang mampu mereka sarungkan.

Sebaliknya, Allah ciptakan wanita, sama seperti tujuan Allah ciptakan lelaki. Lebihnya lelaki, hanyalah kepada lebihnya tanggungjawab, iaitu bagi menjaga kaum wanita.

Di Malaysia, majoriti kaum hawa sudah pun bertudung. Hanya pecahan kecil sahaja wanita baligh yang masih belum.Lantas jika premis “orang baik mesti bertudung” diguna pakai, maka seharusnya negara kita sudah pun menjadi negara yang maju dan aman, atau sekurang-kurangnya, sifar kadar jenayah seksual dan masalah moral.

Tetapi malangnya premis itu tidak boleh diguna pakai di sini, di ‘lucunya’ negeri ini.

Lucu sebenarnya jika ‘bertudung’ dianggap lebih mustahak berbanding elemen-elemen muslimah yang lain, seperti tidak tabarruj, tidak berpakaian ketat, seksi dan menjolok mata, tidak menarik perhatian kaum lelaki, tidak menonjolkan perhiasan diri, dan lain-lain.

Usah pergi jauh. Cukuplah kita memandang ke dalam cermin dan melihat tepat ke dada sendiri. Adakah tudung yang dikenakan di kepala, turut sama dikenakan di dada? Atau adakah rambut kita sahaja terlindung, tetapi bentuk buah dada yang lebih menggiurkan kaum lelaki, dibiarkan diratah oleh mata-mata yang nakal?

Tujuan hijab yang sebenarnya bukanlah semata-mata untuk kelihatan sopan. Sebaliknya, supaya kelihatan bermoral.

Pemilihan pakaian adalah sangat penting, sepenting memilih calon suami. Dalam bab bersuami, sudah tentu kita akan menyaring dahulu calon-calonnya. Tak mungkin semua lelaki yang merayu kita layan dan terima. Orang jahat, penagih dadah, dan penjenayah, sudah tentulah awal-awal lagi ditolak sekalipun mereka kacak dan kaya.

Kerana kita tahu, kacaknya hanya luaran. Kayanya hanya sehingga habis wangnya.

Begitulah wanita dengan pakaiannya. Sekalipun cantik dan mahal, kita tidak boleh memakainya sekiranya pakaian itu ketat dan mendedahkan bentuk badan. Terutamanya apabila kita bersikap acuh apabila bertudung dan tidak kisah sekiranya bentuk buah dada kita dicuri pandang oleh lelaki yang tidak bermoral.

Semoga bulan Ramadhan ini, hati kita lebih terbuka, dan badan kita pula lebih tertutup.

Hargai masa muda kita, kerana kita tidak selamanya muda.

One thought on “Tidak bertudung, tidak kafir.

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: