Air yang dicincang tak akan putus

Adik-beradik adalah ahli keluarga kita yang paling rapat. Mereka membesar bersama kita, siang dan malam. Mereka berkongsi hampir segalanya. Perhatian, kasih sayang, wang saku, tempat tidur, makanan, bahkan berkongsi marah si ayah dan geram si ibu.

Tidak dinafikan, sesama adik-beradik pasti akan bergeser, mendengki dan bergaduh.

Tak kiralah siapa ibu dan bapanya. Begitulah juga yang berlaku dalam keluarga besar Allayarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA). Baru beberapa tahun dia meninggal dunia, sudah berlaku ‘fitnah’ yang sangat besar dalam kalangan anak-anaknya.

Saya cuma membaca kisah ini dari jauh. Tipulah kalau saya kata yang saya berada di situ, melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan telinga sendiri, dan tahu dengan tepat apa yang sedang berlaku.

Namun begitu, saya seakan-akan mampu menebak perasaan seorang bonda, apabila netizen secara berjemaah, meleparkan kata-kata kesat, menghina, sinis, tidak baik, dan buruk kepada dirinya dan anak-anak.

Ustaz Nik Omar mungkin telah berjaya menarik perhatian golongan radikal untuk berlapang dada kepada ‘aristokrat’ agama.

Namun begitu, perjuangannya seakan-akan ‘membunuh nyamuk, dengan kelambu-kelambunya sekali’.

Dia mungkin mula disukai oleh orang-orang yang baru. Tetapi dia ‘dijauhi’ oleh orang-orang yang telah lama bersamanya.

Ibu, adik-adik, dan orang kampung.

Sehingga kini saya masih tidak faham mengapa dia yang matang itu, bertindak untuk menghebah, melapor, dan menjaja ceritanya yang disekat, diboikot oleh keluarga, dan tidak diberikan restu bondanya, kepada media.

Tidakkah dia lebih tahu tindakannya itu hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar, dan mendatangkan fitnah yang lebih susah untuk dibersihkan, berbanding jika dia pendam, rahsiakan, dan selesaikan secara aman dan tenang.

Sepanjang hayat Tuan Sabariah, beliau cuma setia kepada seorang suami dan sebuah perjuangan sahaja. Melalui perjuangan ini, dia melihat, bahkan merasai sendiri derita ditikam dan disiat-siat oleh fitnah, kecaman masyarakat dan kezaliman para pemerintah terdahulu. Sedih di dalam hati, ditanggungnya sendiri. Sarat hatinya melihat suami tercinta difitnah dan anak kandungnya yang ditahan tanpa bicara.

Pada saya, wajarlah jika hatinya terluka saat anak kandungnya sendiri yang memilih untuk berjuang dalam wadah politik yang berbeza. Bukan setakat berbeza, bahkan seterunya.

Mungkin pada suatu sisi, penduduk kampung, ahli-ahli PAS, dan ahli keluarga juga salah kerana memanjang-manjangkan rajuk, hingga Ustaz Nik Omar tidak diberikan pentas untuk berceramah.

Tapi itulah, kita nak komen lebih-lebih pun tak boleh juga.

Cuma tuduhan yang Tuan Sabariah itu perempuan jahat adalah tuduhan yang sangat keji.

Nama Nik Abduh, Nik Adli, dan nik-nik yang lain juga secara tidak langsung menjadi kotor dan hina.

Cara media melaporkan cerita menimbulkan sentimen seakan-akan jahat sangat anak-anak TGNA ni. Pasal politik pun bergaduh. Pasal politik pun nak sekat orang mengajar, tak bagi orang jadi imam, dan lain-lain.

Akhirnya, yang jadi juara adalah portal berita.

Yang terhukum, adalah ahli keluarga. Dan yang bersedih, menangis, juga adalah mereka.

Kita?

Kita sukalah kerana ada sasaran untuk kita maki, sumpah, dan marah.

Cukuplah.

Berhentilah.

Sebaliknya marilah kita mendoakan supaya mereka berdamai dan hubungan kekeluargaan mereka semakin kukuh dan pulih seperti sediakala.

Ingat pengajaran Surah Yusuf, di ketika Nabi Yusuf A.S bercerita kepada bapanya, Nabi Yaakub A.S perihal mimpinya, Nabi Yaakub A.S dengan tegas berpesan,

“Janganlah engkau ceritakan perihal mimpimu kepada saudara-saudaramu. Nescaya mereka akan dengki dan iri kepada engkau”

Dan kitalah jiwa-jiwa yang dengki dan iri itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: