Soalan remeh-temeh tentang puasa.

Alhamdulillah, kita diberi kesempatan dan umur yang panjang untuk sekali lagi masuk ke dalam bulan Ramadhan. Berbeza dengan tahun-tahun lepas, sambutan Ramadhan tahun ini kurang ‘sengat’ dan kurang semangat. Faktor utama adalah kerana kita masih kekok, baru seminggu bertukar kerajaan baharu.

Ramadhan kali ini, bagi yang mahu mencari pahala dengan cara ‘berdiam diri’, dia akan mendapat pahala yang sangat besar dengan cara itu. Manakala bagi yang mahu mencari dosa, satu klik butang share sahaja sudah cukup. Pasca PRU 14, berita tidak sahih lebih banyak, lebih popular, lebih hit, dan lebih banyak dikongsikan. Adakah kita salah seorang kaki share?

1. Bolehkah niat sebulan puasa terus?

Boleh, menurut mazhab Maliki. Manakala dalam mazhab syafie, seseorang perlu berniat pada setiap malam sebelum waktu sahur. Namun begitu, tidak menjadi masalah untuk berniat sebulan terus.

2. Ada orang kata, kalau tak tutup aurat, baik tak payah puasa. Ada pula yang kata kalau tidak solat, puasa pun tak ada gunanya.

Salah. Tutup aurat bab lain, solat bab lain, puasa pun bab lain. Menutup aurat dan bersolat bukanlah syarat sah puasa. Dosa meninggalkan solat dengan dosa meninggalkan puasa adalah perkara yang berbeza. Begitu juga jika membuka aurat, itu juga akan dikira secara berasingan. Sebaliknya, jika kita belum menutup aurat, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Begitu juga jika kita malas dan cuai dengan solat, kini adalah masa yang paling sesuai untuk kita berubah.

3. Saya tak larat untuk berpuasa. Bolehkah saya berbuka?

Orang yang diberi keizinan untuk tidak berpuasa adalah ibu hamil atau menyusui, wanita haid dan nifas, orang tua yang tidak larat, orang sakit yang tidak berupaya, musafir dan orang yang bekerja berat. Jadi kalau tak larat, maka tidurlah. Nama pun puasa, memanglah akan penat.

4. Saya bekerja berat, angkat bagasi dan beg di lapangan terbang sepanjang hari. Saya boleh berbuka?

Orang yang bekerja berat seperti pekerjaan di tapak pembinaan, angkat beg (ramp service agent) atau buruh, mereka boleh berbuka. Namun begitu, bagi orang-orang yang mampu menangguhkan pekerjaannya itu, seperti dia mampu menyiapkan kerja tadi sebelum ramadhan, atau melewatkan pekerjaan seperti selepas tamat ramadhan, itu adalah lebih baik agar dia boleh fokus untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan ini.

5. Saya diberi rukhsah, jadi bolehkah saya makan di tempat awam?

Tidak boleh, menurut majoriti ulama. Sebaliknya anda dinasihatkan supaya makan secara sembunyi-sembunyi atau tersorok daripada pengetahuan orang lain. Antara lain tujuannya adalah sebagai menghormati saudara-saudara kita yang berpuasa pada hari itu dan juga bagi mengelakkan fitnah.

6. Adakah batal puasa jika terkeluar air mani?

Jika tanpa sengaja seperti bermimpi, tidak batal tetapi perlu mandi wajib. Tetapi jika dengan sengaja seperti onani atau kerana prosedur perubatan, maka terbatal puasa.

7. Malam tadi saya bersama dengan isteri. Kami hanya manji wajib selepas bersahur dan setelah masuk waktu subuh. Puasa kami sah atau tidak?

Sah.

8. Bolehkah korek hidung semasa puasa?

Boleh dan tidak membatalkan puasa, cuma jangan sampai masuk jauh ke rongga dalam. Namun begitu, jika kita tiada keperluan untuk korek hidung atau telinga, tetapi kita buat juga, maka hukumnya makhruh.

9. Saya dengar, ada ustaz kata kalau kita sedang buang air besar, jika najis yang sudah keluar dari dubur itu masuk semula ke dalam, puasa kita akan batal. Betul ke?

Tidak betul. Puasa tidak batal. Batal hanya jika kita memasukkan sesuatu jauh ke rongga dalam dubur.

10. Bolehkah menelan air liur semasa puasa?

Boleh. Tetapi jika air liur itu bercampur dengan benda asing seperti darah, contohnya dalam situasi gusi berdarah, maka menelan air liur yang bercampur darah itu akan membatalkan puasa.

11. Saya selsema dan batuk. Kadangkala ada kahak atau hingus. Apa hukum menelan hingus dan kahak ini?

Jika hingus atau kahak itu memang berasal dari mulut, maka menelannya tidak batalkan puasa. Tetapi jika kahak itu berasal dari tekak atau dada, maka jika ditelan akan batal lah puasa. Begitu juga hingus. Jika hingus datang daripada hidung, maka tidak boleh ditelan dan akan membatalkan puasa. Serupa juga bagi orang yang bersin hingga terkeluar kahak dan hingus. Jika ditelan akan membatalkan puasa.

12. Betulkah sia-sia jika puasa tapi suka buat maksiat?

Dalam hadis menceritakan, orang yang meneruskan tabiat suka bermaksiat, dia tidak akan mendapat apa-apa daripada puasanya selain daripada lapar dan dahaga. Tujuan puasa adalah sebagai medan latihan dan dorongan kepada umat Islam untuk meninggalkan maksiat dan menjadi orang yang bertaqwa. Justeru bagi orang-orang yang masih tidak mampu meninggalkan maksiat, cukuplah dengan dia mampu mengurangkannya frekuansinya.

13. Betulkan orang kata di dalam bulan Ramadhan ini, tidur pun dikira ibadah?

Menurut para ulama, hadis itu palsu. Namun begitu, menurut Syeikh A’tiyah Saqar, maksud hadis itu benar, iaitu bagi orang-orang yang kebiasaannya adalah bergurau, bergosip, mengejek, mengutuk, mentertawakan orang, dan memandang aurat orang, maka jika dengan tidur dia mampu mengelakkan kebiasaan buruk itu, maka tidurnya akan dinilai ibadah. Namun begitu, ia sama sekali tidak bermaksud tidur itu lebih baik daripada berzikir dan membaca al-Quran. Sebaliknya ia cuma sebuah galakan untuk kita meninggalkan semua habit buruk kita.

14. Apakah hukum berbuka puasa dengan makanan yang dimasak oleh orang yang tidak menutup aurat?

Tular di media sosial pesanan-pesanan supaya tidak membeli juadah yang disediakan oleh orang yang tidak bersolat dan tidak menutup aurat. Walhal perkara itu tidak mengubah status halal makanan. Bahkan jual beli itu juga baik dan sah. Mungkin betul, keberkatan akan kurang tetapi pahala berpuasa tidak akan terjejas disebabkan jual beli ini. Lainlah semasa di bazar ramadhan, mata kita meliar dan tidak dikawal, memandang aurat dan aib orang. Justeru, perbuatan ‘memandang’ itulah sebenarnya yang menghilangkan pahala dan keberkatan berpuasa, bukannya perbuatan ‘membeli-belah’ itu.

15. Betul ke kalau puasa, tak boleh mencium dahi atau pipi isteri?

Makhruh sahaja. Tidak membatalkan puasa.

16. Saya dengar ada orang kata, mulut orang yang sedang berpuasa ini lebih harum daripada kasturi?

Betul, tetapi itu di syurga. Di dunia ini, mulut orang berpuasa akan menjadi busuk kerana tidak makan dan minum. Oleh itu, kita dianjurkan supaya tidak bercakap dengan orang secara berdepan-depan. Selain itu, kita juga dianjurkan untuk memakai haruman atau minyak wangi untuk menghalang bau busuk tadi.

17. Adakah makhruh gosok gigi selepas zuhur dan mandi selepas waktu asar?

Pendapat yang lebih utama adalah tidak makhruh.

18. Hukum menggunakan ventolin (inhaler) bagi pesakit asma dan insulin bagi pesakit kencing manis.

Bagi kes inhaler, ulama berbeza pendapat. Saya suka memetik pandangan Ustaz Azhar Idrus (UAI), bagi kes pesakit yang jarang-jarang menggunakan inhaler, puasa mereka batal. Sebaliknya bagi pesakit yang biasa dan hari-hari menggunakan inhaler, mereka diberikan keringanan dan puasa mereka dikira sebagai sah. Begitu juga suntikan insulin. Apa-apa suntikan pun jika bukan dimasukkan ke dalam usus dan bukan untuk mengenyangkan, maka suntikan itu tidak akan membatalkan puasa tak kiralah suntikan itu dibuat di tangan, di punggung, di peha, atau dimana-mana bahagian tubuh.

19. Hukum berbuka puasa di hotel-hotel.

Boleh berbuka di hotel atau di restoren mahal. Namun begitu, perbuatan berlebih-lebihan dengan makanan yang terlalu mahal, makan hingga terlalu kenyang dan membazirkan makanan, adalah perbuatan yang akan menghilangkan hikmah kita berpuasa dan menghakis semangat Ramadhan. Lebih malang lagi, ada yang terpaksa bersolat maghrib di hujung-hujung waktunya dan mengorbankan terus solat sunat tarawih. Padahal bulan ini bulan ibadah, bukannya bulan makan.

20. Tarawih 8 atau 20, individu atau berjemaah?

Keutamaan ibadah bukan hanya dinilai pada kuantitinya sahaja. Sebaliknya, ibadah yang utama juga perlu dinilai daripada keikhlasan dan ilmu juga. Apa gunanya solat sunat tarawih 36 rakaat sekalipun, jika di dalam hati wujud rasa bongkak, angkuh, dan memandang rendah dan serong kepada orang-orang yang bersolat 8 rakaat sahaja. Setiap perkara jika dibuat dengan ikhlas, semuanya baik. Semuanya besar pahalanya.

Wallahua’lam. Saya mendoakan semoga Ramadhan kita pada tahun ini berbeza dengan Ramadhan di bulan-bulan yang lepas.

Mungkin terhakisnya taqwa pada jari-jemari kita menyebabkan kita mudah sekali untuk ‘share’ bahan fitnah, meragukan, dan sia-sia. Namun ramadhan tahun ini baru bermula. Maka berazamlah sungguh-sungguh untuk tidak mensia-siakannya lagi.

Bulan Ramadhan, bulan reformasi diri!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: