Saya tak solat, saya kafir?

Solat ialah tiang agama. Ia juga salah satu rukun Islam dan merupakan kewajipan kepada setiap manusia yang baligh dan berakal. Kewajipan solat tidak terangkat selagi mana akal fikiran seseorang itu masih waras.

Kewajipan solat tetap tidak terangkat sekalipun di dalam situasi kecemasan, ditimpa bencana alam, sibuk menyelamatkan nyawa orang, peperangan, dan juga sakit. Cuma caranya sahaja yang akan berbeza sedikit.

Namun begitu, saya perhatikan wujud segelintir daripada kita yang masih lagi memandang ringan tentang solat. Jika mahu solat, dia buat. Jika tak mahu, dia tinggalkan.

Bahkan ada juga yang mengadu kepada saya tentang masalahnya yang malas untuk bersolat. Jauh di sudut hati, dia akur dan mengakui kewajipan solat itu. Namun begitu, sendi tubuhnya terasa sangat berat dan payah untuk berwuduk lalu berdiri di tikar sejadah.

Adakah dia telah menjadi kafir?

Tidak.

Hukum meninggalkan solat ada dua. Pertama, berdosa besar. Manakala yang kedua, jatuh kafir.

Seseorang yang meninggalkan solat fardu kerana malas, sibuk, tidak ada pakaian yang bersih dan menutup aurat, tidak sempat, atau apa-apa sekalipun alasannya, dikira berdosa besar.

Jika Allah tidak mengampunkan mereka, maka nerakalah balasannya.

Manakala orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari perintah solat seperti,

1. Meremehkan solat, “Solat ni tak penting. Kita dah moden, buat apa nak solat”,

2. Menghina solat, “Buat apa bersolat. Buang masa aku saja”

3. Menidakkan hukum solat, “Solat ni pakai hati saja. Kalau hati baik, tak perlu pun solat ni”

Maka, orang sebegini dihukum sebagai kafir menurut para ulama. Mereka wajib ‘mengucap’ semula dan menggantikan semula solat-solat yang dia pernah tinggalkan dulu (qada).

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Bagaimana mahu menukar malas kepada rajin?

Malas bersolat bukanlah indikator seseorang itu jahat. Adakalanya orang yang bersolat pun lebih jahat daripada orang yang tidak. Mungkin kerana solatnya cacat, tidak sempurna dan rosak, maka solatnya hanya berfungsi sebagai butang “pause” kepada drama maksiat dan kezalimannya, tetapi tidak menjadi butang “stop” kepadanya.

Allah S.W.T menyebutkan di dalam al-Quran, pada surah Al-Ankabut ayat 45, bahawa ibadah solat akan mencegah kita daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar.

Itu termasuklah dosa terang-terangan ataupun dosa sembunyi-sembunyi. Ramai manusia yang mulia di hadapan manusia lain tetapi hina di belakang mereka kerana tidak tertahan daripada bermaksiat secara sembunyi.

Salah sebuah resolusi syaitan adalah supaya kita meninggalkan perintah Allah S.W.T. Maka tidak hairanlah jika syaitan menggoda dan menghasut kita hinggakan kita berasa sangat malas dan berat untuk bersolat.

Selain itu, hilangnya kemanisan ibadah juga menjadikan kita malas dan tidak bersemangat untuk mengerjakan solat. Kemanisan ibadah berkadar langsung dengan kemanisan iman. Jika iman kita kuat, bukan setakat menyahut seruan solat, menyahut seruan jihad pun kita sanggup.

Kita juga merasa malas untuk solat kerana pengetahuan kita tentang solat masih kurang. Mungkin kita tahu solat itu penting, tetapi kita mungkin tidak tahu, setakat mana pentingnya solat.

Solat adalah amalan kita yang paling utama. Di akhirat nanti, solatlah amalan yang mula-mula sekali akan dihitung (dihisab). Jika baik solat kita, maka baiklah amalan kita selepasnya. Jika solat kita buruk, maka buruk jugalah amalan kita yang lain.

Solat juga adalah sebuah kerehatan bagi jiwa kita. Seharian kita bergelumang dengan dunia. Bahkan, dengan politik. Hati kita telah dikotori dengan debu, selut, pasir dan lecak. Maka Allah S.W.T mewajibkan kita untuk solat sebagai syarat mininum untuk kita kembali ingat kepada Dia.

Supaya kita ingat, dunia yang kita pulun mencari, adalah milik Dia.

Seorang abang tabligh pernah berkata,

“Orang ingat ibadah haji yang paling susah. Padahal mereka tersilap. Ibadah yang paling susah adalah solat”.

Saya berfikir panjang. Rupa-rupanya kerana kewajipan haji hanyalah sekali seumur hidup, dan syarat-syarat bagi menjadikan ia wajib sangat sukar untuk dipenuhi.

Manakala ibadah solat, tiada alasan untuk kita tidak buat. Kewajipan solat juga banyak, lima kali dalam sehari. Tidak boleh kurang daripada itu.

Semasa saya remaja dahulu, saya juga jahil, lalai dan nakal. Pernah beberapa kali juga saya mengumpulkan beberapa solat fardu ke dalam sebuah waktu. Contohnya semasa ‘outing’ hari sabtu atau semasa kami ada perlawanan bola sepak di antara sekolah-sekolah.

Pernah saya menggumpulkan solat zuhur, asar, dan maghrib, dan melakukannya di dalam waktu isyak.

Betapa jahil dan berdosanya saya dahulu. Tetapi itu belasan tahun dahulu. Kerana itu jugalah saya optimis rakan-rakan saya yang mungkin belum bersolat hari ini, berpotensi untuk berubah menjadi manusia yang mungkin lebih baik daripada saya hari ini.

Yang lepas itu lepaslah. Mungkin dahulu kita jahil, lalai, dan tidak faham agama. Tapi hari ini, kita sudah dewasa dan matang. Maka bertaubatlah, minta ampun kepada Allah dan gantikanlah solat-solat yang kita pernah tinggalkan dulu.

Mungkin anda pernah mendengar ada orang berkata tidak perlu qada’ solat jika tertinggal.

Namun begitu, pendapat yang lebih kuat di dalam mazhab syafie menyatakan sebaliknya. Sedangkan hutang dengan manusia pun kita wajib bayar, takkanlah hutang dengan Allah kita mahu buat-buat lupa?

Saya juga suka untuk menarik perhatian kita kepada sebuah amaran daripada Allah di dalam surah Al-Maun,

“…celakah bagi orang yang solat. Iaitu orang yang lalai di dalam solatnya…”

Lalai disini bermaksud lalai daripada waktu solat. Dia disibukkan dengan kerja, hiburan, dan urusan dunia sehingga bersolat di akhir-akhir waktu menjadi rutin dan kebiasaan baginya, seakan-akan Allah S.W.T itu terhegeh-hegeh hendakkan solatnya!

Ingatlah bahawa sesiapa yang bersolat, dia mendirikan agamanya. Tetapi sesiapa yang meninggalkan solat, dia sedang meruntuhkannya.

Islam sedang runtuh. Kitakah yang meruntuhkannya?

One thought on “Saya tak solat, saya kafir?

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: