Kerana ukhuwwah, kerana setiakawan

Saya meramalkan, minggu pertama selepas PRU 14 ini akan menjadi sangat kecoh dan panas. Saat ini, emosi rakyat Malaysia berombak-ombak. Sekejap pasang, sekejap surut. Di pihak yang kalah, mereka hiba dan kecewa. Di pihak yang menang pula, mereka bergembira dan gah.

Tidak mengira usia, darah kita semua sedang mendidih, sedang menggelegak. Namun dalam keseronokan dan keghairahan kita membina semula negara, kita telah meruntuhkan sebuah tiang foundasi, iaitu tiang ukhuwwah.

Saya perhatikan, terlalu banyak status-status provokatif dilemparkan di tengah-tengah masyarakat. Seakan-akan seorang tuan yang mencampakkan seketul tulang di tengah-tengah anjingnya. Tuan berlalu, anjing pula bergaduh berebut tulang tadi.

Semua orang begitu, termasuklah saya, rakan-rakan dan saudara mara saya.

Saya masih tidak faham apa manfaatnya kita menjentik emosi orang yang sedang meratapi kekalahan.

Saya juga tak faham mengapa kita perlu menjolok ego orang yang sedang menang.

Apa kebaikannya bila jari jemari kita menulis komen-komen yang merendahkan, mempersenda, dan mentertawakan orang.

Seakan-akan kemenangan ini hanya di dunia sahaja dan tiada kaitannya dengan akhirat.

Jika politik kita terputuskah dengan akhirat, maka tidakkah kita sekular?

Saya sendiri sudah beberapa kali memujuk hati supaya tidak membalas komen-komen buruk para sahabat saya. Kerana saya tahu, air hanya akan memarakkan lagi api.

Apa nilai sebuah kemenangan jika akhlak kita semakin buruk, saudara kita makin terluka, orang di sekeliling kita makin hilang percaya, dan rakan-rakan kita semakin menjauhi kita.

Kita miskin moral. Kita fakir integriti.

Kita telah mengorbankan prinsip ukhuwwah dengan gelak, tawa, sarkasm, sindiran, dan caci maki kita kepada sesama saudara.

Kerana ukhuwwah, saya memilih untuk diam dan tidak melayan provokasi.

Kerana setiakawan, saya telan segala isi hati yang nakal ini.

Perang dah tamat. Bahkan kita juga berjaya mengubah ‘nahkoda’ negara tercinta. Hanya kita, kelasi cabuk sahaja yang belum berubah.

Dan ombak badai di laut yang menanti, juga tidak berubah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: